Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Lawan Jerman tanpa Koo-Tan?

Posted: 20 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh Norzie Mohd. Khasbi dan Zazali Jamian
sukan@utusan.com.my

Tan Boon Heong (depan) dan Koo Kien Keat mungkin tidak akan disenaraikan menentang Jerman pada Piala Sudirman, hari ini. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR - Pertemuan dengan Jerman hari ini ibarat 'hidup mati' perjuangan Malaysia dalam saingan badminton Piala Sudirman.

Kita akan berdepan ujian getir itu dengan menggugurkan beregu paling berpengalaman, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Pasangan No. 3 dunia itu bakal menerima hukuman ekoran prestasi buruk ketika tewas 18-21, 18-21 kepada beregu Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin, keputusan yang membawa kepada kekalahan 2-3 Malaysia.

Pengakuan Boon Heong bahawa dia sudah hilang keyakinan berdepan Jerman dan rela digugurkan memudahkan barisan jurulatih membuat keputusan, namun memikirkan kenyataan seperti itu keluar daripada mulut seorang pemain kelas dunia ia memang amat mengecewakan.

Ketua jurulatih beregu kebangsaan, Tan Kim Her seperti diduga enggan mendedahkan barisan pemain yang bakal diturunkan Malaysia hari ini dengan alasan khuatir ia akan dihidu Jerman, namun daripada bayangan yang diberikan, Kien Keat-Boon Heong tiada dalam perancangan.

"Kekalahan Kien Keat dan Boon Heong semalam menjadi punca kekalahan pasukan negara. Kita menyasarkan mata daripada perseorangan lelaki, beregu campuran dan beregu lelaki, tetapi mereka gagal memberikan mata seperti diharap.

"Kita kena turunkan pasukan terbaik bertemu Jerman kerana kita perlu menang jika mahu ke suku akhir. Yang terbaik itu tidak semestinya berdasarkan ranking dan rekod tetapi prestasi semasa.

"Semalam (kelmarin) kita turunkan skuad yang kita rasa terkuat tetapi malangnya pasukan terbaik itu tidak mampu menang, jadi esok (hari ini) pun kita akan turunkan yang terbaik daripada aspek penilaian dan bukan rekod di atas kertas semata-mata," kata Kim Her.

Berdasarkan rekod pertemuan pasangan No. 7 dunia, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong paling layak menggalas cabaran beregu lelaki kerana mereka pernah mengalahkan beregu utama Jerman, Kindervater Ingo-Schoettler Johannes pada All England, Mac lalu.

Goh V Shem-Lim Khim Wah pula kalah kepada gandingan tersebut di Terbuka Jerman, seminggu sebelumnya, tetapi kejayaan menjuarai Grand Prix Emas Terbuka Malaysia awal bulan ini telah meningkatkan keyakinan pasangan muda itu.

"Thien How-Wee Kiong ada pengalaman dan pernah menewaskan beregu Jerman itu pada All England, tetapi V Shem-Khim Wah memiliki prestasi semasa yang baik, jadi kita kena tengok dulu bagaimana tahap keyakinan mereka untuk diturunkan.

"Sepatutnya dalam kejohanan besar seperti ini semua pemain bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa dan tidak timbul rasa tidak yakin tetapi sudah tentu siapa yang lebih meyakinkan akan menggalas cabaran," katanya lagi.

Dalam empat acara lain, mungkin hanya perseorangan wanita bakal menyaksikan rombakan selepas Sonia Cheah mempamerkan aksi 'kaku' ketika tewas mudah kepada pemain Taiwan, Tai Tzu Ying 7-21, 13-21.

Jaguh No. 1 dunia, Lee Chong Wei akan terus mengetuai cabaran perseorangan lelaki bersama beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

Malaysia tiada pilihan kecuali mengalahkan Jerman hari ini untuk melayakkan diri ke suku akhir selaku dua pasukan terbaik Kumpulan C. Kita menyasarkan untuk menyamai pencapaian terbaik 2009 iaitu layak ke separuh akhir.

Rekod bukan lagi jaminan

Posted: 20 May 2013 11:58 AM PDT

KUALA LUMPUR - Rekod pertemuan tidak lagi menjadi kriteria utama Rashid Sidek dalam memilih perseorangan wanita yang akan menentang Jerman hari ini, kerana dia tidak mahu terpedaya buat kali kedua.

Ketua jurulatih perseorangan negara itu memilih Sonia Cheah berbanding pemain yang lebih berpengalaman, Tee Jing Yi ketika menentang Taiwan kelmarin kerana Sonia pernah menewaskan perseorangan utama mereka, Tai Tzu Ying dua kali dalam kempen Piala Axiata, bulan lalu.

Bagaimanapun, Sonia bukan sahaja gagal mengulangi kecemerlangan ketika kedua-dua mereka bertemu lagi, malah kalah mudah 7-21, 13-21 dalam masa 24 minit kepada pemain No. 9 dunia itu.

"Rekod bukan lagi perkara yang boleh disandarkan apabila kami mahu memutuskan pemain yang sesuai untuk diturunkan, kita kena tengok keyakinan pemain juga selepas ini.

"Selepas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kalah (beregu lelaki), Sonia mula hilang keyakinan dan memberi tekanan kepada diri sendiri, dia tidak menunjukkan permainan sebenar pada ketika Tzu Ying pula menyerlahkan kemampuannya.

"Bertemu Jerman nanti, kita bernasib baik kerana pemain utama mereka, Juliane Schenk tidak datang, jadi mereka hanya akan menurunkan Schnaase Karin sebagai perseorangan wanita.

"Kalau ikut rekod, Sonia pernah kalahkan Karin sekali (Terbuka Belanda 2012) dan Jing Yi pula tidak pernah bertemu pemain ini. Secara jujur, saya tidak pernah tengok dia (Karin) bermain, jadi saya hanya tengok kali pertama apabila dia bertemu Taiwan hari ini (semalam).

"Saya bawa Jing Yi dan Sonia sekali bersama menonton perlawanan itu. Esok pagi (hari ini) kami akan bincang hati ke hati, siapa lebih memiliki keyakinan untuk beraksi. Kalau ikut pengalaman, saya rasa Jing Yi lebih sesuai," ujar Rashid.

Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei kekal mengetuai saingan perseorangan lelaki dan dijangka tidak menghadapi masalah berdepan pemain tidak ternama, Domke Dieter selepas Jerman kehilangan sentuhan pemain terbaiknya yang juga juara Eropah, Marc Zwiebler.

Kelmarin, Chong Wei menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang langsung tidak berdepan masalah ketika menentang Taiwan apabila menang mudah 21-8, 21-13 ke atas Yang Chih Hsun.

Malaysia sebaliknya bergelut dalam empat acara lain, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran, sebelum akhirnya kalah mengejut 2-3.

Kien Keat-Boon Heong membuka jalan kepada kekalahan Malaysia apabila tunduk 18-21, 18-21 kepada Lee ShengMu-Tsai Chia Chin. Turut kecundang beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang tewas 17-21, 19-21 di tangan Cheng Wen Hsing-Hsieh Pei Chen.

Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dipaksa berhempas pulas sebelum menundukkan Lu Ching Yao-Lai Chia Wen 25-23, 21-11.

"Kita masih ada peluang untuk ke suku akhir, harap pemain tidak patah semangat dengan kekalahan semalam. Yang penting, mereka terus berjuang dalam setiap peluang yang ada," ujar Rashid.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS