Utusan Online - Sukan |
Posted: QPR nilai pemain kitaOleh Ahmad Fadzil Zainol Ariffin KUALA LUMPUR – Pemilik Queens Park Rangers (QPR), Tan Sri Tony Fernandes telah menyerahkan video aksi beberapa pemain Malaysia kepada pengurus pasukan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Neil Warnock bagi menilai kemampuan mereka. Fernandes berkata, beliau sendiri berjumpa dengan Warnock bagi menyerahkan video tersebut dan berharap beberapa pemain negara akan dipanggil untuk menjalani latihan bersama QPR. "Bagaimanapun, ramai sedia maklum bahawa pasukan bola sepak Malaysia tidak berada pada kedudukan 70 teratas dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang merupakan syarat untuk beraksi dalam EPL. "Hal ini sekali gus menyukarkan pemain mendapatkan permit kerja untuk beraksi di sana. Apa pun, kami berharap ada pemain Malaysia akan dipanggil untuk menjalani latihan bersama QPR," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran AirAsia bersama media dan anak yatim, di Kuala Lumpur, kelmarin. Sebelum ini, kelab itu menyatakan kesediaan memberi peluang kepada pemain negara, Safee Sali dan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) untuk mengikuti latihan bersama kelab itu. Berdasarkan kedudukan terbaru yang dikeluarkan oleh FIFA semalam, Malaysia berada pada tempat ke-146. Kata Fernandes, Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat tetapi kurang mendapat pendedahan terhadap corak permainan tahap terbaik. Beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd. berharap pembelian kelab EPL itu akan membantu pembangunan bola sepak negara. Mengulas mengenai QPR mengharungi cabaran musim ini, Fernandes berkata, kelab itu sedang mencari beberapa pemain baru sebelum tamatnya tempoh perpindahan pemain pada 31 Ogos ini. "Kami tidak keberatan untuk berbelanja bagi mendapatkan pemain yang baik," katanya. Fernandes berkata, beliau memberi kebebasan penuh kepada Warnock dalam menguruskan pasukan itu dan tidak mahu mencampuri aspek teknikal selain membiarkan ia diuruskan oleh individu yang berkelayakan. |
Posted: Latihan skuad Olimpik 1 Sept.KUALA LUMPUR - Sesi latihan dan pemilihan pemain skuad bola sepak Olimpik Malaysia bagi menghadapi perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Olimpik akan diadakan di dalam negara dan luar negara mulai 1 September ini. Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan semalam, 22 pemain diminta untuk melaporkan diri di Wisma FAM di Kelana Jaya, Petaling Jaya untuk menjalani latihan dan pemilihan di bawah pengendalian jurulatih pasukan bola sepak Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee, pada 1 September. Pemain akan menjalani latihan di Wisma FAM dari 1 hingga 15 September dan di Jepun dari 16 hingga 18 September. Antara pemain yang dipanggil ialah penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd. Izuan Solahuddin dari pasukan Kelantan, Mohd. Zubir Mohd. Azmi (Terengganu), Mohamad Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur) dan Mohd. Azrif Nasrulhaq (PKNS). Selain itu, dua pemain dari skuad Harimau Muda B, Muhammad Nazmi Faiz dan Muhammad Syazwan Tajuddin, juga turut dipanggil. Sementara pemain skuad Harimau Muda A yang dipanggil ialah Abdul Shukor Jusoh, K. Gurusamy Govandar, Izzaq Faris Ramlan, Mahalli Jasuli, Mohamad Amer Saidin, Mohammad Muslim Ahmad, Mohd. Fandi Othman, Mohd. Ferris Daniel Mat Nasir, Mohd. Izham Tarmizi, Muhammad Zamir Selamat, Nazirul Naim Che Hashim, Syahrul Azwari Ibrahim, Thamil Arasu Ambumamee dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria. Pada undian untuk pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 yang diadakan pada 7 Julai lepas, Malaysia diundi bersama Jepun, Syria dan Bahrain dalam Kumpulan C. Sementara Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi dan Oman diundi dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B terdiri daripada Australia, Iraq, Uzbekistan dan Emiriah Arab Bersatu. Pada perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Olimpik pada 21 September ini, skuad Olimpik Malaysia dijadual bertemu Jepun. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |