Utusan Online - Sukan |
Selangor tidak rela jadi mangsa Posted: Selangor tidak rela jadi mangsaOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR - Kehebatan Perak mencalarkan reputasi hebat Kelantan, Selasa lalu bagaikan satu amaran kepada Selangor bahawa pertemuan di Stadium Shah Alam pada malam esok bakal memberikan laluan berduri kepada Red Giants yang berangan-angan mahu meraih tiga mata. Apa tidaknya, berdasarkan apa yang diperkatakan oleh pengendali Selangor sendiri, K. Devan secara jujur beranggapan Perak mempunyai peluang untuk mengejutkan mereka jika pemainnya tidak mengambil serius cabaran anak-anak buah Norizan Bakar. Tanpa berselindung, Devan mengakui Perak bukanlah sebuah pasukan yang calang-calang pada musim ini apabila dinilai kekuatan skuad Seladang itu daripada semua aspek. "Jika diteliti rakaman perlawanan antara Perak dan Kelantan, saya dapati antara kualiti yang cukup bagus pada mereka adalah di bahagian sayap dalam mencipta peluang di samping sekembalinya Akmal Rizal Ahmad Rakhli di prestasi terbaiknya. ''Bukan itu sahaja, Perak saya dapati cukup bertuah kerana pemain mudanya memberikan 100 peratus ketika beraksi di atas padang yang memberikan kekuatan tambahan kepada pasukan. ''Bahagian pertahanan dan tengah Perak juga cukup berdisiplin malahan mereka merupakan pasukan paling sedikit melepaskan gol setakat ini di dalam saingan Liga Super," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam. Tambah Devan, dia akan memberikan perhatian khusus kepada bekas penyerang kebangsaan itu yang semakin meningkat naik dan konsisten sepanjang musim ini ''Saya boleh menurunkan dua pertahanan terbaik saya, Khairul Anuar Baharom dan Mohd. Nasriq Baharom dalam perlawanan tersebut dan saya yakin mereka berdua mampu merantai pergerakan Akmal. "Buat masa ini, saya sudah pasti kehilangan Yosri Derma Raju ekoran mengutip tiga kad kuning dan Hardi Jaafar kerana kecederaan namun itu tidak menggusarkan saya. "Ini kerana saya telah mempunyai perancangan tertentu untuk merobek kekentalan pertahanan Perak dan saya yakin kami akan keluar perlawanan itu sebagai pemenang dalam perlawanan itu nanti," ujarnya. Devan juga tidak menolak kemungkinan bahawa dia akan terus menggunakan khidmat Saiful Amar Sudar selaku penjaga gol utama yang cemerlang pada perlawanan berdepan Felda United tempoh hari. "Itu merupakan aksi pertama dia (Saiful) sepanjang 90 minit dan saya berpuas hati kerana kami dapat menamatkan perlawanan tanpa sebarang dibolosi gol. "Kemungkinan saya akan memberikan peluang untuk Saiful untuk bermain dalam perlawanan dengan Perak nanti," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Malaysia jatuh enam tangga ranking FIFA Posted: Malaysia jatuh enam tangga ranking FIFAKUALA LUMPUR - Ketiadaan perlawanan persahabatan berkelas A sepanjang Mac lalu jelas memberikan kesan negatif kepada skuad bola sepak kebangsaan dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kelmarin. Berdasarkan semakan, Malaysia yang berada di tangga ke-138 pada 9 Mac lalu sekadar berada di tempat ke-144 pada kali ini, menandakan kemerosotan enam anak tangga dan itu merupakan kali pertama ranking Harimau Malaya mengalami kejatuhan semenjak November tahun lalu. Malahan, di kalangan negara Asia, Malaysia juga mengalami kejatuhan tiga anak tangga apabila berada di tangga ke-24 berbanding ke-21 pada bulan lepas sementara bagi rantau Asia Tenggara, skuad negara masih kekal di belakang Thailand, Indonesia dan Vietnam. Walaupun begitu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan kedudukan ranking itu tidak melambangkan apa-apa pada prestasi terkini negara. "Dari segi ranking FIFA, mungkin kita jatuh kerana tidak dapat bermain sebarang perlawanan persahabatan berkelas A namun bagi saya itu bukan keutamaan. "Kita sendiri boleh perhatikan, semenjak kita menjuarai Piala Suzuki AFF lalu, prestasi kita masih konsisten dan tidak pernah kalah dalam dua perlawanan persahabatan terakhir lalu. "Apa yang lebih mustahak dalam masa terdekat ini ialah jurulatih dan pemain mengekalkan prestasi positif menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2014," katanya. Aksi persahabatan Malaysia bertemu Etoile FC yang menyaksikan Harimau Malaya seri 1-1 pada 26 Mac lalu di Stadium Jalan Besar, tidak mendapat sebarang pengiktirafan daripada FIFA kerana ia bukan membabitkan perlawanan antara skuad negara berkelas A. Sebagai rekod, pencapaian tertinggi Malaysia di dalam ranking FIFA ialah mendapat tempat ke-75 pada bulan Ogos 1993 dan kedudukan terendah ialah berada di tempat ke-170 pada April 2008. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |