Utusan Online - Sukan |
Dari Sukan Malaysia ke pentas dunia Posted: Dari Sukan Malaysia ke pentas dunia
KUALA LUMPUR - Sukan Malaysia XIV Kuala Lumpur secara rasmi membuka tirai pada majlis perasmian yang penuh warna-warni di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin menyempurnakan majlis perasmian temasya melibatkan yang penyertaan 4,500 atlet dan pegawai daripada 14 kontinjen dari seluruh negara yang beraksi di sekitar Lembah Klang. Temasya sukan tersebut yang bermula sejak 1986 akan diadakan setiap tahun bermula tahun ini dengan menampilkan 19 acara bagi merebut 129 pingat emas, 129 perak dan 190 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan pingat sebanyak 448. Majlis perasmian bermula pada pukul 8.30 malam dengan pertunjukkan Tarian Perang oleh Angkatan Tentera Malaysia, diikuti pertunjukkan laser yang turut memaparkan logo Sukan Malaysia tahun ini berbentuk aerodinamik melambangkan satu fokus kemajuan dan mutu pencapaian sukan tertinggi. Suasana terus meriah dengan tarian kontemporari bertemakan budaya Malaysia melibatkan 20 penari yang memegang wau bulan, diikuti persembahan gimrama oleh gimnas Persatuan Gimnastik Kuala Lumpur. Upacara diteruskan dengan perarakan masuk 14 kontinjen bersama bendera dan maskot negeri masing-masing diikuti dengan ucapan dan gimik perasmian yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri. Acara kemuncak perasmian temasya ialah larian baton yang melibatkan atlet bertaraf dunia dan pernah menjadikan Sukan Malaysia sebagai platform untuk mengembangkan bakat, mereka terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei (badminton), Pandelela Rinong (akuatik), S. Kumar (hoki), Zandra Aziela Ibrahim Hakimi (boling), Azizulhasni Awang (berbasikal) dan Sazali Abdul Samad (bina badan). Muhyiddin dalam ucapan perasmiannya berkata, Sukan Malaysia yang dianjurkan secara tahunan bermula tahun ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan negara. Katanya, pengelolaan temasya itu pada setiap tahun membolehkan kerajaan negeri dan Persekutuan merencanakan program pembangunan sukan secara lebih sistematik dan berkesan. Menurutnya, pendekatan baru itu serta tahap infrastruktur sukan negara juga menggalakkan rakyat terutama golongan muda untuk menyertai bidang tersebut. "Saya amat berharap persatuan dan majlis sukan negeri dapat memainkan peranan lebih konsisten dan berterusan bukan setakat memberikan tumpuan pada persiapan atlet secara bermusim, sebaliknya perlu mempunyai sistem pembangunan atlet muda negara secara jangka panjang yang berstruktur. "Jika ini dapat dilakukan secara sistematik, negara tentunya akan dapat melahirkan lebih ramai atlet daripada lebih banyak jenis sukan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa," katanya. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim dan Gan Ping Shou, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong. Perasmian diakhiri dengan pertunjukkan bunga api dan persembahan alat muzik tradisional melibatkan pelbagai kaum di Malaysia. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Air mata Ahmad Tajuddin
KUALA LUMPUR - Biarpun tegap dan sasa di luaran, namun Ahmad Tajuddin Abu Bakar tetap tidak mampu menahan air matanya daripada berlinangan sejurus diumum sebagai pemenang pingat emas Sukan Malaysia XIV dalam acara bina badan kategori atas 70 kilogram, semalam. Kejayaan Ahmad Tajuddin, yang memasang impian untuk bergelar Mr. Universe suatu hari nanti tambah bermakna kerana ia merupakan emas tunggal yang dirangkul Melaka selepas empat hari temasya berlangsung. Malah, kemenangan itu juga dianggap rezeki buat isterinya yang kini sedang mengandungkan anak pertama mereka. Semalam, Ahmad Tajuddin menewaskan dua pencabar rapat dari Wilayah Persekutuan, Shamsul Solomon dan Aaron Goh untuk memecah dominasi Kelantan, yang terdahulu menguasai dua lagi emas yang ditawarkan di South City Plaza, Seri Kembangan. "Saya bagaikan tidak mampu berkata-kata, akhirnya kerja keras saya sejak tujuh bulan lalu membuahkan hasil. Saya memberi sepenuh komitmen kepada sukan ini kerana mahu mengejar impian untuk menjadi juara bina badan dunia suatu hari nanti. "Saya juga berasa bangga kerana menjadi penyumbang pertama emas Melaka untuk Sukan Malaysia kali ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada jurulatih, Mohayan Rosmani," katanya ketika ditemui media semalam. Sementara itu, bina badan turut menjadi lubuk emas Kelantan selepas empat hari menunggu untuk mencari kemenangan pertama. Emas sulung mereka disumbangkan Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Azhar dalam saingan bawah 60kg selepas mengenepikan cabaran Mohamad Na'im Ponggoh dari Johor, manakala gangsa milik atlet Wilayah Persekutuan, Mohd. Azwan Mazlan. Muhammad Khusairi Sibam menghadiahkan emas kedua Kelantan dengan menjuarai kategori 60-70kg, mengalahkan pencabar utama dari Negeri Sembilan, Mohd. Afiq Ab. Malek di tempat kedua dan peserta Selangor, Bahrlinza Noki Nakee Bahar meraih gangsa. Jurulatih bina badan Kelantan, Mohd. Aqimi Baharudin berkata, kejayaan memenangi dua emas tidak dijangka kerana mereka hadir dengan sasaran mencari sebutir emas. "Semua sangat gembira dengan pencapaian ini, dua emas adalah sasaran di luar jangkaan," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |