Utusan Online - Sukan |
Posted: FAM akan bertindakOleh ABDUL HAFIZ AHMAD
PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan bertindak lanjut sebaik sahaja Chris Eaton menjawab surat tuntutan penjelasan berhubung dakwaannya pegawai FAM turut terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan. Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, buat sementara pihaknya masih hanya mengambil pendirian 'tunggu dan lihat' walaupun beliau mengakui turut dihubungi oleh akhbar Singapura, The Straits Times yang menyiarkan laporan dakwaan Eaton itu pada minggu lalu. "Buat sementara ini, biar kami tunggu jawapan Eaton, baru FAM akan menilainya dan mengambil langkah susulan walaupun saya menganggap kenyataannya sebagai amat mengecewakan kami," katanya selepas Majlis Pelancaran Persatuan Bola Sepak Nuha (Nuha FA) di Kompleks Penyayang Bakti, Bandar Sri Damansara, semalam. FAM dalam kenyataan media, minggu lalu, menyebut, surat tuntutan penjelasan sudah dihantar kepada bekas Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu sambil menyatakan rasa kesal mereka selain mahukan bekas pegawai FIFA yang meletak jawatan Jumaat lalu untuk menyertai Pusat Antarabangsa Untuk Keselamatan Sukan di Qatar, memberikan bukti jika dakwaannya itu berasas. Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM turut merumuskan persaingan kalah mati kebangsaan, Piala FA 2012 yang bermula Jumaat lalu sebagai tidak mempunyai banyak kejutan kecuali juara Piala Malaysia 2011 dan Piala Sultan Ahmad Shah, Negeri Sembilan yang dipintas Johor FC 2-1 di Seremban. "Ia boleh dianggap sedikit kejutan walaupun kedua-duanya daripada liga yang sama (Super) sementara perlawanan lain, pasukan pilihan masing-masing menepati ramalan dengan menewaskan lawan yang berlainan liga (Liga Super, Perdana dan FAM)," katanya yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Sementara itu, Nuha FA mengambil daya usaha aktif dalam membantu meningkatkan pembangunan bakat muda baru bola sepak negara menerusi penubuhan pasukan bawah 17, 15, 12 dan 10 tahun bagi penduduk sekitar Bandar Sri Damansara, Damansara Damai, Bandar Bukit Manjalara dan Sungai Penchala. Kata Presidennya, Mohd. Ramzan Mansor: "Persatuan ini diasaskan sejak Disember lalu dan sudah berjaya mengumpul 80 pemain dengan yuran hanya RM30 sebulan. Kami juga mendapat tunjuk ajar teknikal jurulatih ternama seperti Subadron Aziz dan Lim Kim Swee selain pernah menghantar pasukan bawah 10 yang mara ke suku akhir Liga PNSB, baru-baru ini.'' | ||
Tujuh pil, suntikan setiap pagi - Schzuan Posted: Tujuh pil, suntikan setiap pagi - SchzuanOleh ZAZALI JAMIAN KUALA LUMPUR - Tujuh biji pil dan suntikan di lengan setiap pagi ketika mengikuti latihan persediaan ke Sukan SEA XXVI Indonesia tahun lalu didakwa diberikan kepada ahli kuartet 4x400 meter negara, Mohd. Yunus Lasaleh yang positif ujian doping pada temasya dwi tahunan tersebut. Perkara ini didedahkan salah seorang ahli kuartet tersebut, Schzuan Ahmad Rosely yang turut menerima ubatan tersebut ketika menyertai latihan di Miri Sarawak dan di Brunei pada September hingga Oktober tahun lalu. Kata Schzuan, doktor dari Bulgaria yang merawatnya juga tidak memaklumkan secara terperinci ubatan sampingan yang diberikan kepada mereka sehingga menimbulkan keraguan. "Doktor akan datang pada saya setiap pagi ketika saya hendak bangun tidur dan itulah yang kami berdua terima setiap hari sepanjang latihan berlangsung. Ia juga umpama jam penggera buat kami untuk bangun tidur. "Kami juga diminta untuk memakan hampir tujuh biji pil yang hanya dimaklumkan oleh doktor sekadar berfungsi untuk memulihkan tenaga kami. "Saya juga ada bertanya tentang suntikan setiap pagi itu, namun doktor hanya memberitahu ia hanya vitamin B12 sahaja," kata Schzuan. Ketika latihan persediaan itu berlangsung hanya Mohd. Yunus dan Schzuan sahaja yang berada di Miri dan Brunei manakala dua lagi ahli kuartet iaitu P. Yuvaraaj serta S. Kannathasan tidak turut serta. Kuartet tersebut yang pertama kali digandingkan melakar kejutan apabila memperoleh emas pada Sukan SEA 2011 dalam acara 4x400m sebelum terpaksa pulang awal tanpa sempat meraikan kejayaan di atas podium. Bagaimanapun, penganjur temasya mendapati ujian doping sampel A Mohd. Yunus positif sebelum keputusan yang sama diperoleh melalui sampel B pada minggu lalu. Sementara itu, atlet jarak jauh, Mohd. Jironi Riduan yang turut mengikuti latihan persediaan di dua tempat tersebut memberitahu mereka 'seakan teraniaya' kerana diberikan ubatan tanpa penjelasan terperinci. "Hampir 13 atlet olahraga yang mengikuti latihan persediaan itu diberikan ubatan berbeza mengikut acara disertai. "Malah kami juga tiada pilihan untuk menolak daripada mengambil ubatan tersebut selepas dimaklumkan pil tersebut hanya vitamin sampingan untuk memulihkan tenaga selepas berlatih," kata Jironi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |