Utusan Online - Sukan |
Kelayakan Piala Thomas paling mencabar Posted: Kelayakan Piala Thomas paling mencabar
KUALA LUMPUR - Ketika isu ketiadaan pemain berkredibiliti masih membayangi persiapan Malaysia untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Thomas di Macau tahun depan, masalah baru pula timbul apabila semua pasukan terbaik Asia, termasuk China disahkan akan bertanding pada kejohanan 14-19 Februari itu. Selaku tuan rumah pusingan akhir pada 20-27 Mei ini, China, juara lapan kali sudah meraih tiket automatik dan tidak sepatutnya terlibat dengan saingan kelayakan, namun kerana mahu mengutip mata Sukan Olimpik mereka memutuskan untuk tetap menghantar pasukan bertanding di Macau. Malah, Korea Selatan, yang mendapat tiket automatik pada saingan Piala Uber selaku penyandang juara turut beraksi di pusingan kelayakan atas sebab yang sama, sekali gus dilihat mampu mengacau undian kejohanan. Justeru, Malaysia perlu membariskan 'pasukan terkuat daripada pilihan yang terhad' untuk memburu salah satu daripada empat slot yang ditawarkan pada pusingan kelayakan Asia, sambil berharap tidak diletakkan dalam satu kumpulan bersama China. "Biarpun China bertanding hanya untuk mengutip mata Sukan Olimpik dan bukan memburu slot pusingan akhir Piala Thomas, namun mereka tetap mampu menjadi pengacau kepada undian dan ini menjadikan saingan sangat sukar. "Sebagai contoh, seandainya Malaysia menduduki tangga kelima keseluruhan dan China berada pada kedudukan empat terbaik, kita masih akan mendapat slot ke Piala Thomas kerana kedudukan China tidak diambil kira. "Namun, sekiranya mereka diundi dalam kumpulan yang sama dengan kita, itu tetap mampu menjejaskan peluang kerana kita mungkin gagal mendapat tempat pada kedudukan dua teratas kumpulan,'' kata Setiausaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam. Ketika ini, bukan China, Korea atau Indonesia saja mampu menggugat kedudukan Malaysia, sebaliknya tanpa barisan pemain yang benar-benar mantap, kita juga belum boleh dianggap selamat jika terpaksa berdepan pasukan seperti Thailand atau Jepun. Hanya jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sudah menjamin kedudukan dalam skuad negara, pada ketika pemain lain, termasuk beregu sedang meningkat, Lim Khim Wah-Goh V Shem belum menunjukkan prestasi yang cukup meyakinkan. Kelemahan ketara juga wujud dalam perseorangan lelaki kerana tiada pemain kita sebenarnya cukup berkredibiliti untuk menggalas cabaran perseorangan kedua, ketiga mahupun simpanan. Namun dengan pilihan pemain yang terhad, bekas juara All England, Muhammad Hafiz Hashim yang meninggalkan skuad kebangsaan awal tahun ini untuk menyertai KLRC, masih menjadi taruhan, selain pemain muda seperti Mohd. Arif Abdul Latif dan Liew Daren. Biarpun sudah 19 tahun tidak bergelar juara Piala Thomas, iaitu kali terakhir Malaysia menang di Kuala Lumpur pada 1992, namun kita tidak pernah gagal melayakkan diri pusingan akhir sejak format baru kejohanan diperkenalkan pada 1984. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Hamberi tolak bulat-bulat alasan Shahidan Posted: Hamberi tolak bulat-bulat alasan ShahidanOleh FERZALFIE FAUZI KUALA LUMPUR - Ibarat rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi. Inilah yang berlaku kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) apabila kali ini dipersoal pula tentang insiden melibatkan kuartet 4x400 yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXVI Indonesia 2011 bulan lepas. Kali ini, jurulatih olahraga, Hamberi Mahat yang menganggap alasan yang diberikan oleh Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam sebuah rancangan bual bicara di Stadium Angkasa TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pukul 10.30 malam kelmarin sama sekali tidak masuk akal. Dalam rancangan tersebut, Shahidan memberi alasan bahawa ujian masa perlu dilakukan oleh kuartet tersebut bagi memilih empat daripada lima atlet yang akan dibawa ke Indonesia walhal bagi acara seperti ini sememangnya memerlukan lima pelari termasuk seorang pelari simpanan. "Dalam acara seperti 4X100 dan 4x400 lari berganti memang kita perlu seorang pelari simpanan. Jadi tidak boleh menjadikan alasan bahawa lambat menghantar kuartet tersebut ke Sukan SEA kerana perlu menjalankan ujian masa terhadap mereka, proses ini adalah tidak betul," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam. Kuartet yang dibarisi S. Kannathasan, Schezuan Ahmad Rosely, Mohd. Yunus Lasaleh dan P. Yuvaraj bukan sahaja dihantar pada saat akhir, malah terpaksa pulang awal kerana tiket penerbangan mereka sudah ditempah dan tidak sempat untuk menghadiri upacara penyampaian pingat emas. "Saya cuba menghubungi rancangan tersebut untuk menjelaskan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh KOM tetapi sebanyak 15 kali saya mencuba talian sentiasa sibuk. Saya cuba untuk menerangkan bahawa alasan yang disampaikan presiden adalah tidak masuk akal. "Itu adalah kenyataan untuk menutup kelemahan persatuan. Kalau betullah kuartet tersebut perlu melakukan ujian masa terlebih dahulu, perkara yang sama juga perlu dilakukan oleh kuartet 4x100 lari berganti lelaki dan wanita tetapi ia tidak pula berlaku," kata Hamberi yang juga jurulatih kepada Kannathasan. Hamberi juga mengakui KOM juga masih lemah tentang pengumpulan data dan statistik sedangkan ia adalah perkara penting untuk mengetahui tahap dan kemampuan atlet negara sebelum menyertai sesuatu kejohanan. "Bila kita mempunyai data dan statistik senang untuk mengenal pasti atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat, tetapi perkara ini tidak berlaku. Bukan saya ingin menyatakan bahawa kepimpinan Shahidan tidak bagus tetapi ada individu yang mengambil kesempatan terhadapnya," kata bekas atlet kebangsaan itu. Tambahnya, setakat ini persatuan masih lagi hendak berdalih dengan keputusan yang ternyata salah, sedangkan semuanya akan berakhir jika KOM mengaku kesilapan mereka dan tidak memutar belit fakta. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |