Utusan Online - Sukan |
Saya tak tahu apa-apa - Dharma Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT Oleh FERZALFIE FAUZI Muhammad Dharma Raj Abdullah KUALA LUMPUR - 'Saya tidak tahu apa-apa'. Demikian tegas jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah ekoran dakwaan jurulatih kebangsaan, Paul Revington bahawa dia campur tangan dalam urusan skuad senior. Rasa tidak berpuas hati terhadap campur tangan Dharma Raj dikatakan mendorong Revington menghantar surat peletakan jawatan melalui emel kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kelmarin. Dharma Raj yang mengulas dakwaan tersebut, ternyata bingung dan tidak faham dengan dakwaan yang dilemparkan oleh Revington. Menurutnya, setakat ini belum ada wakil MHC yang memberitahunya secara terus mengenai tuduhan yang dimaksudkan Revington sebaliknya hanya mengetahui perkara tersebut menerusi laporan media di televisyen kelmarin. "Tuduhan tersebut amat mengecewakan saya. Saya akan tanya dia (Revington) apa yang dimaksudkan dengan campur tangan saya dalam skuad kebangsaan. Saya akan mengadakan perbincangan dengannya Selasa ini (esok) bersama MHC," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam. Jelas Dharma Raj, dia mahu tahu apa yang dimaksudkan dengan campur tangan dalam skuad senior, kerana ia adalah isu negara. Menurutnya, sepanjang pengetahuannya dia langsung tidak melakukan perkara seperti yang didakwa Revington itu. "Jika berlaku sedikit perselisihan fahaman, itu adalah perkara biasa, sama seperti ketika Tai Beng Hai menjadi jurulatih sebelum ini, kerana kami sentiasa tidak sependapat namun masing-masing mempunyai tugas dan pasukan sendiri yang perlu dijaga. "Namun saya tidak pernah campur tangan, saya hanya buat kerja saya. Saya hairan macam mana boleh terheret sama dalam situasi ini," kata Dharma Raj. Dharma Raj berkata, kalau ada pemain skuad kebangsaan yang tidak mengikut cakap Revington, kenapa perlu menyalahkan orang lain, sebaiknya perlu bertanyakan terus kepada pemain itu sendiri. "Apa hak saya untuk mencampuri urusan orang lain. Saya tidak tahu-menahu dan baru pulang dari Korea Selatan, mengapa mereka menuduh saya sedemikian. "Ada perkara yang kita tidak sependapat tetapi bukannya bermusuhan, dia ada caranya tersendiri, saya ada cara saya juga dalam membimbing pasukan, masing-masing mempunyai kerja untuk dilakukan," katanya. Kelmarin melalui satu emel yang dihantar Revington kepada MHC, dia berterus-terang sudah tidak mampu lagi bekerjasama dengan Dharma Raj dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan, yang didakwa sering campur tangan semasa mengendalikan skuad kebangsaan. Namun, Pengerusi Kejurulatihan MHC, Majid Manjit Abdullah berkata, seramai 16 orang ahli jawatankuasa kejurulatihan belum bersedia menerima peletakan jawatan Revington. Perkara itu akan di rujuk kepada Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum kata putus akan ditentukan dalam mesyuarat Eksekutif MHC pada 30 Jun ini di Johor Bahru. |
Zulfahmi kesembilan di Catalunya, Hafizh ke-18 Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT Oleh AIZAWATI AHMAD Zulfahmi Khairuddin menamatkan GP Catalunya semalam pada kedudukan kesembilan setelah bermula dari petak ke-16. KUALA LUMPUR - Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin menduduki tempat kesembilan pada Grand Prix Catalunya, semalam untuk meraih tambahan tujuh mata bagi membolehkannya menghuni ranking ketujuh dalam senarai pelumba. Penunggang Red Bull KTM Ajo itu naik satu anak tangga dengan mengumpul 40 mata selepas enam perlumbaan musim ini. Pada saingan semalam, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu bertarung sengit dengan pelumba yang berada dalam kelompok kedua perlumbaan. Bermula dari petak ke-16, Zulfahmi bekerja keras untuk melonjak ke kedudukan ke-11 sebelum terperangkap dalam kelompok kedua sepanjang saingan di Litar Catalunya. Saingan sengit daripada penunggang Ongetta-Rivacold, Alexis Masbou, rakan sepasukan, Athur Sissis, Isaac Vinales (Ongetta-Centro Seta) dan Brad Binder (Ambrogio Racing) menyukarkan Zulfahmi untuk menduduki kelompok sepuluh teratas. Ketika perlumbaan memasuki pusingan terakhir, Zulfahmi yang pada ketika itu jatuh pada tangga ke-14, berusaha memintas pesaing-pesaingnya sebelum melengkapkan perlumbaan 22 pusingan pada kedudukan kesembilan, ketinggalan 21.240 saat di belakang rakan sepasukan, Luis Salom yang menjuarai perlumbaan. Salom dari Sepanyol menamatkan perlumbaan dengan masa 41 minit 15.331 saat, sementara pelumba Estrella Galicia, Alex Rins kedua dan ketiga milik Maverick Vinales dari Team Calvo. Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang bersaing di atas tiket wild-card Moto2 menamatkan perlumbaan di tangga ke-18. Catatan itu memperbaiki keputusan pada GP Perancis Mei lalu apabila penunggang Petronas Raceline Malaysia itu menduduki tempat ke-22. Sementara itu, juara bertahan, Jorge Lorenzo mengurangkan kelebihan mata Dani Pedrosa pada tangga teratas pelumba kelas Motogp hanya kepada tujuh mata selepas memenangi saingan di Catalunya. Lorenza memenangi perlumbaan dengan catatan 43:06.479s. Ia merupakan kemenangan ketiga Lorenzo musim ini selepas saingan di Qatar dan Itali. Pedrosa, yang meneruskan kejayaan menaiki podium kepada lima perlumbaan, mengekang asakan rakan sepasukannya dari Honda, Marc Marquez untuk menamatkan saingan pada kedudukan kedua manakala Marquez menduduki kedudukan ketiga. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |