Utusan Online - Sukan |
Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT Oleh YATIMIN ABDULLAH Mohd. Badhri KOTA BHARU - Kapten pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi bersedia menjawab surat tunjuk sebab kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalannya melapor diri dalam latihan skuad kebangsaan. Mohd. Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, dia akan mengemukakan surat tunjuk sebab bersama laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di sini (Kota Bharu), sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super bertemu Lions XII pada 6 Julai lalu. Menurut Piya, pemeriksaan yang dibuat mengesahkan dia mengalami kecederaan otot paha (hamstring) dan doktor yang memeriksa menasihatkannya supaya berehat selama dua minggu daripada menjalani sebarang latihan. "Jika mahu surat tunjuk sebab, saya bersedia mengemukakannya bersama dengan laporan perubatan yang dibuat sebelum ini, termasuklah daripada pegawai fisioterapi pasukan. "Sebelum ini, saya telah menghubungi penolong jurulatih (Tan Cheng Ho) bagi memaklumkan kecederaan yang dialami. Namun, dalam masa yang sama dia (Cheng Ho) menyuruh saya hadir dan membuat laporan. "Tetapi mengikut kata doktor yang membuat pemeriksaan sebelum ini, menyuruh saya mengikuti sesi rawatan di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam. Tambahnya, dia juga bersedia ke Kuala Lumpur untuk melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan dan menjelaskan perkara itu. Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal dan jurulatih, Datuk K. Rajagobal meminta pemain berusia 31 tahun itu membalas surat tunjuk sebab kepada pengurusan FAM. Malah, Piya bakal berdepan tindakan tatatertib jika tiada sebarang alasan kukuh tidak menghadirkan diri dan besar kemungkinan tidak akan lagi dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada masa akan datang. Kegagalan pemain paling berpengaruh dalam pasukan Kelantan itu menimbulkan pelbagai polemik sehingga ada yang sesetengah pihak yang mendakwa pemain berkenaan sengaja tidak menghadirkan diri. Piya antara tujuh pemain dari pasukan Kelantan iaitu, Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini. Pemain yang terkenal dengan 'hantaran maut' itu berada pada kelas tersendiri apabila menjadi ketua pasukan Kelantan pertama mendakap kesemua kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). Dalam perkembangan lain, Piya memberitahu, dia sedikit terkilan kerana tidak bersama rakan-rakan sepasukan untuk membantu negara membuat persiapan. "Namun apa boleh buat, kecederaan yang dialami ini membataskan saya untuk berbuat demikian," ujarnya. |
Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT Zulfahmi Khairuddin SACHSENRING, Jerman - Harapan pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin untuk memulakan perlumbaan Moto3 Jerman di kedudukan lebih baik tidak kesampaian apabila sekadar berada di tempat ke-12 dalam sesi ujian kelayakan masa dengan catatan 1 minit 28.047 saat. Biarpun pada satu ketika dia berada di tempat ke-5, namun pelumba berusia 21 tahun gagal mempertahankan kedudukannya sebelum tergelincir ke tempat ke-10 dan mengakhiri tangga ke-12 sebaik sahaja masa kelayakan tamat. Kegagalan berada sekurang-kurangnya lapan pelumba teratas pasti menyukarkan peluang pelumba Red Bull KTM Ajo itu untuk mengintai kedudukan podium dan harapan paling realistik buat Zulfahmi adalah untuk cuba mengumpul seberapa banyak mata yang mampu. Memungut 40 mata, Zulfahmi tidak pernah berada di kalangan 10 pelumba teratas pada sesi kelayakan masa pada musim ini dengan kedudukan paling baik pernah diraihnya adalah berada di tempat ke-11 di Qatar dan Jerez, Sepanyol. Pelumba Sepanyol, Alex Rins meraih masa terpantas dengan catatan 1 minit 27.300 saat untuk meninggalkan pendahulu Moto3 yang juga merupakan rakan sepasukan Zulfahmi, Luis Salom yang berada di tempat kedua dan tangga ketiga milik pelumba pasukan Mahinda, Miguel Oliveira. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |