Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Jerat Gajah dalam diam

Posted: 03 Dec 2012 07:46 AM PST

SKUAD Harimau Malaya mampu mengatasi halangan Thailand dalam misi memburu tiket ke final Piala AFF namun tidak boleh terlalu ghairah khususnya pada aksi pertama separuh akhir di gelanggang sendiri Ahad ini.

Itu pendapat disuarakan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee hasil pengamatannya terhadap kekuatan Thailand yang merekod tiga kemenangan bersih dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.


Beliau yang berada di Bangkok untuk menyaksikan dua perlawanan awal Thailand dalam saingan Kumpulan A berkata, skuad kendalian Winfried Schafer itu nyata berbeza berbanding ketika mereka terkandas di peringkat awal dua tahun lalu.

"Saya sempat menyaksikan dua perlawanan Thailand menentang Filipina dan Myanmar. Apa yang saya dapat lihat Thailand kali ini jauh berbeza. Mereka pasukan pilihan tapi itu tidak bermakna kita tak boleh melakukan kejutan.


"Apa yang penting skuad kebangsaan perlu menggunakan kesempatan bermain di gelanggang sendiri pada pertemuan pertama, namun kita tidak boleh terlalu ghairah. Thailand bukan seperti Laos atau Indonesia, kalau tidak berhati-hati, apa yang terjadi ketika menentang Singapura tempoh hari boleh berulang kembali.


"Pemain perlu bersabar dan tidak cepat hilang penguasaan bola," katanya kepada Arena Metro semalam.

Skuad juara bertahan kendalian Datuk K Rajagobal beraksi buruk pada perlawanan pertama Kumpulan B dengan melakukan banyak kesilapan sehingga membenarkan Singapura memperoleh gol mudah untuk menang 3-0.


Namun Harimau Malaya bangkit dengan merakam kemenangan 4-1 ke atas Laos dan mengesahkan tiket ke separuh akhir dengan menewaskan Indonesia 2-0.

Berbeza pula dengan juara tiga kali Thailand yang tampak sukar digugat apabila mencatat tiga kemenangan ke atas Filipina 2-1, Myanmar 4-0 dan Vietnam 3-0 untuk muncul juara kumpulan.


Kim Swee yang membimbing skuad bawah 23 tahun negara mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Jakarta tahun lalu berkata, pemain negara perlu berusaha keras untuk menyekat penguasaan Thailand di bahagian tengah yang diketuai pemain perancang, Datsakorn Thonglao.


"Thailand memiliki pemain sayap kanan dan kiri yang bagus iaitu Theerathon Bunmathan dan Nataporn Phanrit. Datsakorn pula memiliki kepakaran dalam membuat umpanan ke dalam kotak penalti yang cukup merbahaya untuk memberi ruang kepada penyerang berbisa mereka Teerasil Dangda menjaringkan gol.


"Thailand jarang melakukan hantaran jauh kecuali ketika mahu menyerang," katanya.


Bagaimanapun Kim Swee yakin Rajagobal mampu merencana strategi terbaik untuk mengekang skuad Changsuk itu untuk mara ke final.


"Keyakinan pemain bertambah baik dan permainan mereka terus meningkat selepas mencatat kemenangan pada dua perlawanan terakhir. Tiada sebab untuk pasukan negara gagal mengulangi kejayaan dua tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Himpit Juve

Posted: 03 Dec 2012 07:34 AM PST

ROME: Kemenangan menerusi gaya berbeza buat Napoli dan Inter Milan membolehkan mereka terus menekan pendahulu Juventus dalam Serie A awal pagi semalam namun Fiorentina kehilangan rentak selepas diikat pasukan sedang meningkat, Sampdoria.

Napoli membelasah pasukan tercorot Pescara 5-1 namun Inter mencatat kemenangan kurang menakjubkan 1-0 di gelanggang sendiri ke atas Palermo.


Dua gol masing-masing sumbangan Gokhan Inler dan Edinson Cavani, satu daripadanya menerusi sepakan penalti, membantu Napoli kendalian Walter Mazzarri kekal dua mata di belakang Juve, yang menundukkan jiran setempat Torino 3-0, kelmarin.

Inter berada empat mata di belakang Juve dengan 31 mata selepas menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan hasil bantuan jaringan sendiri pemain Palermo, Santiago Garcia.


Stefan Savic menjaringkan kedua-dua gol Fiorentina untuk meraih satu mata selepas Nenad Krsticic menyamakan kedudukan buat Sampdoria sebelum mendahului menerusi gol sendiri Gonzalo Rodriguez. Gol Savic adalah yang pertama buatnya dalam Serie A.


"Secara jujur, saya gembira dengan kedudukan kami, alangkah baiknya jika musim ini sudah berakhir atau sekurang-kurangnya beberapa perlawanan sebelum musim tamat," kata jurulatih Fiorentina, Vincenzo Montella.

"Kami berdepan Sampdoria yang mencetus banyak masalah dan ketika kami bertindak cemerlang, kami berpeluang untuk menang." Fiorentina berada di tangga keempat, sama 29 mata dengan Lazio dan dua mata di belakang Inter Milan manakala Sampdoria melonjak ke tangga ke-12 dengan 17 mata.


Lazio ketinggalan enam mata di tangga kelima selepas menundukkan Parma 2-1 menerusi gol pemain pertahanan Giuseppe Biava pada minit ke-25 dan gol kesembilan Miroslav Klose musim ini.

Ishak Belfodil merapatkan kedudukan buat Parma pada minit ke-66 selepas sepakan penaltinya diselamatkan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen