Utusan Online - Sukan |
Posted: FAM ikrar bertanggungjawabOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sedia menerima tanggungjawab atas kesilapan status dua perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Zimbabwe pada 2009. Tegas Annuar, biarpun perkara itu berlaku pada penggal pentadbiran FAM yang lepas, beliau dan exco lain tidak akan bersikap lepas tangan. "Walaupun perkara itu tidak melibatkan saya dan exco baru yang lain, saya tidak boleh tidak ambil tahu kerana ia melibatkan maruah negara. "Saya dan exco FAM yang lain akan meminta urus setia yang terlibat mengaturkan perlawanan tersebut memberikan penerangan bagaimana kesilapan boleh terjadi sehingga status perlawanan persahabatan itu ditarik balik. ''Kami akan cuba menilai masalah ini tanpa sedikit rasa prejudis bagi mengetahui di mana silapnya perkara itu boleh terjadi," ujarnya ketika dihubungi semalam. Beliau mengulas kunjungan delegasi Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton ke Wisma FAM esok, bagi membincangkan masalah kegiatan perjudian bola sepak di negara ini di samping membincangkan mengenai status perlawanan dengan Zimbabwe. Selain Eaton, turut serta dalam rombongan tersebut ialah Ketua Penyiasat Teny Steans, Ketua Pegawai Informasi Javier Mena dan Pegawai Pembangunan Domeka Garamendi. Selain kehadiran pegawai FAM, pertemuan berkenaan turut disertai sekumpulan pegawai polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman. Mengenai perjudian bola sepak di negara ini, Annuar berkata terdapat kemungkinan wujud aktiviti mengatur perlawanan dalam liga bola sepak tempatan dengan tumpuan beralih kepada saingan liga bawahan khususnya Piala Presiden. Fenomena itu dikatakan beralih tumpuan ke saingan liga bawahan setelah para pemain profesional dalam liga utama seperti Liga Super dan Liga Perdana enggan melayan tawaran daripada pihak yang mengatur perlawanan. "Namun, apa yang saya boleh perkatakan ia hanyalah satu andaian semata-mata tanpa diketahui sama ada ia benar atau tidak. "Ini kerana buat masa ini tiada bukti secara langsung boleh mengatakan bahawa ada pemain kita ada benar-benar terbabit. "Begitupun saya boleh tidak nafikan berdasarkan maklum balas yang saya sendiri terima memang ada cubaan daripada pihak tertentu mendekati pemain-pemain yang beraksi dalam Liga Super tetapi mereka (pemain) tidak melayani pihak-pihak tersebut. "Secara jujurnya, saya rasa masalah mengatur perlawanan dan perjudian bukan satu perkara yang serius pada masa ini memandangkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai rekod yang baik membanteras jenayah perjudian," katanya. Jelas Annuar, bagi memastikan masalah itu dapat dibendung lebih awal, FAM sedia mendengar pandangan dan nasihat dari FIFA mengenai teknik mengenal pasti pesalah serta aktiviti perjudian yang dilakukan. "Kami harus guna pendekatan berlainan yang tidak semestinya melalui undang-undang sahaja, sebagai contoh kalau sudah ada pendakwaan, baru kami hendak bertindak. "Memandangkan FAM merupakan sebuah persatuan yang memayungi semua pemain bola sepak, kami ada hak mendisiplinkan pemain-pemain dan melakukan tindakan sewajarnya," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Karathu puas singkir SelangorOleh YATIMIN ABDULLAH
KOTA BHARU - Pengendali Kelantan, Datuk M. Karathu puas sejurus pasukannya menafikan hasrat gergasi bola sepak tanah air, Selangor ke perlawanan akhir Piala FA musim ini, meskipun sekadar seri 1-1 pada separuh akhir kedua kelmarin. Keputusan seri tidak menggugat hasrat Kelantan untuk mara ke final buat kali kedua dengan agregat 6-2 selepas melakukannya pada tahun 2009. Karathu berkata, kejayaan itu merupakan hadiah bermakna buatnya selepas pemain mempamer semangat juang yang tinggi sepanjang mengharungi saingan Piala FA musim ini. "Saya puji semangat pemain, mereka bermain mati-matian dalam setiap perlawanan. Bermula dengan T-Team pada perlawanan pusingan pertama yang saya sifatkan cukup getir apabila perlawanan diheret ke penentuan penalti, diikuti Johor FC pada pusingan kedua. "Kedua-dua perlawanan ini kita bermain di tempat lawan, namun kita berjaya memenangi perlawanannya hasil komitmen dan disiplin tinggi pemain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam. Mengulas persembahan pemain pada aksi di Stadium Sultan Muhammed V, kelmarin, Karathu berkata, meskipun tanpa kelibat Norshahrul Idlan Talaha yang direhatkan serta dua tonggak pertahanan, Mohd. Farisham Ismail serta Mohd. Zairul Fitree Ishak yang digantung, pemain lain tetap tampil dengan persembahan mantap. "Pemain yang diturunkan semalam menunjukkan satu tahap keghairahan yang tinggi iaitu mahu membawa pulang Piala FA ke Kelantan. "Mereka menggunakan segala peluang yang ada sehingga berjaya memperolehi gol awal menerusi Shakir pada minit ke-9. "Gol tersebut membolehkan kami menguasai perlawanan. "Kemenangan ini hadiah buat para penyokong, inilah masa terbaik buat kami untuk menghadiahkan satu lagi kejuaraan buat mereka musim ini," ujarnya. Kejayaan ke pentas akhir Piala FA memberikan M. Karathu peluang mencipta satu lagi sejarah buat Kelantan, iaitu membawa pulang kejuaraan buat kali pertama selepas gagal disempurnakan Peter James Butler selepas tumbang kepada Selangor pada final 2009. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |