Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


RM50 juta cari emas Olimpik

Posted:

RM50 juta cari emas Olimpik

CHONG WEI (kiri) dan Pandelela antara atlet negara yang cukup menyerlah pada Sukan Olimpik 2012 di London baru-baru ini.


SEBANYAK RM50 juta diperuntukkan bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini, bagi persiapan program 'Road to Rio' menjelang Sukan Olimpik di Rio de Janiero, Brazil pada 2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan.

"Atlet seperti Datuk Lee Chong Wei (badminton), Pandelela Rinong Anak Pamg (terjun), Datuk Nicol Ann David (skuasy) dan Mohd. Azizulhasni Awang (berbasikal) adalah antara wira dan wirawati sukan yang dikagumi. Pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan.

"Sehubungan itu, bagi tahun 2013, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM738 juta bagi pembangunan belia dan sukan," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat, semalam.

Program 'Road to Rio' adalah kesinambungan daripada program 'Road To London 2012' yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Di bawah program 'Road to London' sebanyak RM20 juta diperuntukkan namun Malaysia hanya memperoleh satu pingat perak menerusi Chong Wei dalam acara badminton perseorangan lelaki dan satu pingat gangsa melalui Pandelela menerusi acara terjun 10m platform.

Najib berkata, sebanyak RM15 juta juga diperuntukkan bagi mempersiapkan atlet negara ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan Para ASEAN 2013 (Myanmar), Sukan Komanwel 2014 di Glassgow, Scotland and Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan akademi badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak RM80 juta.

Kim Swee buka 'buku' baharu

Posted:

Kim Swee buka 'buku' baharu

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

THAMIL Arasu (depan) meletakkan Harimau Muda di depan sebelum perlawanan dihentikan.


BENAR kata orang, barang yang lepas usah dikenang.Malam kelmarin, skuad Harimau Muda kempunan meneruskan momentum kemenangan selepas aksi menentang Balestier Khalsa dalam saingan Liga Singapura (Liga S) di Stadium Yishun terpaksa ditangguhkan gara-gara hujan lebat.

Biarpun selesa mendahului 1-0 hasil jaringan tunggal penyerang, A. Thamil Arasu menerusi sepakan penalti pada minit ke-12, anak-anak buah Ong Kim Swee terpaksa akur dengan keputusan pengadil yang bertindak menangguhkan perlawanan pada pertengahan babak kedua atas faktor keselamatan.

Disebabkan itu, kedua-dua pasukan terpaksa mengharungi perlawanan ulangan di stadium yang sama pada 3 Oktober depan.

Begitupun, Kim Swee enggan fokus anak-anak buahnya terjejas dengan situasi itu sambil menegaskan mereka perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal ketika berdepan Gombak United di stadium yang sama, malam esok.

"Kecewa memanglah kecewa (apabila perlawanan ditangguhkan), tetapi kami menghormati keputusan pengadil ekoran kilat sabung-menyabung selain permukaan padang yang semakin licin.

"Jika diteruskan sehingga membahayakan nyawa pemain, sudah tentu kedua-dua pasukan berdepan natijah yang lebih teruk," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di Singapura semalam.

Selain aksi kedua-dua pasukan, pertembungan antara Geylang United dan Gombak United dalam satu lagi aksi Liga S kelmarin juga ditangguhkan gara-gara faktor cuaca. Geylang ketika itu sedang mendahului 1-0.

Kim Swee memberitahu: "Kami perlu membuka 'buku' baharu kerana aksi berdepan Gombak United (malam esok) juga tidak kurang penting jika mahu menamatkan saingan Liga S di tangga kelima musim ini."

Selepas menentang Gombak United dan Balestier Khalsa, Harimau Muda akan membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan pada 20 Oktober sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari selepas itu.

Raja Bola meninggal dunia

Posted:

Raja Bola meninggal dunia

ALLAHRAYHAM Ghani (kiri) memang tangkas ketika di zaman puncaknya.


RAJA Bola, Tan Sri Abdul Ghani Minhat meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam akibat komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di institut itu.

Allahyarham, 77, menjalani pembedahan itu pada Selasa lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.34 pagi semalam.

Ia disahkan oleh adik iparnya, Datuk Nik Kamaruddin Ismail semalam.

Nik Kamaruddin berkata, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di masjid Kampung Baru di ibu negara dan dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam USJ 21, Subang Jaya.

Allahyarham Abdul Ghani meninggalkan isteri, Puan Sri Tengku Aishah Tengku Ibrahim dan empat anak, dua lelaki dan dua wanita.

Ketika zaman kegemilangannya di sekitar tahun 1960-an hingga 1970-an, Allahyarham yang bermain sebagai penyerang tengah, merupakan pemain yang licik dan lincah dan sering menggerunkan pihak lawan.

Walaupun dilahirkan di Rantau, Negeri Sembilan pada 1935, Allahyarham banyak menyumbangkan tenaga sebagai pemain dan jurulatih bersama pasukan Selangor.

Pada 1959, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menganugerahkan gelaran Raja Bola kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya kepada negeri itu.

Allahyarham pernah merangkul anugerah Pemain Terbaik kebangsaan pada tahun 1959 dan 1960 dan pernah melakukan keajaiban dengan menjaringkan 106 gol hanya dalam 15 perlawanan. - Bernama

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan