Utusan Online - Sukan |
Kitchee lebur harapan Kelantan Posted: 14 May 2013 11:48 AM PDT Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan YATIMIN ABDULLAH Pemain Kelantan, Dimitri Petratos (kiri) dikasari pertahanan Kitchee SC dalam perlawanan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/Rosni Masri KOTA BHARU - Kelantan gagal ke suku akhir Piala AFC selepas tumpas 0-2 kepada kelab Hong Kong, Kitchee Sport Club (SC) dalam aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi. Beraksi di tempat sendiri tidak memberi kelebihan buat tuan rumah apabila pelawat melakukan asakan awal dan meraih percubaan menarik menerusi ketua pasukan, Chui Siu Kei pada minit keempat namun dinafikan Khairul Fahmi Che Mat. Tersentak dengan asakan pelawat, Kelantan pantas mengatur gerak dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-12, bagaimanapun rembatan Dimitrios Petratos sekadar menggegar bahagian tepi jaring gol Kicthee SC. Tiga minit kemudian, tuan rumah dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat selepas pertahan The Red Warriors, Lek Kcira tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang rembatan pemain Kicthee SC, Pablo Gonzalez Counago. Pelawat terus bersemangat dan hampir menggandakan jaringan pada minit ke-20, namun rembatan pemain pertahanan Cheung Kin Fung ditepis Khairul Fahmi. Kelantan terus diasak hebat oleh pelawat menerusi serangan bertali arus sehingga memaksa barisan pertahanan tuan rumah yang diketuai oleh Obinna Nwaneri bekerja keras untuk mengelak gawang daripada dibolosi. Peledak berbisa Kitchee SC, Josep menambah derita tuan rumah dengan menjaringkan gol kedua pasukannya pada masa tambahan babak pertama. Bersambung babak kedua, tuan rumah yang terdesak memburu jaringan, membuat pertukaran dengan membawa masuk penggempur berbisa, Dickson Nwakaeme bagi menggantikan Mohd. Faiz Subri. Percaturan Bojan Hodak membawa masuk pemain berkenaan membuahkan hasil apabila barisan serangan Kelantan berjaya mencipta gerak menarik di depan gawang lawan. Pada minit ke-63, Kelantan berjaya meletakkan bola ke dalam gawang lawan menerusi Mohd Nor Farhan Mohamad, bagaimanapun jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil dari Korea, Lee Min Hu selepas Nor Farhan dikesan berada dalam kedudukan ofsaid oleh penjaga garisan. Tuan rumah terus kempunan untuk merapatkan kedudukan apabila gol Nwakaeme kemudiannya dibatalkan Min Hu, selepas penyerang Kelantan itu berada dalam kedudukan ofsaid. |
Selangor mahu amuk di Maldives Posted: 14 May 2013 11:48 AM PDT Oleh Dayne Azmin Irfan Bakti dan ketua pasukan Selangor, Asraruddin Putra Omar pada sidang akhbar Piala AFC menentang kelab Maldives, New Radiant SC di Maldives, semalam. MALE, Maldives - Semangat Selangor membara untuk menumbangkan kelab Maldives, New Radiant SC dalam perlawanan pusingan kedua Piala AFC, di sini hari ini. Jurulatih Irfan Bakti berkata, walaupun Selangor mengalami sedikit kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super, dia tetap meletakkan harapan untuk mara sejauh yang mungkin dalam saingan kali ini. Untuk itu, Irfan mahu menurunkan barisan terbaik di samping kehadiran dua pemain import, Michal Kubala dan Peter Chrappan. Apa yang pasti, Irfan mahu mengulangi pencapaian Selangor layak ke suku akhir Piala AFC pada 2006. Kami datang sejauh 3,000 kilometer untuk sampai ke sini dan membawa nama negara, jadi sudah tentu kami mahu menang dalam apa cara sekali pun kerana ini sahaja satu perlawanan yang akan menentukan nasib Selangor, semua pemain perlu mengambil peluang ini. Walaupun kempen kami dalam saingan domestik tidak begitu baik dan layak ke pusingan seterusnya melalui perbezaan gol, itu tidak mematahkan semangat dan keyakinan pasukan. Ini adalah perlawanan yang berbeza, jangan lupa sebelum kami bertemu Tampines Rovers pada perlawanan terakhir kumpulan, kami berada dalam situasi lebih kurang sama namun pemain dapat bangkit dan memenangi aksi berkenaan. Kami akan terus menyerang semenjak permainan bermula bagi mendapatkan gol dan tidak mahu tunggu sehingga tambahan masa atau penentuan sepakan penalti," katanya pada pada sidang akhbar pengurus kedua-dua pasukan di Stadium Rasmee Dhandu, semalam. Dibimbing oleh jurulatih dari Bulgaria, Velizar Popov, New Radiant pernah mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC 2005 dan dianggap antara pasukan yang mampu memberi cabaran kepada Red Giants apabila menang lima daripada enam perlawanan pada peringkat kumpulan. Atas hakikat itu, Irfan mengakui mereka tidak boleh memandang rendah akan kemampuan juara enam kali Liga Maldives itu di samping mengetahui ada tujuh pemain kebangsaan negara itu beraksi bersama New Radiant. New Radiant adalah lawan yang kuat dan setahu saya mereka pernah kalahkan Persibo Bojonegoro (kelab Indonesia) 7-0 di peringkat kumpulan berbanding kami yang bernasib baik layak. Lawan memiliki ramai pemain tempatan yang bagus dan kekuatan mereka terletak di bahagian sayap yang mungkin boleh memberikan masalah kepada kami, jadi pergerakan mereka perlu dibataskan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |