Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pengorbanan Chong Wei

Posted:

Pengorbanan Chong Wei

Pengorbanan Chong Wei

CHONG WEI bersama jurulatihnya, Tay Seu Bock ketika meninggalkan hotel penginapan mereka di Wuhan, China minggu lalu.


DATUK Lee Chong Wei sememangnya sudah banyak berkorban bagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Pelbagai kejayaan telah dilakar jaguh badminton dunia itu dan semuanya untuk negara.

Kali ini, dia sekali lagi terpaksa berkorban bagi memastikan sandaran yang diletakkan di bahunya untuk membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan berjaya direalisasikan.

Meskipun dihantui masalah kecederaan serius di bahagian buku lali kanan, Chong Wei tetap menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi temasya berprestij dunia itu di bumi London nanti.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, tiada istilah rehat buat pemain No. 1 dunia itu, sebaliknya dia akan tetap menjalani latihan ringan bagi mengekalkan tahap kecergasannya.

Katanya, mahu atau tidak, Chong Wei terpaksa mengharungi situasi tersebut bagi memastikan dirinya kekal cergas sebelum Sukan Olimpik membuka tirainya pada 27 Julai depan.

"Saya akan berbincang dengan pihak ISN (Institut Sukan Negara) bagi mengetahui lebih lanjut tentang kaedah terbaik buat Chong Wei untuk menjalani latihan ringan. Apa yang ISN kata boleh buat, saya akan buat dan begitu juga sebaliknya.

"Chong Wei masih boleh berdiri dan itu merupakan petanda yang cukup positif. Jika dia tidak boleh menggunakan kaki, kita akan fikirkan cara lain untuk menjalani latihan iaitu menggunakan anggota badannya yang lain.

"Mungkin ramai beranggapan ia bagai satu penyeksaan buat Chong Wei tetapi dia tidak mempunyai pilihan lain dalam misi meraih pingat emas Sukan Olimpik.

"Apa yang saya harapkan, rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada Chong Wei kerana peluang untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik tetap ada," kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Chong Wei mengalami kecederaan di buku lali kanan ketika menentang pemain Denmark, Peter Hoeg Gade pada aksi terakhir Kumpulan C kempen Piala Thomas 2012 di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China, Selasa lalu.

Kecederaan yang dialaminya menyaksikan dia terpaksa menarik diri daripada menyertai kempen Piala Thomas.

Pada keesokan harinya, Chong Wei pulang ke tanah air dan mendapat rawatan daripada dua pakar ortopedik iaitu Dr. Saw Khay Yong dan Dr. Nicholas Geary di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) dan dilaporkan akan pulih dalam masa empat minggu.

Pemain berusia 30 tahun itu akan menerima rawatan suntikan stem cell (sel tunjang) sebanyak tiga kali iaitu kaedah yang terbaik untuk pulih dengan cepat.

Mengulas lanjut, Seu Bock berkata, Chong Wei berkemungkinan besar akan keluar daripada KLSMC hari ini setelah menerima suntikan stem cell keduanya.

"Jika esok (hari ini) dia dibenarkan keluar daripada KLSMC, dia akan diberikan rehat satu hari pada Rabu (esok) sebelum menjalani proses pemulihan di ISN pada Khamis dan Jumaat.

"Bermula Isnin, dia akan kembali menjalani latihan. Mungkin minggu pertama dia akan menghabiskan masa menjalani latihan ringan di gimnasium bagi menguatkan semula otot-ototnya. Selepas itu nanti, barulah dia akan menjalani latihan di gelanggang.

"Namun, proses latihan itu nanti akan bergantung kepada tahap kecederaannya," jelas Seu Bock.

Malaysia tunduk kepada India

Posted:

Malaysia tunduk kepada India

Malaysia tunduk kepada India

Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
sukan@kosmo.com.my


GERAKAN penyerang skuad negara, Tengku Ahmad Tajuddin (kiri) dihalang penjaga gol India, Chetri Bharat Kumar pada perlawanan ketiga Kejohanan Hoki PSAS di Ipoh semalam.


HASRAT Malaysia mendapat tiga mata pertama tidak kesampaian apabila tewas 2-3 kepada India pada aksi ketiga mereka di Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-21 di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

Sebelum ini, jurulatih Tai Beng Hai meletakkan harapan yang tinggi untuk mengutip mata penuh kerana prestasi kedua- dua pasukan adalah seimbang.

Beng Hai tidak menyalahkan mana-mana pemain atas kegagalan mendapatkan mata penuh yang diharapkan itu.

"Mereka telah mencuba bersungguh- sungguh tetapi nasib tetap tidak menyebelahi Malaysia," jelas Beng Hai kepada pemberita di Ipoh semalam.

Beliau mengakui, jentera serangan yang masih cetek pengalaman membuatkan India mudah memintas asakan Malaysia.

"Kita telah melakukan yang terbaik pada perlawanan ini tetapi gagal menjaringkan gol," tambah Beng Hai.

Jentera serangan Malaysia yang diketuai Faisal Shaari gagal menyempurnakan beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

Selepas menerima tekanan daripada pasukan tuan rumah di awal permainan, India bangkit mengasak kubu Malaysia dan berjaya mendapat gol pertama melalui pukulan kencang Danish Mujtaba pada minit ke-10.

India yang sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik London terus bertindak garang dan mereka sekali lagi membolosi pintu gol Malaysia hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Shivendra Singh pada minit ke-13.

Malaysia bangkit pada awal separuh masa kedua dengan mengasak kubu India bagi merapatkan jurang gol.

Anak-anak buah Beng Hai berjaya merapatkan jurang perbezaan hasil pukulan sudut penalti oleh Muhammad Amin Rahim pada minit ke-40.

Selepas itu, India kembali menjarakkan diri daripada Malaysia apabila Tushar Khandker menyumbat gol ketiga pasukannya pada minit ke-44.

Selepas itu pemain remaja, Muhd. Fitri Saari berjaya merapatkan jurang jaringan melalui pukulan kencangnya pada minit ke-59.

Walaupun Malaysia mendapat sokongan padu daripada hampir 10,000 penonton tempatan tetapi gagal untuk mengatasi kehebatan India.

WAR'S 15 tawan Kuching

Posted:

WAR'S 15 tawan Kuching

WAR'S 15 tawan Kuching


PASUKAN-pasukan yang menguasai siri ketujuh di Kuching, Sarawak bergambar kenangan dengan penganjur kejohanan.


KARNIVAL Futsal MILO Hidup Bola 2012 singgah di Kuching, Sarawak minggu lalu bagi mencari empat wakil dari negeri berkenaan berentap pada grand final 16 September depan.

Saingan pada siri ketujuh yang berlangsung di Sports Planet Kuching, Sarawak itu menyaksikan 74 pasukan tampil menyahut cabaran bagi kategori bawah 12 dan 16 tahun.

Sambutan pada siri di Kuching itu sungguh menakjubkan dengan kehadiran ramai ibu bapa bagi memberi sokongan kepada anak-anak mereka yang beraksi.

Apa yang menarik, ada dalam kalangan ibu bapa ini tampil sebagai pengurus pasukan.

Ini membuktikan kekuatan asas dalam perkembangan sukan futsal semakin kukuh, khususnya pada peringkat akar umbi.

Karnival ini akan diadakan di setiap negeri yang mengandungi 14 siri dan akan diadakan pada setiap hujung minggu.

Sebanyak 32 pasukan terbaik dalam kedua-dua kategori akan berentap pada grand final.

Pasukan yang muncul juara akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000, naib juara RM10,000 manakala tempat ketiga dan keempat RM7,000.

Pada saingan di Kuching minggu lalu, pasukan D' Team daripada akademi bola sepak terkenal di Kuching, muncul juara bagi kategori B-12 apabila menewaskan White Tiger Juniors 3-1 pada perlawanan akhir.

Kategori B-16 pula menyaksikan pasukan WAR'S 15 bergelar juara, manakala WAR'S 15 Generation di tempat kedua.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan