Utusan Online - Sukan |
GP Qatar: Zulfahmi raih tempat keenam Posted: 07 Apr 2013 10:02 AM PDT ZULFAHMI KHAIRUDDIN... Pelumba Moto3 Malaysia. QATAR 8 April - Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin berjaya memulakan saingan pada tahun 2013 dengan baik apabila berjaya meraih tempat keenam pada perlumbaan GP Qatar. Walaupun bermula dari petak ke-11, Zulfahmi yang menunggang Red Bull KTM Ajo berjaya menunjukkan ketenangan ketika menunggang untuk mengejar kelompok pelumba hadapan bagi meraih 10 mata dalam kedudukan keseluruhan kejuaraan dunia. Perlumbaan itu berjaya dimenangi rakan sepasukannya, Luis Salom sementara naib juara Moto3, Mark Vinales di tempat kedua dan Alex Rins berada di kedudukan ketiga. - UTUSAN ONLINE |
Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Radojko Avramovic KUALA LUMPUR - Belum pun nasib Datuk K. Rajagobal diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), nampaknya ada individu yang sudah mula menunjukkan minat mengisi kerusi panas jurulatih Harimau Malaya. Berdasarkan sumber yang diperoleh Utusan Malaysia, bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic yang lebih dikenali dengan nama panggilan Raddy, cukup berminat menggantikan Rajagobal pada masa akan datang. Malah, berdasarkan maklumat yang diterima, Raddy telah menghantar permohonan rasmi kepada FAM, termasuk profil peribadi pada 2 April lalu bagi memaklumkan hasratnya menjadi jurulatih Harimau Malaya jika terdapat sebarang kekosongan. Walaupun FAM belum menyatakan jawapan secara rasmi, namun Raddy, pengendali dari Serbia yang dianggap antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah bola sepak Singapura, dilihat menjadi calon utama yang boleh mengambil alih peranan Rajagobal berdasarkan pengalaman luasnya di peringkat antarabangsa selain cukup masak dengan situasi bola sepak di Asia Tenggara. Namun, personaliti jurulatih berusia 63 tahun itu mungkin boleh menimbulkan sedikit kesulitan kerana dia bukan seorang yang mesra media. Antara sebab utama Raddy masih berminat bertugas di Asia Tenggara adalah kerana dia mempunyai anak yang bertugas di Singapura dan selesa tinggal di sini. Selain kejuaraan Piala AFF 2012 yang dirangkul baru-baru ini, Raddy yang menjadi jurulatih Singapura dari 2003 hingga 2012 telah memberikan dua lagi kejuaraan Piala Suzuki AFF pada 2004 dan 2007. Beberapa keputusan sensasi yang pernah dicatatkan oleh Singapura ketika di bawah kendaliannya adalah menewaskan Kuwait 2-0 dan seri tanpa jaringan dengan Australia pada 2008. Sebelum bersama dengan Singapura, jurulatih yang berasal dari Serbia itu pernah bertindak menjadi jurulatih Bawah 23 tahun Kuwait yang layak ke pusingan akhir Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia. Pada penghujung 2001, dia menjadi jurulatih skuad kebangsaan Kuwait dan pasukan itu dinobatkan sebagai juara Asia Barat 2002 dan membawa Kuwait mara ke suku akhir Sukan Asia Busan, Korea Selatan pada tahun yang sama. Namun, kontraknya ditamatkan pada Disember 2002 apabila gagal membawa Kuwait melepasi peringkat kumpulan Piala Negara-Negara Arab. Rajagobal yang baru sahaja mendapat surat pertuduhan daripada Jawatankuasa Tatatertib FAM pada Jumaat lalu, bakal berdepan kesalahan 18.3 Kod Tatatertib FAM dan boleh digantung enam bulan serta denda RM8,000 jika bersalah. Jika berjaya melepaskan diri, Rajagobal hanya berpeluang mengendalikan Harimau Malaya sehingga hujung tahun ini kerana kontraknya bakal berakhir pada Disember 2013, kecuali beliau ditawarkan kontrak baru. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |