LEBIH 200 pasukan bakal menggegar Karnival Futsal Harian Metro Zon Selatan di Sports Prima Pandan, Johor Bahru bermula 30 Jun hingga 1 Julai ini bagi merebut peluang menjadi antara 24 pasukan layak beraksi di Grand Final sekali gus merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM321,000, bulan depan.
Pengurus Projek Harian Metro, Abdul Kadir Hamza berkata, karnival futsal tahun ini dijangka lebih meriah dan mencabar kerana bukan saja menyaksikan penambahan bilangan penyertaan pasukan, malah mengubah lokasi penganjuran.
Menurutnya, lokasi itu dipilih bagi membolehkan setiap ahli pasukan merasai suasana berbeza dan memudahkan pasukan terutama sekitar Pasir Gudang dan Ulu Tiram menyertai kejohanan tahun ini. "Peminat futsal masih berpeluang menyertai cabaran di Sports Prima bagi mencuba nasib menjadi antara 24 pasukan yang layak beraksi di Grand Final yang bakal diadakan di Melaka, bulan depan.
"Saingan terbuka kepada pasukan dari seluruh negara terutama yang gagal di zon sebelumnya untuk tampil beradu nasib sekali lagi," katanya selepas penyerahan gelanggang oleh Pengarah Urusan Sports Prima Sdn Bhd, David Goh, semalam. Tiga kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita serta Lelaki Bawah 17 Tahun dengan hadiah wang tunai ditawar hingga tempat kelapan bagi setiap kategori, membabitkan RM37,500 secara keseluruhan.
Abdul Kadir berkata, seramai 40 urusetia akan melakukan pelbagai persiapan bagi memastikan penganjuran berjalan lancar.
Sama seperti di tiga zon sebelum ini, Tengah (Sports Planet, Ampang); Timur (Sports Planet Terengganu, Gong Badak) dan Utara (De Futsal Centre, Alor Setar, Kedah) hanya lapan pasukan terbaik layak menempah tiket ke Grand Final di Melaka, pada 14 hingga 15 Julai ini.
Selain futsal, saingan di Johor turut menjadi pertarungan buat pasukan yang ingin menyertai Karnival Bola Jaring Harian Metro dibawa khas AmBank bagi merebut kelayakan ke Grand Final.
Dua kategori dipertandingkan, iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita dan penganjur mengalu-alukan penyertaan pelbagai peringkat usia bagi merebut hadiah lumayan berjumlah RM2,000 bagi juara, naib juara (RM1,000), manakala ketiga dan keempat (RM500).
Selain Ambank selaku penaja utama, karnival tahun ini turut menampilkan H-TWO-O sebagai penaja minuman rasmi selain Lancast (pakaian rasmi) dan Sani Express (pengangkutan rasmi). Sebarang pertanyaan mengenai futsal atau bola jaring, sila hubungi 03-20569 767 selepas jam 3 petang.
Sementara itu, David berkata, pemilihan pusat futsal itu untuk kali keempat nyata pilihan tepat kerana banyak pasukan yang beraksi pada Karnival Futsal Harian Metro sudah serasi dengan gelanggang berkualiti di situ.
Menurutnya, dua tahun lalu, gelanggang futsal sudah dinaik taraf membabitkan kos RM120,000 dan pada karnival tahun ini, tiada perubahan dilakukan kerana keadaan gelanggang masih baik.
"Enam gelanggang bermutu jenis Decoflex dan dua gelanggang rumput tiruan masih dalam keadaan baik kerana ia diselenggara dengan sempurna.
"Kami juga mengutamakan kebersihan dan keselesaan pengunjung," katanya.
Pusat futsal terbabit terletak di Jalan Sri Purnama 4, Perindustrian Sri Purnama, Johor Bahru.