Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


'Faktor 12'

Posted: 23 Nov 2012 03:19 PM PST

Tengku Abdullah minta penyokong tempatan bantu cabaran Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menuntut sokongan padu 'pemain ke-12' - penyokong tempatan - menjelang kempen mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF, esok.

"Bagi pemain peluang. Biar mereka membuktikan kemampuan sebenar di kejohanan ini. Saya mahu mereka membuktikan bahawa Harimau Malaya adalah pasukan disegani.

"Faktor penyokong penting kerana kita bukan saja mempunyai kekuatan tetapi kita juga penyokong hebat. Kita perlu memberi sokongan kepada pasukan negara tanpa berbelah bagi," katanya selepas hadir di padang Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam menyaksikan persiapan terakhir sebelum Malaysia menentang Singapura pada perlawanan pertama Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Tonik tambahan

Sebelum ini Tengku Abdullah menyuarakan rasa kurang puas hati dengan persembahan skuad kebangsaan pada aksi persahabatan dalam rangka persiapan kejohanan Piala AFF.

Malaysia tumpas kepada Vietnam 1-0, Thailand 2-0 sebelum seri 1-1 dengan Hong Kong dan Bangladesh.

Namun, Tengku Abdullah merasakan suasana dalam kem Harimau Malaya semakin baik dan beliau yakin ia mampu diterjemahkan pada hari pertandingan.
Kunjungan Tengku Abdullah itu dilihat sebagai tonik tambahan kepada anak buah Rajagobal yang sebelum ini mendapat kata-kata semangat daripada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tempoh hari.

Skuad Raja sasar dua misi

Posted: 23 Nov 2012 03:17 PM PST

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya ada dua misi penting apabila turun memulakan kempen mempertahankan Piala Suzuki AFF menentang Singapura malam esok - mencatat kemenangan sekali gus memperbaiki rekod pertemuan yang tidak memihak kepada mereka.

Jurulatih negara Datuk K Rajagobal berkata, walaupun Singapura tidak terlalu memberi tumpuan kepada cabaran bakal diberikan anak buahnya, dia tetap mahu pemain memberi persembahan terbaik mencatat kemenangan dan memperbaiki rekod pertemuan sebelum ini.

Dalam 12 pertemuan terakhir antara kedua negara, termasuk dua perlawanan timbal balik kelayakan Piala Dunia 2014 tahun lalu, Malaysia sekadar menang sekali dan seri lima kali.

Cari keputusan positif

"Kita lupakan dulu soal mempertahankan kejuaraan, yang penting ialah melepasi halangan pertama bertemu Singapura dengan keputusan positif," kata Rajagobal.

"Perlawanan pertama cukup penting dalam satu-satu kejohanan dan pemain perlu memberikan fokus penuh seperti menghadapi final.

"Saya yakin selepas aksi kurang menentu pada siri perlawanan persahabatan sebelum ini, pemain akan bangkit mempamerkan corak permainan sebenar mereka."
Rajagobal bagaimanapun mengakui perlawanan pertama Kumpulan B itu sebagai satu lagi pertemuan tetangga antara Malaysia dan jiran sebelah tambaknya itu.

Walaupun skuad kendaliannya turun sebagai juara bertahan, Rajagobal berpendapat, Singapura tetap mempunyai kelebihan berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini.

"Mereka mempunyai pemain berpengalaman terutama pemain tonggak yang menjadi 'duri dalam daging' buat skuad negara ketika saingan kelayakan Piala Dunia tahun lalu," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan