Utusan Online - Sukan |
Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT KUALA LUMPUR - Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Pandelela Rinong tidak perlu lagi menggalas tiga tugasan pada Kejohanan Dunia di Barcelona, Julai ini kerana Wendy Ng Yan Yee sudah mampu mengisi tempatnya dalam saingan 3 meter papan anjal seirama. Semalam, kombinasi Wendy dan Cheong Jun Hoong menghadirkan keceriaan buat Malaysia pada hari terakhir Grand Prix Terjun Amerika Syarikat FINA di Fort Lauderdale apabila membawa pulang pingat gangsa. Ini merupakan pingat ketiga berturut-turut berjaya diraih Wendy dan Jun Hoong dalam tiga kejohanan terakhir yang disertai mereka. Terdahulu, pasangan ini turut memenangi gangsa pada Siri Terjun Dunia di Edinburgh dan Moscow, bulan lalu. Kejayaan terbaru Wendy-Jun Hoong pasti meyakinkan jurulatih untuk mengekalkan gandingan mereka bagi membawa cabaran 3m papan anjal seirama wanita pada Kejohanan Dunia nanti. Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sebelum ini bercadang untuk menggandingkan Pandelela dengan Jun Hoong pada kejohanan tersebut, dan seandainya perkara itu berlaku maka Olahragawati Kebangsaan itu menggalas tugas berat kerana turut menjadi sandaran dalam acara 10m platform individu, selain 10m platform seirama bersama Leong Mun Yee. Semalam, Wendy-Jun Hoong menamatkan cabaran di tangga ketiga selepas mengumpul 282.90 mata. Pingat emas seperti diduga menjadi milik penerjun China, Zhang Jun-Qu Lin (311.40 mata) dan perak milik gandingan Ukraine, Anna Pymenska-Olena Fedorova (293.70). Biarpun standard Grand Prix adalah lebih rendah daripada Siri Terjun Dunia, namun keupayaan Wendy dan Jun Hoong memenangi gangsa di Edinburgh dan Moscow bulan lalu membuktikan mereka cukup bersedia disandarkan harapan pada Kejohanan Dunia nanti. Malah, pasangan ini juga yakin mampu mencatat satu lagi keputusan baik dalam dua Siri Terjun Dunia yang akan disertai di Mexico City, hujung minggu ini dan Guadalajara , minggu depan. Siri Terjun Dunia di Mexico itu merupakan kejohanan utama terakhir yang akan disertai pasukan terjun negara dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia. Mereka akan kembali ke tanah air selepas itu, sebelum menjalani latihan di Bukit Jalil dan China. Semalam pada suatu peringkat Wendy-Jun Hoong seperti tiada harapan apabila menduduki tangga ketujuh selepas pusingan tiga. Pasangan ini kembali menempatkan diri dalam kedudukan pingat pada terjunan seterusnya selepas meraih 71.10 mata untuk mendaki ke tangga ketiga. Begitupun pada terjunan kelima, kedudukan mereka kembali dalam bahaya dengan sekadar mengutip 61.20 mata. Tuah bagaimanapun menyebelahi Wendy-Jun Hoong apabila gandingan Itali, Tania Cagnotto-Francesca Dallape dan Sayaka Shibusawa-Mai Nakagawa dari Jepun beraksi buruk dalam percubaan terakhir. |
Sarawak tak lepas takhta Sime Darby beri tekanan Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT Oleh FERZALFIE FAUZI PEMIN Sime Darby, Karlo Primorac, diasak pemain NS Betaria dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium MP Selayang, semalam. - Utussan/SHIDDIEQIIN ZON KUALA LUMPUR - Selepas merampas kedudukan teratas saingan Liga Perdana Jumaat lalu, Sarawak tidak menoleh ke belakang apabila mengekalkan tangga teratas setelah mengalahkan PDRM 3-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka semalam. Sarawak berjaya memperoleh gol melalui Azizan Baba (48), Bobby Gonzales (78) dan Muamer Salibasic (80). Namun kedudukan Sarawak terus dicabar Sime Darby apabila bangkit daripada kekalahan kepada Sarawak Jumaat lalu dengan menumbangkan NS Betaria 2-0 semalam. Kemenangan tersebut memberi kelegaan buat jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria kerana ini bermakna mereka masih pada landasan untuk bersaing merebut kejuaraan liga. Pada aksi di Padang MP Selayang, semalam, Karlo Primorac muncul wira pasukannya apabila menyumbat dua-dua gol Sime Darby. Menurut Ismail, tiga mata yang diraih semalam cukup penting setelah mereka tumpas kepada Sarawak dalam aksi Kuching, Jumaat lalu. "Kami berjaya bangkit daripada kekalahan minggu lalu, cuma aksi pemain saya pada separuh masa pertama sedikit lemah. "Sebaliknya pelawat pula bermain bersungguh-sungguh dan tidak meninggalkan kawasan mereka dengan sewenangnya," katanya. Tiga mata ke atas PDRM bermakna Sime Darby masih kekal pada tempat kedua dengan 42 mata, satu mata di belakang Sarawak. Ismail berharap pasukannya dapat meraih mata maksimum dalam baki perlawanan. "Saya juga berharap Sarawak keciciran mata kerana mereka bakal berdepan pasukan kuat seperti Sabah dan Johor," katanya. Aksi pada separuh masa kedua semalam berlangsung agak hambar dengan cuaca panas terik sedikit mengganggu rentak permainan kedua-dua pasukan. Pada aksi semalam, Sime Darby mendahului menerusi tandukan Primorac yang menyambar hantaran silang Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-55. Bekas pemain Dinamo Zagreb itu sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring gol apabila menyambut baik hantaran lintang Muhd. Arif Ismail gol kedua. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |