Utusan Online - Sukan |
Posted: Kita mampu pertahan emasOleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak bawah 23 tahun negara mempunyai tugas berat di Sukan SEA XXVI 2011 apabila diletakkan harapan untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Laos. Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong skuad bimbingan Ong Kim Swee mampu untuk meraih pingat emas selepas mendapat banyak pendedahan termasuk berlatih di Slovakia dan beberapa pemain beraksi bersama skuad senior menentang pasukan Australia baru-baru ini. "Skuad bawah 23 tahun negara juga merupakan satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang beraksi sehingga ke pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik 2012 London. Jadi tiada masalah untuk mereka muncul juara di peringkat kumpulan walaupun berada dalam kumpulan maut," katanya. Jelasnya, beliau cukup yakin dengan pengalaman yang dimiliki barisan pemain muda negara termasuk kehadiran beberapa pemain yang sudah kerap beraksi dengan skuad senior di bawah bimbingan jurulatih, Datuk K. Rajagobal. "Saya yakin dengan kemampuan skuad ini yang dilihat lebih baik berbanding skuad sebelum ini walaupun tidak dapat lagi menyenaraikan Safiq Rahim, Aidil Zafwan dan Zaquan Adha Abdul Razak. "Kita mempunyai lebih banyak pilihan kali ini jadi dengan pendedahan yang diterima tiada alasan mengapa skuad bola sepak kita tidak boleh mempertahankan kejuaraan," katanya. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja manakala Kumpulan B membabitkan saingan Vietnam, Myanmar, Laos, Brunei, Filipina dan Timor Leste. Zolkples melontarkan cabaran buat skuad bola bawah 23 tahun negara untuk membuktikan bahawa mereka berada di kelas tersendiri kerana turun sebagai pasukan yang boleh disifatkan berada dalam kelompok terbaik Asia ketika ini. "Ranking tidak boleh diambil kira membabitkan saingan pasukan senior kebangsaan dan bukannya skuad bawah 23 tahun," katanya. | ||
Chong Wei masih di landasan betul Posted: Chong Wei masih di landasan betulOleh Norzie Mohd. Khasbi Lee Chong Wei tewas kepada pemain China, Chen Long 15-21, 18-21 pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark, kelmarin. - AP KUALA LUMPUR - Misi memburu pingat emas Sukan Olimpik Datuk Lee Chong Wei masih berada di landasan yang betul dan kekalahan terbaru jaguh No. 1 dunia itu kepada Chen Long pada final Kejohanan Badminton Terbuka Denmark kelmarin bukan sesuatu yang terlalu mencemaskan. Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek menjelaskan, selepas mengerah seluruh tenaganya pada Kejohanan Dunia di London, Ogos lalu, Chong Wei kini sedang berada dalam fasa 'penurunan permainan' dan ia adalah proses peralihan biasa buat pemain badminton. Katanya, jaguh negara itu tidak berada pada prestasi tertinggi dalam dua kejohanan terakhir yang disertai - Terbuka Jepun (September) dan Terbuka Denmark, namun dia masih mampu melayakkan diri ke perlawanan akhir dalam kedua-dua kejohanan. Malah, Chong Wei adalah satu-satunya pemain yang berjaya melangkah ke akhir dalam semua 10 kejohanan yang disertai tahun ini, keputusan yang membuktikan betapa konsisten permainan jaguh berusia 29 tahun itu. "Kami akui Chen Long sudah semakin bagus dan menunjukkan banyak peningkatan, dia adalah ancaman Chong Wei pada Sukan Olimpik nanti selepas Lin Dan. Begitupun, dalam dua kejohanan terakhir, Chong Wei tidak berada pada tahap terbaik kerana dia memperlahankan sedikit permainan selepas mengeluarkan semuanya pada Kejohanan Dunia. "Bagi seorang pemain badminton, ada waktu di mana dia memilih untuk memuncak dan kemudian menurunkan permainan, yang penting Chong Wei masih mampu melayakkan diri ke perlawanan akhir dalam semua kejohanan yang disertai tahun ini sekali pun tidak berada di prestasi terbaik ketika itu. Ia menunjukkan dia masih berada di landasan yang betul. "Kita tidak boleh menjangkakan Chong Wei akan memenangi semua kejohanan yang disertai, kita cuma harap dia konsisten dari sekarang hingga Sukan Olimpik London, itu paling penting. Pada masa sama, saya dan Tey Seu Bock akan menganalisis kelemahan serta kekuatan Chong Wei dan kekuatan pemain-pemain dari China, ia proses yang berterusan,'' ujar Rashid. Tegas Rashid, kemenangan terbaru Chen Long ke atas Chong Wei bukan bermakna pemain tersebut sudah mengatasi jaguh negara itu dalam semua aspek, sebaliknya beliau percaya, Chong Wei masih memiliki kepantasan, kecergasan dan skil yang baik, cuma tidak memberi aksi terbaik kebelakangan ini. Tambahnya lagi, kekalahan pemain itu kepada Chen Long kelmarin juga lebih kepada faktor taktikal dan bukan fizikal. "Saya rasa, kasihan juga bila tengok Seu Bock bersendirian di tepi gelanggang pada ketika semua pemain Chian diiringi dua jurulatih, mungkin selepas ini saya juga kena ikut Seu Bock dan membantunya mencongak taktik permainan Chong Wei dalam setiap kejohanan utama. "Idea dua jurulatih pasti lebih baik daripada seorang, mungkin saya akan bermula pada Siri Super Terbuka Hong Kong (15-20 November) dan Siri Super Premier Terbuka China (22-27 November),'' katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |