Utusan Online - Sukan |
Posted: Nicol, Nafiizwan tawan Asia
KUALA LUMPUR - Pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David memberi kemenangan berganda buat Malaysia pada Kejohanan Skuasy Asia apabila mempertahankan kejuaraan kelapan berturut-turut, semalam. Namun Mohd. Nafiizwan Adnan mencuri tumpuan selepas melakar kejutan terbesar dengan menundukkan Ong Beng Hee untuk menjulang gelaran perseorangan lelaki. Ketika kemenangan Nicol ke atas pemain Hong Kong, Annie Au sudah diduga, apa yang mengejutkan peminat di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David, Bukit Dumbar adalah keupayaan Nafiizwan Beng Hee 11-7, 7-11, 11-7, 11-8 untuk ditabalkan juara buat kali pertama. Ia bukan saja kemenangan pertama Nafiizwan ke atas Beng Hee, malah kejuaraan hadir enam hari selepas dia menyambut ulang tahun ke-25. "Syukur kepada Allah atas kemenangan ini. Ia hadiah hari jadi paling istimewa pernah saya terima. Kejayaan ini memberi keyakinan untuk saya mencari kejuaraan lebih besar, saya mahu memburu gelaran dunia. "Saya tidak pernah terfikir akan pergi sejauh ini kerana sasaran awal saya cuma berada dalam kedudukan empat terbaik, namun sebaik berjaya ke separuh akhir buat kali pertama, saya mula berkata kepada diri sendiri, mengapa saya tidak boleh menang ?,'' ujar Nafiizwan, yang menghuni ranking ke-45 dunia. Kelmarin, Nafiizwan mengejutkan pilihan kedua,Farhan Mehboob dari Pakistan pada separuh akhir. Sementara itu bagi Nicol, kemenangan mudah 11-3, 11-2, 11-5 ke atas pilihan kedua, Annie membuktikan dia tiada tandingan, malah memahat rekod yang sukar dipecahkan mana-mana pemain selepas ini. "Saya sangat teruja kerana bermain di depan keluarga serta rakan-rakan. " Saya membesar di sini, jadi ia memberi satu perasaan yang terlalu istimewa buat saya. Hari ini, saya memberikan permainan terbaik saya dan meraih kemenangan yang hebat,'' kata Nicol. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Bersendirian ke babak akhir
KUALA LUMPUR - Walaupun tidak perlu berdepan pasangan terbaik dunia yang lain, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong masih gagal menggunakan Terbuka India untuk mencari kejuaraan pertama tahun ini selepas dikejutkan oleh beregu Jepun, Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata pada separuh akhir semalam, sekali gus meninggalkan Datuk Lee Chong Wei bersendirian melangkah ke final. Anak-anak buah Rexy Mainaky itu gagal memanfaatkan ketiadaan beregu handalan seperti Markis Kido-Hendra Setiawan, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung atau Cai Yun-Fu Haifeng pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM600,000) apabila terpaksa akur 16-21, 19-21 hanya dalam masa 33 minit. Kekalahan ini melebarkan kemarau gelaran yang dialami Kien Keat-Boon Heong dalam kalendar kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejak kali terakhir mereka merangkul kejuaraan pada Terbuka Malaysia, Januari, 2010. Namun, beregu No. 4 dunia itu meraih pingat emas Sukan Komanwel di New Delhi, tahun lalu. Final beregu lelaki akan menemukan dua pasangan yang tidak diduga selepas beregu muda Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra terdahulu melakar kejutan dalam satu lagi separuh akhir dengan menyingkirkan beregu senegara yang juga pilihan ketiga, Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan 21-23, 21-18, 21-14. Seperti biasa, jaguh No. 1 dunia, Chong Wei sekali lagi menjadi penyelamat maruah Malaysia apabila berjaya mengelak daripada kejutan tidak diingini, malah mempamer aksi meyakinkan ketika mengetepikan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-11, 21-15 hanya dalam masa 27 minit. Berbeza dengan Kien Keat-Boon Heong yang masih gagal memiliki kejuaraan pertama 2011, Chong Wei sebaliknya menghampiri gelaran keempat tahun ini selepas muncul juara Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia dan All England. Chong Wei bagaimanapun perlu menghadapi cabaran getir jaguh veteran Denmark, Peter Hoeg Gade dalam pemburuan gelaran hari ini. Semalam, Gade, 34, mempamer permainan mantap ketika menundukkan pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan 21-15, 21-19 Hajat Malaysia untuk melihat kejuaraan berganda dibawa pulang dari New Delhi turut tidak kesampaian selepas satu lagi pasangan harapannya, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tersingkir di separuh akhir beregu campuran. Selepas mengejutkan pilihan kedua, Songphon Anugritayawon-Kunchala Voravichitchaikul dari Thailand pada suku akhir kelmarin, juara Asia 2010 itu gagal meneruskan rentak cemerlang apabila disingkirkan oleh pasangan Indonesia, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadeth 12-21, 16-21. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |