Utusan Online - Sukan |
Posted: Bekalan tipis ke PakistanOleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan ZAZALI JAMIAN Pemain Malaysia, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (dua dari kiri) merembat bola melepasi tiga pemain Pakistan dalam perlawanan kelayakan Olimpik di Stadium Shah Alam, malam tadi. Malaysia menang 2-0. - AFP SHAH ALAM - Menang tetapi masih belum cukup! Skuad Olimpik Malaysia sekadar merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Pakistan dalam aksi berat sebelah di Stadium Shah Alam yang dihadiri kira-kira 10,000 penyokong setia negara, semalam. Walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan dengan Pakistan beraksi 10 pemain sepanjang babak kedua, skuad negara gagal meraih kesempatan memperoleh gol sebanyak mungkin bagi menutup terus cabaran lawan dalam 90 minit seterusnya. Kemenangan dua gol tanpa balas itu sebenarnya belum menjanjikan keselesaan buat Ong Kim Swee dan pemain yang akan bertandang ke Lahore, Pakistan pada 9 Mac ini bagi melengkapkan pertemuan kedua pusingan pertama. Dua pemain muda, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Mohd. Irfan Fazail muncul wira negara dengan gol pada separuh masa pertama pada minit ke-3 dan 45. Seperkara lagi, anak-anak buah Ong Kim Swee ternyata perlu memperkemaskan lagi tahap permainan para pemainnya jika mahu melangkah jauh dalam kelayakan kali ini. Kim Swee ketika mengulas persembahan anak-anak buahnya berkata, dia amat berpuas hati dengan prestasi para pemainnya yang berada pada tahap terbaik. Namun, katanya, dia masih belum pasti untuk menurunkan skuad yang sama ketika bertandang ke Lahore, memandangkan anak-anak buahnya terpaksa mengharungi beberapa perlawanan Piala FA sebelum ke Pakistan. "Misi kita ke Lahore ialah mendapatkan tambahan dua lagi gol dalam memastikan kemenangan berada dalam genggaman skuad negara dan saya juga amat berpuas hati dengan prestasi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat," katanya. Jika diukur persembahan keseluruhan yang masih menampakkan banyak kelemahan daripada segi hantaran dan lambat dalam melakukan serang balas terutamanya pada aksi separuh masa pertama. Beberapa pemain terutamanya Ahmad Fakri Saarani dan K. Gurusamy mempamerkan permainan di bawah tahap sebenar manakala Ahmad Shakir Ali banyak melepaskan peluang terhidang. Selain kegagalan jentera serangan memperoleh gol tambahan pada separuh masa kedua, ketangkasan penjaga gol gantian, Muhammad Umer menyelamatkan dua percubaan terbaik negara pada minit ke-60 dan 65. Suasana di Stadium Shah Alam sudah gamat pada minit ke-3 apabila Zaharulnizam yang beraksi di bahagian sayap kanan melepaskan rembatan cantik sebelum menerjah ke sebelah kiri gawang Pakistan ketika Yousuf Ejaz Butt sekadar terpaku. Skuad Olimpik Malaysia bagaimanapun tiba-tiba memperlahankan sedikit rentak sambil penjaga gol yang juga kapten, Khairul Fahmi Che Mat beberapa kali melakukan sedikit kesilapan yang hampir menghadiahkan gol buat Pakistan. Sikap panas baran penyerang Pakistan, Ansar Abbas menyepak Khairul akhirnya mengundang padah apabila pengadil dari Hong Kong, Liu Kwok Man melayangkan kad merah pada minit ke-44. |
Sukan SEA tanpa Chong Wei, Koo-Tan Posted: Sukan SEA tanpa Chong Wei, Koo-TanKUALA LUMPUR - Skuad badminton Malaysia mungkin boleh melupakan hasrat untuk mencari keputusan terbaik pada Sukan SEA Indonesia, November ini kerana akan beraksi tanpa tonggak terbaiknya, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan pasangan utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Malah, skuad wanita yang akan turun sebagai penyandang juara berpasukan juga mungkin tidak menyenaraikan pasangan utamanya dan pemenang pingat emas beregu 2009, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui jika beregu senior itu bergelut untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012. Setiausaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Road to London 2012 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 25 Januari lalu memberi kelonggaran kepada badminton untuk merehatkan tonggak utama pada temasya yang berlangsung dari 11 hingga 25 November itu. Pusingan kelayakan Olimpik akan bermula pada April ini dan ketika Sukan SEA berlangsung nanti terdapat dua kejohanan kelayakan yang diadakan serentak dengan temasya berkenaan iaitu Siri Super Terbuka Hong Kong (15-20 November) dan Terbuka China pada 22-27 November. "Lee Chong Wei dan pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong diberi pengecualian daripada Sukan SEA kerana tidak mahu menganggu perancangan Sukan Olimpik, manakala status Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula bergantung kepada kedudukan mereka untuk layak ke Sukan Olimpik ketika Sukan SEA berlangsung. "Memandangkan Pei Tty-Eei Hui kini mengalami kejatuhan ranking yang teruk ekoran kecederaan panjang yang dialami Pei Tty, maka mereka mungkin agak bergelut untuk melayakkan diri ke temasya London. Malah, ada dua kejohanan kelayakan yang berlangsung serentak dengan Sukan SEA, jadi ia lebih penting buat mereka. "Bagaimanapun jika pada hari temasya Pei Tty dan Eei Hui sudahpun berada pada kedudukan yang baik untuk layak ke Olimpik, maka mereka mungkin boleh beraksi di Indonesia. Tetapi, Wong Mew Choo sudah sah mewakili negara ke temasya itu,'' kata Chin Chai selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM di Bukit Kiara, semalam. Selepas Muhammad Hafiz Hashim mengumumkan pengunduran daripada skuad kebangsaan dan Chong Wei pula dikecualikan daripada bertanding, BAM kini mungkin terpaksa menyandarkan harapan kepada pemain muda seperti Tan Chun Seang, Chong Wei Feng, Liew Daren, Chan Kwong Beng atau Mohd. Arif Latif untuk menggalas cabaran di Temasya XXVI. Dalam saingan beregu, ketiadaan Kien Keat-Boon Heong mungkin boleh ditampung beregu muda seperti Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong atau memberi kepercayaan kepada pasangan senior seperti Mohd. Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Hoon Thien How. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |