Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Chong Wei sah sunting Mew Choo

Posted:

Chong Wei sah sunting Mew Choo

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

CHONG WEI (kiri) dan Mew Choo akan melangsungkan perkahwinan bulan depan.


SELEPAS 11 tahun jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berpacaran dengan Wong Mew Choo, akhirnya kedua-dua pasangan itu bakal melangsungkan perkahwinan pada November depan.

Begitupun, tarikh rasmi perkahwinan tersebut masih belum dimaklumkan memandangkan Chong Wei masih berada di Odense dan baru mengakhiri misinya pada Kejohanan Badminton Siri Super Primer Terbuka Denmark kelmarin dengan muncul juara.

Sebaliknya, abang Chong Wei, Lee Chong Hoon sekadar memberitahu, majlis resepsi bagi meraikan perkahwinan tersebut akan diadakan selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 dan 10 November depan.

"Tarikh (pendaftaran perkahwinan) dan tempat perkahwinan tersebut akan dimaklumkan sendiri oleh Datuk Lee Chong Wei dan Mew Choo pada sidang akhbar akan datang," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat syarikat Chong Wei Binajaya Sdn. Bhd. di Bandar Puteri, Puchong semalam.

Chong Hoon yang mengakui gembira dengan keputusan adiknya untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini berkata, seluruh ahli keluarganya tidak sabar menunggu majlis gilang-gemilang tersebut.

"Ibu saya sangat gembira dan seluruh keluarga juga gembira dengan perkahwinan ini kerana setelah sekian lama mereka akan disatukan.

"Walaupun kami hanya ada masa selama 43 hari untuk membantu persediaan majlis perkahwinan ini tetapi kami akan cuba untuk melangsungkannya dengan sempurna.

"Memang kami kesuntukan masa dan Chong Wei juga begitu kerana dia bukan sahaja 'terkejar-kejar' untuk menguruskan hal perkahwinan tetapi terpaksa mengikuti latihan seperti biasa untuk menyertai Terbuka Denmark," ujar Chong Hoon.

Majlis yang akan berlangsung selama dua hari di KLCC itu dijangka akan disertai seramai 2,500 tetamu dan 500 petugas majlis perkawinan.

Jelasnya, majlis pada 9 November nanti akan melibatkan lebih kurang 1,000 jemputan terdiri daripada tetamu kehormat dan antara yang diundang ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa menteri Kabinet serta ahli-ahli korporat dari dalam dan luar negara.

"Pada malam kedua, majlis akan diadakan untuk kaum keluarga dan sahabat handai yang melibatkan 1,500 jemputan termasuk 500 kru bertugas.

"Jumlah sebenar perbelanjaan untuk majlis perkahwinan ini juga tidak dapat dinyatakan lagi tetapi kebanyakan kos ditanggung oleh penaja," jelasnya.

Sementara itu, bapa pemain badminton No. 1 dunia itu, Lee Ah Chai, 59, mengakui sangat teruja apabila perkara yang sudah lama 'dinanti-nantikan' itu terjawab apabila Chong Wei menghubunginya pada bulan lepas untuk memberitahu akan menamatkan zaman bujangnya.

Menurut Ah Chai, beliau berharap perkahwinan Chong Wei dengan bekas pemain badminton wanita negara tersebut akan dilimpahi dengan kebahagiaan.

"Hanya Chong Wei seorang sahaja anak saya yang belum berkahwin dan apabila dia memberitahu mahu menamatkan zaman bujangnya, sudah pasti saya rasa sangat gembira.

"Saya juga merasa gembira kerana dia memilih Mew Choo sebagai teman hidupnya kerana saya sudah lama mengenali Mew Choo iaitu sebelum Chong Wei menyertai akademi lagi (Persatuan Badminton Malaysia)."

"Saya berharap mereka bahagia kerana Mew Choo sangat baik dan dia juga pasti sangat memahami Chong Wei," katanya.

Lebih menarik, Chong Hoon turut mengumumkan bahawa seramai 10 peminat Chong Wei akan diberi peluang untuk hadir bersama-sama meraikan malam resepsi majlis perkahwinan tersebut di KLCC pada 9 November.

Misi Malaysia pertahan juara

Posted:

Misi Malaysia pertahan juara

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

MAHALLI (dua dari kiri) turut tersenarai untuk menyertai latihan skuad Piala AFF Suzuki negara.


SELEPAS sekian lama 'bereksperimen', pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal akhirnya mengumumkan senarai 35 pelatih bagi menggalas cabaran negara mempertahankan Piala AFF Suzuki yang bakal membuka tirainya November depan.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan 28 pelatih yang bakal menjalani latihan pusat di Wisma FAM bermula semalam.

Selain 28 pelatih itu, tujuh lagi pemain pelatih 'KIV' juga bakal dipanggil bila-bila masa bagi menggantikan mana-mana 28 pemain yang tercedera menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki nanti.

Dalam skuad Piala AFF Suzuki kali ini, paling mencuri tumpuan ialah kehadiran semula 'kuda tua' Selangor, Amri Yahyah yang berada dalam senarai calon 'KIV'.

Turut disenarai ialah Mohd. Azmi Muslim dan Irwan Fadzli Idrus daripada skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Ahmad Shakir Md Ali (Negeri Sembilan) serta tiga tonggak Harimau Muda, Ahmad Hazwan Bakri, Mohd. Affize Faisal Mamat dan Mohd. Izham Tarmizi Roslan.

Begitupun, beberapa pemain Kelantan seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Shakir Shaari, Norshahrul Idlan Talaha. S. Subramaniam dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim yang terlibat dalam final Piala Malaysia, Sabtu lalu hanya akan menyertai latihan bermula hari ini.

Turut menjalani latihan hari ini ialah pemain ATM seperti Amiridzwan Taj Tajudin, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Zaquan Adha Abdul Radzak dan Christie Jayaselan.

Seperti diduga, Rajagobal masih menaruh kepercayaan kepada majoriti muka lama sebelum ini seperti Safee Sali, Safiq Rahim, Ahmad Fakri Saarani, Yong Kuong Yong, Azamuddin Akil dan Baddrol Bakhtiar.

Kecemerlangan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali sepanjang kempen Piala Malaysia juga berbaloi apabila turut dipanggil Rajagobal kali ini sebagai penjaga gol ketiga negara di belakang Farizal Marlias (Negeri Sembilan) dan Khairul Fahmi.

Kehadiran Norazlan kali ini dilihat menutup peluang bekas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee beraksi dalam pentas Piala AFF Suzuki kali ini.

Turut mendapat kepercayaan Rajagobal kali ini ialah beberapa tonggak Harimau Muda iaitu Mahalli Jasuli, Mohd. Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbat.

Sebelum sepak mula Piala AFF Suzuki pada 23 November depan, Harimau Malaya terlebih dahulu bakal diuji dalam tiga aksi persahabatan antarabangsa apabila berdepan Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi pada 3 November depan.

Mereka kemudiannya berdepan cabaran Thailand di Chiang Mai (7 November) sebelum melayan kunjungan Hong Kong di Stadium Shah Alam, 14 November depan.

Pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini, Harimau Malaya diundi bersama Indonesia, Singapura dan Laos dalam Kumpulan B.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Singapura pada 25 November, diikuti berdepan Laos dua hari kemudian sebelum menamatkan aksi kumpulan bertemu Indonesia, 1 Disember depan.

Juara tiga kali, Thailand yang merupakan tuan rumah bersama Piala AFF Suzuki 2012 dengan Malaysia pula diundi dalam Kumpulan A bersama juara edisi 2008 Vietnam, Filipina dan Myanmar.

Perlawanan Kumpulan A akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand manakala aksi Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 24 November hingga 22 Disember.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir dengan format perlawanan, bermain di tempat sendiri dan lawan dari 8 hingga 13 Disember.

Kafa tetap tunaikan

Posted:

Kafa tetap tunaikan

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

IMBAS... Para pemain dan pegawai pasukan Kelantan meraikan kejayaan mereka menjuarai Piala Malaysia 2012 di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan menunaikan janji mereka untuk menghadiahkan lot tanah kepada barisan pemain The Red Warriors (TRW) selepas mereka berjaya menjulang kejuaraan trebel musim ini.

Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail berkata, bagaimanapun pihaknya masih belum membuat keputusan mengenai lokasi lot tanah yang akan diberikan kepada pemain atas kejayaan tersebut.

Menurutnya, keputusan mengenai lokasi lot tanah berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat pengurusan sebaik sahaja Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa pulang daripada mengerjakan haji pada hujung bulan ini.

"Buat masa ini Kafa sedang mengenal pasti lokasi terbaik untuk dijadikan lot tanah bagi diagihkan kepada barisan pemain The Red Warriors.

"Kita akan tunaikan apa yang telah dijanjikan kepada pemain sebagai menghargai pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, kejayaan merangkul kejuaraan trebel ini cukup manis, dan ia akan menjadi sejarah yang akan dikenang sampai bila-bila oleh pemain dan penyokong Kelantan.

Pada 16 Oktober lalu, akhbar melaporkan bahawa Kafa akan menghadiahkan lot tanah kepada barisan pemain skuad The Red Warriors sekiranya mereka berjaya merangkul tiga kejuaraan termasuk Piala Malaysia.

Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam majlis perjumpaan dan pembahagian bonus kepada pemain skuad Kelantan selepas mereka layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.

Difahamkan, setiap lot tanah tersebut dianggar bernilai antara RM60,000 hingga RM80,000 dan dijangka akan menelan perbelanjaan keseluruhan RM2 juta.

Kelantan menutup saingan Liga M musim ini dengan bergaya apabila menjulang tiga kejuaraan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, sekali gus melakar kejayaan terbesar dalam sejarah bola sepak di negeri berkenaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan