Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Dollah cari formula jinakkan Lions

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh M. RIZAL NOR
utusanpahang@utusan.com.my

Dollah Salleh

KUANTAN - Kemunculan semula pemain import Pahang dari Argentina, Matias Conti dijangka mampu membantu Tok Gajah membenam Lions XII dalam pertembungan Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini malam ini.

Pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh berkata, ketiadaan Conti dalam tiga perlawanan sebelum ini memberi impak yang besar kepada pasukannya.

"Kita gagal mempamerkan aksi terbaik dalam pusingan kedua Liga Super dengan semua posisi tidak mampu mempamerkan corak permainan yang menarik, tidak seperti pusingan awal dahulu.

"Kita tidak ada pilihan melainkan menewaskan Lions XII di laman sendiri agar tidak terus tercicir mata kerana pasukan lain sedang mengekori rapat untuk bersaing merebut takhta liga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, berhadapan dengan anak buah V. Sundramoorthy bukan tugas yang mudah apatah lagi mereka kini memimpin carta liga dengan aksi cemerlang tanpa sebarang kekalahan sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, Dollah Salleh perlu mencorak pasukan dengan baik dan segala strategi yang disusun harus diikuti oleh semua pemain jika tidak mahu berputih mata di laman sendiri.

"Pahang tidak pernah menang dengan Lions XII dan saya amat berharap agar kembalinya Matias yang akan mengetuai jentera serangan mampu menghadiahkan seberapa banyak gol di hadapan penyokong sendiri," ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan agar para pemain tidak meletakkan keyakinan yang terlalu tinggi beraksi di laman sendiri kerana rekod telah membuktikan Pahang tidak menang semua perlawanan di Kuantan.

"Saya percaya semua penyokong Tok Gajah akan turun memenuhi stadium esok (hari ini) kerana mereka bakal disajikan dengan perlawanan yang hebat.

"Lions XII pasti menurunkan skuad terbaik mereka untuk terus mencacat kemenangan bagi menjamin kedudukan selesa sebagai pendahulu liga," jelasnya.

Thailand minat anjur Piala Dunia bersama Malaysia

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menunjukkan minat untuk menjadi tuan rumah bersama kejohanan bola sepak Piala Dunia 2034 dan mereka bersedia untuk melakukan proses bidaan seawal tahun depan.

Menurut Setiausaha Agung FAT, Ong-Arh Kosinkar, jika ada persetujuan untuk menjadi tuan rumah bersama Malaysia, negara itu akan memperkenal pelan 'Road to World Cup' bermula tahun depan.

"Setelah mendengar cadangan Malaysia (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mengenai penganjuran Piala Dunia 2034, kami berasa teruja dan menyambut baik cadangan untuk menjadi tuan rumah bersama," kata ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, Thailand sememangnya berminat untuk menganjurkan Piala Dunia bersama Malaysia namun tahap keseriusan negara itu terhadap penganjuran tersebut bergantung kepada Kongres FAT pada September ini.

"Kami menyambut baik hasrat FAM yang secara terbuka bersetuju untuk membincangkan mengenai penganjuran Piala Dunia 2034 bersama rakan anggota ASEAN yang lain.

"Bagaimanapun saya percaya negara berpengaruh lain dalam sukan bola sepak Asia Tenggara seperti Vietnam dan Indonesia juga sudah tentu berminat untuk melibatkan diri dalam penganjuran ini.

"Masih terlalu awal untuk membincangkan kaedah terbaik membuat bidaan ini jika peraturan menetapkan dua negara sahaja menjadi tuan rumah," katanya.

Kelmarin Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan 2034 sebagai tahun paling sesuai buat negara Asia Tenggara khususnya Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Beliau membayangkan pada 2034 Malaysia mampu menjadi tuan rumah Piala Dunia bersama sebuah negara Asia Tenggara, seperti yang dilakukan Jepun-Korea Selatan pada 2002.

Tengku Abdullah menjelaskan negara anggota ASEAN dan ahli gabungan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) akan mengadakan mesyuarat pertama 19 Jun ini.

Sejak 1930, hanya sekali sahaja kejohanan berprestij ini dianjurkan secara bersama iaitu pada 2002 manakala bidaan Belgium-Belanda dan Sepanyol-Portugal untuk mendapatkan hak tuan rumah pada 2018 dan 2022 gagal. Setakat ini FIFA telah menetapkan Brazil menjadi tuan rumah 2014, Russia (2018) dan Qatar (2022).

Peluang untuk negara Asean menganjurkan Piala Dunia 2034 masih samar kerana Presiden FIFA, Sepp Blatter pernah mengeluarkan kenyataan tidak berminat untuk menerima bidaan penganjuran secara bersama.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS