Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Revington tarik balik

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Paul Revington menarik semula keputusan meletak jawatan selepas menemui Khairy dalam pertemuan tertutup di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA - Jurulatih skuad negara Paul Revington menarik balik keputusan peletakan jawatannya dan akan terus membimbing pasukan sekurang-kurangnya sehingga pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Baharu bermula 29 Jun ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu di kementeriannya di sini, semalam.

"Saya rasa lega dengan keputusan itu sebab beliau telah kendalikan pasukan kebangsaan dengan baik, pemain pun menghormati beliau. Kita tidak mahu momentum pasukan kita untuk pusingan Liga Hoki Dunia terjejas," katanya.

Pada pertemuan 20 minit itu, Khairy berkata, Revington turut bersetuju untuk mempertimbangkan keputusan terus bersama skuad kebangsaan selepas pusingan Liga Dunia itu.

"Menurut persefahaman antara kami, beliau mungkin akan terus (melatih) juga selepas Liga Dunia itu, cuma saya perlu bincang dengan pihak lain yang terlibat sebelum membuat ketetapan untuk beliau kekal," katanya.

Khairy dalam pertemuan itu juga turut memaklumkan kepada Revington bahawa beliau akan secara peribadi menangani isu itu bersama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau turut meminta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong untuk meneruskan perjumpaan dengan MHC berhubung perkara tersebut yang dijangka akan diadakan esok di MSN.

"Saya tidak mahu tidak terlalu 'micro manage' perkara ini. Saya memahami pandangan dan kerisauan beliau (Revington). Mengenai masa depan beliau, kita perlu tangani dengan individu yang lain yang ada dalam persatuan," katanya.

Revington pada Sabtu lepas mendakwa wujud campur tangan dalam mengendalikan skuad kebangsaan terutamanya daripada jurulatih skuad jurulatih skuad remaja kebangsaan, Muhamad Dharmaraj Abdullah dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan yang mendorong beliau untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih hoki kebangsaan.

Revington adalah bekas jurulatih pasukan Ireland dan pernah memenangi anugerah 'Jurulatih Terbaik Dunia 2011' oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). - BERNAMA

Pemain mahu jurulatih kembali ke padang

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Mereka begitu teruja di dalam latihan, itulah penjelasan penolong jurulatih hoki kebangsaan, Arul Selvaraj mengenai anak-anak buahnya walaupun dikejutkan dengan peletakan jawatan jurulatih Paul Revington.

Menurut Arul, situasi sekarang ini terkawal, pemain sentiasa berusaha menunjukkan kemampuan terbaik mereka di dalam latihan, malah seolah-olah seperti tidak ada sebarang masalah berlaku.

"Paul sudah berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tetapi saya masih belum sempat berjumpa dengannya, hanya menghubungi melalui telefon sahaja, saya harap dapat bertemu dengannya malam ini," katanya kepada media selepas sesi latihan di Bukit Jalil, semalam.

Jelasnya, selepas melihat laman akaun Twitter Khairy, masalah tersebut semuanya sudah selesai, namun Arul menegaskan, dia tetap perlu berbincang untuk mengetahui sendiri situasinya sekarang.

"Memang ramai pemain yang kecewa dengan situasi ini, namun saya berulang kali mengingatkan mereka bahawa mereka mempunyai tugas yang lebih penting dan tidak perlu masuk campur hal luar.

"Tugas pemain adalah berlatih sekarang ini tinggal 10 hari lagi, menjelang Liga Hoki Dunia di Johor, inilah peluang terbaik untuk mereka melayakkan diri ke Piala Dunia. Jadi tidak perlu fikir benda yang tidak memberi manfaat," katanya.

Arul berkata, setakat ini dia akan terus mengendalikan latihan pasukan kebangsaan.

"Saya menyusun semua latihan, tidak ada sebarang arahan daripada Revington, saya sudah lama bekerjasama dengannya jadi saya tahu apa yang perlu dilakukan dalam sesi latihan ini," kata Arul.

Sementara itu ketua pasukan, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah mengakui bahawa masalah yang melanda sekarang tidak melibatkan pemain, jadi dia dan rakan-rakan terus fokus di dalam latihan.

"Liga Hoki Dunia juga semakin hampir, walaupun ia sedikit terganggu di dalam latihan tetapi kami tetap meneruskannya, saya juga harap Revington kembali secepat mungkin.

"Dia seorang jurulatih yang bagus, memang amat rugi buat negara jika kehilangan jurulatih seperti itu," katanya.

Semalam, Khairy berjaya memujuk Revington menarik balik keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih.

Pertemuan tertutup di Kementerian Belia dan Sukan di sini, turut membentuk persefahaman bahawa jurulatih dari Afrika Selatan itu akan meneruskan khidmatnya untuk sekurang-kurangnya separuh akhir Liga Hoki Dunia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS