Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


TMJ wajar timbang semula

Posted: 04 Apr 2013 12:56 PM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah berharap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan membuat pertimbangan atas keputusannya meletakkan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Sultan Ahmad Shah yang dukacita dengan keputusan drastik itu percaya seluruh penyokong bola sepak negeri Johor termasuk PBNJ sendiri memerlukan khidmat Tunku Ismail.

"Kita tengok sejak TMJ jadi Presiden, kedatangan peminat-peminat sukan bola sepak di negeri Johor sangat menggalakkan. Ini apa yang saya lihat di televisyen.

"Apa yang saya hendak katakan, tidak ada satu makhluk pun yang tidak membuat kesilapan. Jadi sebagai kita mengabdikan diri kita kepada Allah SWT, mesti terima ini semua. Kita buat perkara yang salah, kita kena menghadapinya," katanya.

Presiden FAM itu berkata demikian ketika ditemui para pemberita selepas Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2013 di sini, kelmarin.

Tunku Ismail kelmarin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden PBNJ berkuat kuasa serta-merta selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau bertindak demikian kerana merasakan sukar untuk terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM pada masa sama sebagai Tunku Mahkota Johor lalu memilih menjadi penaung PBNJ.

Jawatan Presiden PBNJ kini dipikul Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Pada perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Terengganu, 30 Mac lalu, Tunku Ismail yang digantung enam bulan selepas didapati melanggar Artikel 88 Statut FAM dilihat berada di bangku simpanan pemain ketika perlawanan berlangsung pada separuh masa kedua.

Mengenai kenyataan TMJ bahawa amat sukar untuknya mentadbir urus PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM, Sultan Ahmad Shah berkata, tiada sesiapa pun di negara ini yang boleh lari daripada undang-undang.

"Kita tidak boleh lari daripada undang-undang, bila kita sanggup berkhidmat untuk apa jua jawatan kita mempunyai satu undang-undang yang telah ditetapkan, jadi kita kena mematuhinya," ujar Sultan Ahmad Shah.

Teruskan siasatan atau tutup kes

Posted: 04 Apr 2013 12:56 PM PDT

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim belum boleh menyangka bahawa siasatan sudah berakhir memandangkan perkara itu masih belum menjadi kepastian.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, sama ada Tunku Ismail tetap disiasat atau sebaliknya, semuanya bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk membuat penilaian.

"Terpulang kepada Jawatankuasa Tatatertib dalam hal ini untuk menyiasat atau tidak kerana kesalahan yang dilakukan beliau adalah sebelum meletak jawatan," katanya dalam satu sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia, semalam.

Namun, percubaan Utusan mendapatkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak gagal apabila dia tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasan bagi isu berkenaan.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor membuat kejutan apabila bertindak mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Punca utama mengapa beliau bertindak demikian kerana merasakan cukup sukar untuk terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM pada masa sama selaku Tunku Mahkota Johor, lalu memilih mahu bertindak sebagai penaung PBNJ manakala jawatan Presiden PBNJ akan dipikul Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Pada perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Terengganu, 30 Mac lalu, Tunku Ismail yang digantung enam bulan kerana mengkritik pengadil dalam saingan Liga Malaysia kelihatan berada di bangku simpanan pemain pada separuh masa kedua.

Dalam perkembangan lain, Azzuddin menjelaskan, FAM mahu meneliti terlebih dahulu pembabitan pasukan negara bagi bertanding pada Kejohanan Liga Super ASEAN (LSA).

Beliau mengakui masih ada perkara perlu diberi perhatian terutama kos perbelanjaan yang begitu besar di samping mahu menilai syarat-syarat yang dikemukakan pada kejohanan yang dijangka bakal bermula pada tahun 2015 tersebut.

"Kami (FAM) masih lagi belum dijelaskan dengan lebih terperinci mengenai LSA jadi saya perlu tengok cadangan itu terlebih dahulu.

"Kejohanan selama lapan bulan ini melibatkan perlawanan liga timbal balik (di stadium tuan rumah dan gelanggang lawan) yang mana setiap pasukan dihantar harus memiliki stadium sendiri dan memiliki deposit wang yang besar.

"Begitupun, kami akan putuskan keputusan untuk menghantar dua wakil negara selepas mendapat butiran terperinci mengenai LSA nanti tetapi apa yang pasti dua pasukan ini bukan dari Liga Malaysia," katanya.

Kewujudan LSA telah disahkan oleh Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang merangkap Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa liga dwi tahunan itu bakal melihatkan dua pasukan terbaik daripada setiap anggota ASEAN tanpa perlu beraksi pada pusingan kelayakan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS