Utusan Online - Sukan |
Jangan leka dibuai mimpi - Rajagobal Posted: Jangan leka dibuai mimpi - RajagobalOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
PETALING JAYA - ''Lupakan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 sebaliknya turun dalam perlawanan menentang Hong Kong dengan fokus mahu menang." Itu amanat yang diberikan oleh jurulatih negara, K. Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Hong Kong di Stadium Shah Alam, malam ini. Sambil menjadikan Sepanyol sebagai contoh terbaik, Rajagobal berkata, selepas pasukan itu menjuarai Piala Dunia, mereka tewas dua kali secara berturut-turut dalam perlawanan persahabatan. ''Minda ini yang harus diubah oleh para pemain, jangan terlalu berasa selesa kerana ia boleh terjadi kepada mana-mana pasukan di dunia seperti mana juga, Sepanyol. ''Berikan tumpuan kepada perlawanan berdepan Hong Kong esok (malam ini), jangan fikir lagi pasal kejayaan kita di Piala Suzuki AFF. Esok adalah satu perlawanan yang berbeza, saya kalau boleh mahu kita menang dalam perlawanan ini, " katanya dalam sidang media di Wisma FAM, semalam. Turut hadir dalam sidang media itu ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad dan jurulatih sementara Hong Kong, Wai-Chung Tsang. Perlawanan berdepan Hong Kong merupakan ujian pertama buat Rajagobal selepas membawa Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF kali pertama pada Disember lalu. Namun, Hong Kong bukanlah nama yang asing kepada Rajagobal kerana pada tahun 2004 , Malaysia tewas 1-3 kepada pasukan dari Asia Timur itu dan Rajagobal merupakan jurulatih sementara skuad kebangsaan pada waktu itu. Dalam pada itu, Rajagobal berkata, perlawanan hari ini merupakan kesempatan terbaik buat pemainnya yang baru pulih daripada kecederaan untuk merebut kembali tempat dalam pasukan kebangsaan. ''Beberapa pemain seperti Ahmad Fakri Saarani, Farizal Marlias dan Mohd. Aidil Zafuan yang tidak beraksi semasa Piala Suzuki AFF kerana kecederaan berpeluang menunjukkan sesuatu, selain itu saya juga mahu lihat sejauh mana perkembangan pemain seperti Shahrizal Mohd. Saad, "katanya. Dia juga mengesahkan lima pemain tidak dapat diturunkan pada perlawanan hari ini iaitu Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu, Azmi Muslim, Izzaq Faris Ramlan dan Amar Rohidan akibat kecederaan. | ||
Kelibat Safee buat Hong Kong resah Posted: Kelibat Safee buat Hong Kong resahPETALING JAYA - Menjelang perlawanan persahabatan menentang Malaysia hari ini, jurulatih sementara Hong Kong, Wai-Chung Tsang melahirkan kebimbangan terhadap kelibat penyerang negara, Safee Sali yang mampu menjadi watak pemusnah kepada pasukannya. Nada keresahan pengendali Hong Kong itu boleh kelihatan selepas bertanyakan kepada jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal dan media sama ada Safee Sali bakal diturunkan atau tidak pada sidang media mesyuarat antara pengurus pasukan di Wisma FAM, semalam. ''Adakah pemain berjersi nombor 10 (Safee Sali) boleh bermain esok?," soal Chung Tsang sebelum Rajagobal memberikan jawapan bahawa bakal penyerang Pelita Jaya FC itu boleh bermain. Kemudian, Chung Tsang membalas:''Oh, memang nasib kami tidak berapa baik, " katanya berseloroh sebelum wartawan yang hadir turut ketawa mendengar kenyataan pengendali Hong Kong itu. Dia berkata demikian selepas ditanya media mengenai pandangannya terhadap keupayaan Malaysia. Selain itu, Chung Tsang berkata, dia telah banyak mengkaji permainan Malaysia, terutamanya ketika Piala Suzuki AFF melalui rakaman cakera padat video (DVD) dan Sukan Asia di Guangzhou. ''Bagi saya Malaysia adalah lawan yang bagus kerana mempunyai semangat juang tinggi, pantas dalam melakukan serang balas dan memiliki ramai pemain muda berbakat besar. ''Saya tidak menafikan sukar untuk menewaskan Malaysia kali ini memandangkan mereka baru sahaja bergelar juara di rantau Asia Tenggara, " katanya. Hong Kong datang ke Kuala Lumpur dengan membawa 20 pemain yang mempunyai purata umur 24 tahun. Begitupun, mereka akan turun tanpa kehadiran Chen Siew Ki, yang merupakan tonggak utama di bahagian serangan. Berdasarkan sejarah pertemuan antara kedua-dua pasukan, Hong Kong mempunyai rekod yang lebih baik kerana menang dalam empat perlawanan daripada enam. Manakala, Malaysia hanya menang sekali dan satu lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada 2006 yang dimenangi oleh Hong Kong dengan keputusan 2-0 dengan perlawanan berlangsung di sana. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |