Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Tak perlu gantung, pecat terus'

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED dan SAIFULIZAM MOHAMAD
sukan@utusan.com.my

Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR - "Tak perlu gantung-gantung. Suruh dia (FAM) pecat saya terus.''

Demikian tegas bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 'membuangnya' terus daripada terlibat dalam arena bola sepak supaya tidak membuang masa memanggilnya untuk dibicarakan selepas mengkritik badan induk itu, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, di sebalik gesaan tersebut, bekas Menteri Besar Perlis yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melahirkan rasa pelik terhadap sikap FAM yang terlalu 'manja' apabila langsung tidak boleh dikritik.

Sambil menyifatkan undang-undang yang diguna pakai FAM untuk bertindak terhadap pengkritik sebagai 'tidak siuman', tegas Shahidan, FAM seharusnya berterima kasih terhadapnya yang telah mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menampung perbelanjaan PFA.

"Sepatutnya FAM ucap terima kasih kepada saya, bukannya gantung. Tetapi orang yang cakap sebegini (FAM) tak pernah nak kaji, pandai cakap sahaja.

"PFA minta duit tiap-tiap minggu, setiap kali perlawanan nak kena bayar RM11,000. Patut ucap terima kasih kepada saya (sebab bayar gaji PFA) tetapi sepatah tak ucap terima kasih,'' katanya.

Shahidan sebelum ini mengkritik FAM kerana tidak 'menjenguk' masalah kewangan dihadapi PFA.

Beliau yang sebelum ini lantang mengkritik FAM digantung 30 bulan selain didenda RM39,000 dan hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Kritikan terbaharunya membuatkan Jawatankuasa Tatatertib FAM akan menilai sama ada Shahidan wajar dibicarakan selepas mengkritik badan induk itu biarpun dalam tempoh penggantungan.

Kepada soalan mengapa FAM dilihat seakan sebuah badan kebal sehingga tidak boleh dikritik, Shahidan berkata, beliau akan terus meminta rakyat untuk mengkritik 'perangai' badan induk itu.

"Saya akan minta rakyat terus kritik perangai FAM. Tan Sri Annuar Musa, Datuk K. Rajagobal keluar kenyataan tiap-tiap hari mengenai FAM, tak kena gantung pun.

"Kalau saya (kritik), terus mahu hukum,'' katanya.

Beliau kemudiannya terus membuat penegasan berikut : "Pecat sahaja saya. Tapi dengan syarat, jangan bagi PFA 'kacau' saya lagi (minta bayar gaji pemain). Saya tidak mahu ada apa-apa kaitan lagi dalam persatuan itu.''

Tunku Imran kekal Presiden Kok Chi, Sani Karim dicabar

Posted: 11 Jun 2013 10:49 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Kiri Tunku Imran, Sieh Kok Chi

KUALA LUMPUR - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bakal menyaksikan perebutan jawatan kanan antara paling sengit dalam sejarah apabila mesyuarat agung tahunan pemilihan 22 Jun ini menyaksikan Timbalan Presiden dan Setiausaha Kehormatnya dicabar satu lawan satu.

Dengan Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar menang tanpa bertanding selepas tarikh pencalonan ditutup semalam, Datuk Abdullah Sani Karim dan Datuk Sieh Kok Chi perlu mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Setiausaha Kehormat majlis.

Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim mengorbankan jawatan Naib Presiden MOM yang disandangnya untuk mencabar Abdullah Sani.

Kok Chi pula bakal ditentang Kumar Thangaraju yang turut memburu kenaikan jawatan daripada Penolong Setiausaha Kehormat majlis yang kini disandangnya.

Empat calon pesaing Naib Presiden MOM ketika ini, Datuk Low Beng Choo, Prof. Datuk Zakaria Ahmad, Datuk Roy Rajasingham dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah pula ialah Tan Sri Abdul Halil Abd. Mutalif, Datuk Paduka Mumtaz Begum Abdul Jaffar, Andrew Bryan Perera dan Datuk Tang See Hang.

Persaingan satu lawan satu turut berlaku pada jawatan Bendahari Kehormat MOM antara Yong Choo Kong, yang dicalonkan persatuan pelayaran dan judo dengan Lim Eng Chan.

Tiga lagi jawatan iaitu Penolong Setiausaha Kehormat (lelaki dan wanita) serta Penolong Bendahari Kehormat turut dimenangi Edwin Chong, Moira Tan dan Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin tanpa bertanding apabila masing-masing muncul calon tunggal.

Senarai nama calon jawatan berkenaan diumumkan pegawai pemilihan MOM, Datuk Norminshah Sabirin di Wisma MOM di sini, semalam.

Mengulas cabaran daripada Kumar, Kok Chi berkata: "Saya terkejut dan kecewa kerana saya yang membawanya masuk ketika pemilihan 2011 selepas banyak berhubung dengannya mengenai MTA (Persatuan Taekwondo Malaysia)."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS