Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Tuah Polo United

Posted: 15 Jul 2012 10:52 AM PDT

TEKA-TEKI pasukan manakah yang bakal mengungguli saingan Grand Final Karnival Futsal Harian Metro pada musim ini akhirnya terjawab apabila Polo United ditabal sebagai pemenang kategori Terbuka Lelaki sekali gus membolot wang tunai RM20,000, hadiah kemenangan paling lumayan dalam kejohanan futsal di negara ini.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Batu Berendam, Melaka kelmarin, Polo United berjaya menewaskan pasukan Medan Batu Caves dengan jaringan 1-0.


Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi menarik sejak awal permainan, namun tuah nyata lebih memihak kepada Polo United yang dilabel antara pasukan pilihan untuk mengungguli saingan Grand Final.

Bagi pengurus pasukan Zikrie Zakaria, kemenangan kelmarin menepati sasaran mahu memastikan anak buahnya dapat melangkah ke pentas final sekali gus mendominasi saingan musim ini.


"Sudah lama kami menantikan saat ini sejak menyertai karnival ini dan akhirnya, kemenangan memihak kepada kami.


"Memang sejak awal-awal lagi, tiada sasaran lain yang saya letakkan untuk pasukan ini selain mahu mereka muncul juara.

"Alhamdulillah, segala-galanya memihak kepada kami tapi kemenangan ini bukan mudah kerana kami terpaksa berdepan laluan sukar," katanya.


Selaku pemenang tempat kedua, Medan Batu Caves membawa pulang wang bernilai RM15,000 sementara tempat ketiga menjadi milik Gelombang B yang menerima RM10,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16


Zulfadli hempas pulas

Posted: 15 Jul 2012 10:46 AM PDT

SELAKU bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli membuktikan kehadirannya sukar digugat atlet lain apabila membawa pulang emas acara perseorangan lelaki badminton di Stadium Tertutup Sukan Pahang (Sukpa), semalam.

Namun, kejayaan atlet Wilayah Persekutuan itu bukannya mudah apabila terpaksa beraksi pada set penentuan untuk menewaskan Tan Kian Meng dari Johor 21-14, 13-21, 21-7.


Menurut Zulfadli, dia memang sudah menjangkakan saingan sengit akan diberi Kian Meng yang beraksi dengan baik pada perlawanan itu.

"Saya akui Kian Meng adalah pemain bagus dan saya memerlukan lebih tumpuan untuk menang.


"Sebab itu saya bermain agresif untuk menyekatnya dan mencatat kemenangan pada set pertama. Tapi, saya tewas di set kedua kerana Kian Meng mempunyai kelebihan ketinggian serta bijak membaca corak permainan saya.


"Namun, saya gembira pada set penentuan, saya dapat mengawal permainan dan berjaya menewaskannya untuk meraih pingat emas," katanya.

Sementara itu, pingat gangsa dimenangi Iskandar Zulkarnain Zainuddin dari Johor selepas membenam pemain Sabah, Lim Yu Fu dengan 21-16, 21-18.


Kejayaan Zulfadli itu melengkapkan pencapaian pasukan badminton Wilayah Persekutuan dengan meraih tiga emas dan satu perak manakala Selangor menduduki tempat kedua dengan pungutan dua emas dan dua gangsa diikuti Melaka dengan satu emas dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen