Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kes Tunku Ismail rumit

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Ahmad Fuad Daud

KUALA LUMPUR - Tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berada di bangku simpanan pemain ketika tempoh digantung boleh mengundang padah apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan ketegasan akan menyiasat kes berkenaan.

Perkara itu diperjelaskan oleh Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud yang turut bertindak sebagai Pesuruhjaya Perlawanan pada perlawanan itu antara Johor Darul Takzim dan Terengganu, 30 Mac lalu.

Pun begitu, di sebalik ketegasan yang cuba ditunjukkan oleh FAM, terdapat sedikit kemungkinan Tunku Ismail masih boleh bebas daripada sebarang tindakan jika beliau mendakwa berada di bangku simpanan pemain atas kapasiti selaku Tunku Mahkota Johor.

''Saya sudah menyiapkan laporan penuh mengenai insiden itu (Tunku Ismail yang berada di bangku simpanan pemain) perkembangan terhadap kes ini akan diketahui tidak lama lagi.

''Laporan itu akan diserahkan pada hari ini kepada mana-mana jawatankuasa yang terbabit dan ada kemungkinan kes Tunku Ismail akan diteliti oleh Jawatankuasa Tatatertib.

''Namun, kes ini tetap akan dikaji terlebih dahulu bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan dan mungkin juga boleh dirujuk kepada jawatankuasa lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Cuma penjelasan Fuad mengenai kehadiran Tunku Ismail duduk di bangku simpanan atas kapasitinya sebagai Presiden PBNJ atau Tunku Mahkota Johor mengundang sedikit kekeliruan

''Perkara ini perlu ditanya disiasat terlebih dahulu dan jika berlaku sebarang masalah, FAM kini sudah ada pengawai undang-undang sendiri untuk meneliti lebih mendalam," katanya.

Tunku Ismail yang digantung enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak pada 9 Mac lalu mencetuskan kejutan apabila berada di bangku simpanan pemain ketika perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dan Terengganu di Stadium Larkin, Sabtu lalu.

Pada perlawanan yang disiarkan secara langsung di salah sebuah televisyen tempatan itu, beliau terlebih dahulu berada di tempat duduk khas, namun menyertai para pemain lain ketika perlawanan mula memasuki separuh masa kedua.

Malah, beliau sempat bersalaman dengan pertahanan Johor DT, Ahmad Tarmini Saiban yang dilayangkan kad merah setelah menerima dua kad kuning kedua.

Dalam laporan Utusan Malaysia semalam, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata beliau sedang menunggu laporan penuh daripada pegawai pertandingan sebelum mengambil sebarang tindakan.

Apa yang pasti, kontroversi terbaharu yang membabitkan Tunku Ismail ini menambah lagi rencah kepada asam garam bola sepak negara yang tidak pernah lekang daripada masalah terutamanya membabitkan Artikel 88.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim serta Tunku Ismail menjadi dua mangsa pertama Artikel 88 pada tahun ini dan dijangka jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal juga bakal menjadi mangsa terbaharu kepada artikel terbabit.

Tugas getir menanti Kim Swee

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Ong Kim Swee (barisan tengah) bersama pemain pasukan Harimau Muda A sebelum berlepas ke Slovakia bulan lalu. Skuad bawah 23 tahun negara ini akan berdepan dengan perlawanan ujian ketiga menentang MSK Zilina, Khamis ini.

KUALA LUMPUR - Setelah dibelasah teruk 1-7 oleh pasukan bawah 21 Georgia pada 26 Mac lalu, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berdepan tugas getir untuk memulihkan kembali moral para pemainnya menjelang perlawanan menentang kelab Divisyen Satu Slovakia, MSK Zilina, Khamis ini.

Tambahan skuad yang mereka tentang bukannya dari pasukan liga simpanan, dia perlu segera mencari tonik terbaik bagi memastikan Harimau Muda tidak diaibkan buat kali kedua.

''Sudah tentu bukan mudah buat saya memperbaiki keyakinan para pemain selepas kami kalah teruk tempoh hari kepada lawan yang lebih baik.

''Namun, kita perlu mengambil kekalahan itu daripada sudut positif kerana rata-rata pemain saya turunkan adalah terdiri daripada pemain-pemain pelapis dan ini memberikan kesempatan terbaik kepada mereka.

''Jangan dilupakan ketiadaan pemain-pemain terbaik pada perlawanan sebelum ini seperti Gary Steven Robbat, Mohd. Irfan Fazail dan Mohd. Fadhli Shas, itu turut memberi sedikit sebanyak memberi kesan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menentang Zilina, yang pernah muncul dalam saingan Liga Juara-Juara 2010/11, Kim Swee berharap anak-anak buahnya boleh memperoleh banyak pengalaman berharga dan tidak terlalu memikirkan keputusan semata-mata.

''Zilina akan menurunkan sekurang-kurangnya 80 peratus pemain pasukan utama dan itu pasti memberikan saingan berkualiti kepada pasukan kita.

''Jangan difikirkan sangat mengenai keputusan sama ada menang atau kalah kerana tujuan kami adalah mahu memperbaiki segala kelemahan sebelum ke Sukan SEA di Myanmar.

''Diharapkan kehadiran semula Fadhli Shas di benteng pertahanan dapat memberikan keyakinan kepada para pemain lain kerana kita semua tahu pengalaman yang dia ada boleh membimbing pasukan beraksi lebih baik, " katanya.

Harimau Muda seri 1-1 bertemu bawah 19 Slovakia pada perlawanan persahabatan pertama, 23 Mac lalu sebelum tunduk kepada kegagahan Georgia setelah terpaksa beraksi dalam cuaca sejuk bawah 5 darjah Celsius.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen