Utusan Online - Sukan |
Posted: Terengganu pelawa MisbunOleh Radhuan Hussain
KUALA TERENGGANU - Bekas jurulatih perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek dipelawa menjadi jurulatih akademi badminton yang bakal diwujudkan di negeri ini. Tawaran itu dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selepas merasmikan pejabat baru pasukan lumba basikal profesional, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) di Bangunan EPIC di sini, semalam. Ahmad bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum memutuskan mengenai perkara itu tetapi sekadar menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Misbun bagi mengendalikan tugas kejurulatihan di akademi berkenaan. Buat masa ini, jelasnya, beliau akan meneliti terlebih dahulu perkara itu sebelum perkembangan dan langkah selanjutnya. "Kita alu-alukan Misbun untuk jadi jurulatih di akademi badminton ini. Kita akan tengok dulu kerana kita tak mahu seolah-olah 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'," katanya. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman. Ahmad seterusnya tidak menolak kemungkinan menerima Misbun, jika jaguh badminton negara itu menghubunginya bagi menyatakan persetujuannya untuk menjadi jurulatih. Kelmarin, Ahmad berkata, kerajaan Terengganu berhasrat mewujudkan akademi badminton di negeri itu untuk melatih pemain dari peringkat usia 12 hingga 18 tahun sebagai pelapis di negeri berkenaan. Selain itu katanya, penubuhan akademi itu turut bertujuan melahirkan ramai jaguh badminton negara kelahiran Terengganu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Chong Wei, Koo-Tan ketuai kemaraan Posted: Chong Wei, Koo-Tan ketuai kemaraanOleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH ALOR SETAR - Langkah kanan mengiringi jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada hari pertama kejohanan badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia semalam, apabila masing-masing mudah melepasi halangan awal di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, semalam. Bagaimanapun, jaguh veteran negara dan pilihan kelapan, Wong Choong Hann menjadi mangsa kejutan pertama kejohanan apabila tunduk 15-21, 15-21 di tangan pemain sedang meningkat India, Anup Sridhar. Chong Wei yang memburu kejuaraan hatrik GP Emas Terbuka Malaysia langsung tidak tercabar dalam dua perlawanan pertamanya - mengetepikan Takuma Ueda 21-8, 21-12 dalam aksi kedua dan Robin Gonansa dari Indonesia 21-7, 21-16 di pusingan pertama. Menanti juara All England itu hari ini adalah pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto. Terdahulu, cabaran perseorangan lelaki Malaysia pada kejohanan bernilai AS$120,000 (RM360,000) ini turut diteruskan oleh pemain profesional, Muhammad Hafiz Hashim serta dua pemain muda, Liew Daren dan Beryno Wong. Hafiz bagaimanapun menempah pertemuan getir dengan jaguh Vietnam dan pilihan ketiga, Nguyen Tien Minh hari ini selepas mengetepikan Pakkawat Vilailak dari Thailand 21-13, 21-12 pada pusingan kedua, dan terdahulu menyingkirkan pilihan ke-13, Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia 21-17, 21-14 dalam aksi pertama. Daren, 23, pula melepasi sasaran awal untuk melangkah ke peringkat 16 terbaik selepas mengalahkan dua rakan senegara, Zulfadli Zulkifli 10-21, 21-17, 21-11 (pusingan pertama) dan Muhd. Syawal Ismail 21-12, 21-12 di pusingan kedua. Menantinya kini adalah jaguh veteran Korea, Lee Hyun Il hari ini. Terdahulu, Beryno menyingkirkan Tam Chun Hei dari Hong Kong 18-21, 21-14, 21-13 pada pusingan kedua untuk berdepan pemain Belanda, Brice Leverdez. Bagi Chong Wei, moto 'tidak mahu kalah' menjadi senjata utama untuk menyuntik semangatnya meneruskan rekod cemerlang di kejohanan antarabangsa. "Saya berpegang kepada hanya mencari kemenangan setiap kali beraksi,'' katanya di sini, semalam. Menurut Chong Wei, dia akan menilai program latihannya selepas ini dan mungkin mengurangkan kejohanan yang disertai dari sekarang sehingga Ogos ini untuk membuat persiapan Kejohanan Dunia di London, Ogos ini dan Sukan Olimpik 2012. Sementara itu Kien Keat-Boon Heong akhirnya memadam 'badi' pasangan Jepun dengan mengetepikan beregu negara itu, Yoshiteru Hirobe-Kenta Kazuno 21-18, 21-13 untuk terus di landasan memburu kejuaraan sulung 2011. Beregu No. 4 dunia itu dijangka tidak menghadapi masalah untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir kerana hanya berdepan pasangan muda negara, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han pada pusingan kedua hari ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |