Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


CHELSEA UNGGUL

Posted:

CHELSEA UNGGUL

LONDON - Chelsea mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana England selepas menewaskan Arsenal 2-1 di Stadium Emirates semalam.

Kemenangan skuad The Blues hadir hasil jaringan penyerang Sepanyol, Fernando Torres dan pemain tengah, Juan Mata, masing-masing pada minit ke-19 dan 53.

Gol sagu hati skuad The Gunners pula dijaringkan oleh penyerang antarabangsa Ivory Coast, Gervinho pada minit ke-40.

Dengan kemenangan itu, Chelsea yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan liga setakat ini mengumpul 16 mata manakala Arsenal kekal dengan sembilan mata.

Pengurus Chelsea, Roberto di Matteo memuji kapten The Blues, John Terry yang dilihat mempamerkan aksi mantap meskipun diejek penyokong Arsenal sepanjang perlawanan tersebut.

Terry diberi layanan 'dingin' selepas didapati bersalah oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England Khamis lalu kerana mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kepada pemain pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand.

"Ia merupakan satu cabaran paling sukar menentang sebuah pasukan berkualiti seperti Arsenal.

"Torres mempamerkan aksi yang hebat. Ia juga satu keputusan yang tepat untuk menyenaraikan Terry kerana dia sekali lagi menunjukkan karakter seorang pemimpin.

"Kami berjaya memberikan tekanan kepada Arsenal dan tidak membenarkan mereka untuk mendapatkan rentak.

"Kami juga memiliki salah seorang penjaga gol terbaik di dunia (Petr Cech) yang berjaya menyelamatkan dua percubaan bahaya Arsenal," ujar di Matteo - AFP

Ubah segera kepimpinan PBSNT

Posted:

Ubah segera kepimpinan PBSNT

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN penyokong bola sepak Terengganu mengadakan demonstrasi menuntut rombakan pihak pengurusan PBSNT di pekarangan Taman Awam, Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.


HAMPIR 500 penyokong setia Terengganu mengadakan demonstrasi secara aman berhampiran Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Dalam perhimpunan lebih sejam itu, mereka mendesak kepimpinan PBSNT dirombak dan ditukar dengan muka baharu.

Rata-rata mereka berikrar akan meneruskan Kempen ABC yang bermaksud Asal Bukan Che Mat bagi mendesak pengunduran Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh.

Pada mulanya keadaan sedikit tegang apabila beberapa individu dipercayai penyokong kuat Che Mat cuba menghalang perhimpunan itu, namun situasi itu dapat diselesaikan dengan baik.

Perhimpunan itu yang dipantau polis diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak, berakhir satu jam kemudian.

Seorang penyokong tegar Terengganu, Khairuddin Fakrulddin Sulaiman, 23, berkata, PBSNT perlu distruktur semula sebagai sebuah badan profesional dengan penyertaan individu yang bersesuaian sebagai anggota lembaga pengarah PBSNT.

"Antara yang boleh dipertimbangkan (sebagai anggota lembaga pengarah PBSNT) ialah Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu serta ahli akademik yang terlibat dengan sukan.

"Jika kepakaran itu digabungkan, persatuan dapat diberi nafas baharu, sekali gus dapat menjana pendapatan sendiri seperti kelab-kelab luar dan tidak perlu bergantung kepada dana kerajaan negeri," katanya.

Syed Ahmad Tarmizi Syed Mohamad, 26, pula berkata, sebagai penyokong setia Terengganu, dia bukan tidak dapat menerima kekalahan tetapi mahukan perubahan drastik dalam PBSNT demi kemajuan bola sepak negeri itu.

"Kami bukan suka berkumpul ramai-ramai macam ini kalau bukan sebab sayangkan nasib bola sepak Terengganu dan sebab itu kami mahu pengurusan PBSNT ditukar," katanya.

Jelasnya, bantahan sama akan diteruskan daripada semasa ke semasa sekiranya masih tiada perubahan dalam persatuan itu pada masa hadapan.

Sebelum ini, penyokong skuad Penyu itu turut mengadakan kempen bagi mendesak pengunduran Che Mat dengan menampal poster di merata-rata tempat.

Skuad Jang optimis singkir ATM

Posted:

Skuad Jang optimis singkir ATM

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

HAIRUDDIN (kanan) menghalang gerakan pemain Negeri Sembilan, Azmeer Yusof pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.


KECEWA tetapi tetap puas hati.Itu reaksi jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas menyaksikan anak-anak buahnya tewas tipis 2-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Menurut Azraai, beliau yakin skuad Hoben Jang Hoben masih berpeluang cerah untuk mara ke saingan separuh akhir biarpun mereka tewas pada aksi kelmarin.

Jelasnya, Negeri Sembilan akan tampil lebih garang apabila melayan kunjungan ATM pada aksi suku akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Selasa ini.

"Walaupun kecewa tetapi kami masih memiliki keyakinan untuk melakukan aksi lebih baik di Paroi nanti.

"Saya akui jaringan Firdaus itu adalah anugerah yang mana satu benda yang jarang-jarang berlaku dan inilah dunia bola sepak, keajaiban akan berlaku.

"Paling penting pada malam ini (kelmarin) kami mendapat jaringan di tempat lawan.

"Dengan jurang satu gol, kami yakin (untuk meraih kemenangan ke atas ATM) di tempat sendiri," kata Azraai kepada pemberita selepas tamat perlawanan kelmarin.

Selepas terikat tanpa jaringan dalam tempoh 45 minit pertama perlawanan, Negeri Sembilan terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan ATM menerusi Christie Jayaseelan pada minit ke-56.

Berselang lima minit kemudian, ATM terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan penyandang juara itu hasil jaringan tonggak import, Bruno Martelotto.

Begitupun, Sang Rusa mengurangkan defisit gol menerusi jaringan Mohd. Firdaus Azizul pada minit ke-74 hasil kesilapan penjaga gol ATM, Mohd. Farizal Harun.

Bekas penyerang skuad kebangsaan, Hairuddin Omar kembali meletakkan ATM selesa di hadapan apabila meledak gol pada minit ke-80.

Penyerang muda, Ahmad Shakir Md. Ali menghidupkan kembali sisa-sisa perjuangan Negeri Sembilan apabila menjaringkan gol yang cukup menarik pada minit ke-89.

Ditanya mengenai tekanan menjelang aksi suku akhir kedua, Azraai berkata, beliau yakin pasukannya akan lebih bersemangat apabila tampil beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.

"Jadi tiada tekanan atau bebanan apabila kami beraksi di Paroi nanti.

"Kami akan menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk meraih kemenangan, seterusnya mara ke peringkat separuh akhir," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan