Utusan Online - Sukan |
Posted: Pegawai BAM jadi punca?Oleh Norzie Mohd. Khasbi KUALA LUMPUR - Hanya dengan mengembalikan Misbun Ramdan ke pangkuan bapanya adakah memadai untuk memujuk Datuk Misbun Sidek kekal sebagai jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM)? Sebaliknya, badan badminton itu mungkin perlu melakukan 'pengorbanan' lebih besar - merombak barisan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T). Misbun amat terasa hati dengan 'kata-kata kasar' yang dilemparkan oleh segelintir pegawai BAM dalam mesyuarat C&T, sebelum memutuskan untuk meletak jawatan. Justeru, tidak mungkin beliau dapat terus bekerjasama dengan pegawai berkenaan jika kekal dalam BAM. Dalam perbualan hampir 15 minit bersama seorang lagi exco senior BAM, Datuk Sayed Abu Bakar Abdullah kelmarin, jurulatih itu mengakui, beliau tidak dapat menerima cara pegawai berkenaan bekerja dan amat mustahil untuk bekerjasama dengan mereka. Persoalannya, apakah exco BAM bersedia mengetepikan pegawai-pegawai tersebut semata-mata hendak memberi laluan kepada Misbun untuk kekal dan itu belum termasuk memberi keistimewaan tambahan dengan membenarkan Ramdan menyertai kelompok pemain elit biarpun masih berstatus pelapis? "Misbun terasa hati sangat dengan pegawai-pegawai berkenaan yang mengeluarkan kata-kata kasar terhadapnya dalam mesyuarat C&T, beliau tidak dapat menerima apa yang mereka perkatakan. Saya melihat masalah sekarang sebenarnya lebih besar daripada sekadar isu Misbun Ramdan. "Bagaimanapun, exco BAM kena tegas apabila membuat keputusan kerana kita tidak boleh dilihat sebagai sebuah persatuan yang lemah. Keputusan akhir banyak bergantung kepada pandangan yang diberikan presiden (Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh) hasil daripada pertemuannya dengan Misbun baru-baru ini. "Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi pegawai berkenaan ada cara kerjanya sendiri dan Misbun juga ada cara beliau sendiri, sekarang terpulang kepada kami bagaimana hendak selesaikan perbezaan cara kerja antara Misbun dan dua pegawai tersebut. ''Bagaimanapun kalau Misbun kekal di sini, beliau akan tetap bekerja dengan pegawai berkenaan secara langsung, kecuali ada rombakan dilakukan,'' kata Sayed Abu Bakar, yang juga presiden Persatuan Badminton Terengganu. Ketika ditanya apakah kewajaran untuk melayani permintaan Misbun melatih anaknya, Ramdan dan melakukan beberapa rombakan demi mengekalkan jurulatih itu, Sayed Abu Bakar tidak menafikan, perkara ini jika dituruti BAM boleh menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak lain, namun itu tidak bermakna ia tidak boleh dipertimbangkan. Jika Ramdan dibenarkan berlatih bersama Misbun, ia mungkin menimbulkan rasa tidak gembira di kalangan pemain dan jurulatih, manakala andai pegawai terlibat terpaksa diketepikan ia sudah tentu menimbulkan suasana tidak gembira dalam BAM. Sayed Abu Bakar bagaimanapun turut mengingatkan, sekalipun jika BAM bersedia memberi kelonggaran dan merombak beberapa perkara demi Misbun, pada akhirnya ia tetap terpulang kepada jurulatih itu sama ada mahu kekal atau tetap dengan pendirian berundur. Sementara itu, bendahari BAM, Datuk Lim Teong Kiat menegaskan, kepentingan peribadi tidak harus mengatasi kepentingan nasional dalam membuat keputusan hari ini. Katanya, beliau tidak menentang Misbun tetapi berpendapat adalah tidak wajar BAM melakukan rombakan dalam sistem mereka semata-mata untuk memberi laluan kepada individu tertentu. "Exco hanya akan membuat keputusan yang terbaik untuk sukan badminton kerana apa saja yang hendak dilakukan mestilah berteraskan kepentingan negara dan bukan peribadi. Saya tidak nafikan, mungkin kita kena melonggarkan beberapa perkara jika mahu Misbun kekal tetapi kita kena tengok juga apa yang perlu diubah. "Mungkin ia tiada masalah kalau cuma perubahan kecil tetapi jika perlu melakukan rombakan sehingga melibatkan C&T, saya rasa itu amat mustahil. Apa pun, kita akan mendapatkan butiran daripada presiden esok, sebelum membuat keputusan secara kolektif,'' kata Teong Kiat. Bagaimanapun tegas Teong Kiat, jika diminta pandangannya, beliau tetap bertegas, Ramdan sepatutnya mengikut sistem sedia ada, di mana dia perlu berlatih bersama pemain-pemain pelapis yang lain dan akan dinaikkan ke skuad elit secara automatik jika menunjukkan prestasi yang bagus. |
Safee tetap mahu ke seberang walau dapat ancaman Posted: Safee tetap mahu ke seberang walau dapat ancamanKUALA LUMPUR - Di sebalik kerisauan keluarga terhadap keselamatannya, penyerang sensasi negara Mohd. Safee Mohd Sali tetap mahu beraksi dalam Liga Super Indonesia (ISL) biarpun mendapat ancaman bunuh daripada penyokong fanatik negara itu. "Saya tahu perangai penyokong Indonesia lain dari negara kita tetapi saya tetap yakin kepada diri kerana saya hanya mahu menimba pengalaman dalam karier bola sepak luar negara. "Saya harap mereka (penyokong) perlulah realistik dan bersikap terbuka. Mengenai ancaman bunuh, saya tetap yakin tidak akan berlaku apa-apa terhadap keluarga saya nanti," katanya kepada Bernama di sini, semalam. Beberapa laman web tempatan melaporkan ahli keluarganya bimbang tentang keselamatannya kerana membuat keputusan untuk bermain dengan sebuah kelab di Indonesia. Malaysia menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 untuk muncul juara Piala AFF Suzuki selepas menunggu selama 14 tahun. Dalam kedua-dua perlawanan akhir secara timbal balik itu, Safee menjadi wira negara apabila menyumbat tiga gol, termasuk satu di Jakarta, sekali gus membawa pulang Kasut Emas selaku penjaring terbanyak dengan dengan lima gol sepanjang kejohanan itu. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |