Utusan Online - Sukan |
Kawal diet ketika beraya - Zolkples Posted: Kawal diet ketika beraya - ZolkplesKUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong mengingatkan atlet negara agar mengawal pemakanan pada Aidilfitri yang disambut hari ini. Beliau berkata, atlet kebangsaan terutamanya yang akan beraksi pada Sukan SEA 2011, November ini perlu bijak menjaga kecergasan diri dengan mengamalkan pemakanan sihat dan diet seimbang. "Saya harap mereka ini tidak lupa diri apabila menjamah hidangan pada Hari Raya ketika berkunjung ke rumah sanak saudara," katanya. Zolkples turut meminta atlet yang memandu pulang ke kampung halaman agar berhati-hati di jalan raya dan jangan sampai membahayakan diri. Jelasnya, jika ada atlet yang tercedera, ia akan menyukarkan peluang mereka untuk beraksi pada Sukan SEA, jadi keselamatan diri perlu diberi keutamaan. "Kepada atlet terutamanya yang akan menyertai Sukan SEA di Indonesia November ini diharap dapat menjaga keselamatan diri, jangan sampai ada yang terlibat dengan kemalangan yang akan menjejaskan persiapan mereka nanti," ujarnya. Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada para atlet, jurulatih, pegawai dan semua warga sukan. Beliau juga mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54 kepada semua atlet dan warga kerja MSN. Zolkples memberitahu, MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 13 September ini di Stadium Putra, Bukit Jalil. |
Apek sudah pulangkan cincin tunang Posted: Apek sudah pulangkan cincin tunangKhairul Fahmi (kanan) sewaktu tiba di KLIA, Sepang bersama skuad Olimpik negara dari Slovakia semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH SEPANG - Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menegaskan masalah luar padang membabitkan dirinya tidak menjejaskan fokus menggalas cabaran negara pada pusingan Kelayakkan Olimpik 2012, bulan depan. Khairul Fahmi atau Apek yang baru pulang dari menjalani latihan bersama skuad Olimpik di Slovakia kelmarin berkata, dia tahu membezakan antara kerja dengan hal peribadi. "Waktu saya perlu kerja, saya sentiasa berikan seratus peratus. Masalah luar padang langsung tidak menjejaskan saya," katanya ketika ditemui di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin. Khairul yang menjadi bualan hangat ekoran isu putus tunang dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi atau Elia, memberitahu masalah itu sudah hampir selesai tetapi belum 'sepenuhnya'. "Disebabkan keluarga saya jauh di Kelantan, sebelum ke Slovakia lagi saya sudah serahkan cincin pertunangan kepada keluarga angkat di Kuala Lumpur untuk dipulangkan kepada keluarga Elia. "Pertunangan kami telah diputuskan secara rasmi. Namun masih ada perkara yang perlukan saya selesaikan sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari cuti Hari Raya ini. "Saya akan pastikan ia diselesaikan dengan cara baik dan tiada lagi masalah berbangkit kerana banyak lagi perkara penting saya perlu fokus, jadi masalah luar padang tidak harus timbul lagi," katanya. Apek, 21, juga mengakui dia adalah lelaki dalam gambar kontroversi yang memaparkan seorang lelaki dan wanita berpegang tangan dari arah belakang, yang mana lelaki dalam gambar tersebut mirip dia. Namun Apek mengatakan wanita di dalam gambar tersebut bukan 'orang ketiga' dan tiada kena mengena dengan tindakan mengejut dia memutuskan pertunangan dengan Elia. Gambar yang tersebar luas di Internet mendakwa ia dirakam ketika pasangan berkenaan bercuti di Universal Studio Singapura baru-baru ini. Tanpa menghuraikan butiran mengenai wanita tersebut, Apek memberitahu wanita tersebut adalah kenalan rapat di kampung halamannya "Kami berdua mula rapat sejak timbul masalah saya dengan bekas tunang. Saya perlukan tempat mengadu dan bersamanya saya berasa selesa membincangkan. Dia bukan puncanya," jelas Apek Sementara itu, pengendali skuad Olimpik, Ong Kim Swee menganggap latihan intensif sebulan di Slovakia berjaya mencapai matlamat. Dia percaya pengalaman yang ditimba pemainnya memantapkan skuadnya menjelang Kelayakkan Olimpik bermula dengan bertandang ke Jepun 21 September ini. Kematangan Harimau Muda tampak menyerlah dalam tujuh aksi persahabatan yang diatur menerusi rekod lima kemenangan dan hanya tewas dua kali. Ia termasuk menang tipis 1-0 ke atas Moldava diikuti Topolcany 2-1; Mikulas 2-1; Dolny Kubin 2-0; dan Levice 1-0. Mereka kecundang kepada kelab Hungary, Budapest Honved 1-4 dan 0-1 kepada kelab Liga Corgon Slovakia, FC Nitra. "Kita bermain tujuh perlawanan berkualiti dan kompetitif di Slovakia. Semua aksi persahabatan tersebut saya dapat nilai segala kekuatan dan kelemahan kita. "Pasukan ini semakin matang dan ia ditonjolkan menerusi beberapa kemenangan. Ini merupakan kali ketiga kami berlatih di Slovakia, kalau dahulunya kita sering tewas, kali ini ia tidak sama lagi," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |