Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


FAM bakal berdepan bahaya

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah, menganggap cadangan untuk memansuhkan Artikel 88 Statut FAM sebagai tidak wajar dan boleh membahayakan masa depan badan induk itu apabila terlalu ramai individu akan bersuara tanpa batasan dan kawalan.

Titah baginda semasa Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ketujuh semalam, bukan FAM sahaja terikat dengan peraturan tetapi mana-mana industri juga ada peraturan yang bertujuan melindungi kepentingan industri mereka dan semua pihak.

Namun begitu, baginda mengingatkan FAM tidak pernah sesekali menyekat mana-mana pihak untuk menyuara pendapat atau melontarkan kritikan.

''Sejak kebelakangan ini saya mendapati terlalu banyak spekulasi, ulasan dan komentar terutamanya yang berkaitan dengan Artikel 88 sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah FAM bersikap diktator dan tidak mahu menerima sebarang kritikan.

"Kekalutan ini timbul, tidak syak lagi akibat keengganan sesetengah pemimpin dan ahli FAM untuk memahami falsafah dan dasar yang termaktub dalam Statut FAM.

"FAM tidak pernah sesekali menyekat mana-mana pihak untuk menyuarakan pendapat atau melontar kritikan. Malangnya, ada ahli-ahli FAM masih tidak mahu memahami bahawa kita mempunyai saluran tertentu untuk menyampaikan apa-apa perkara.

"Saya difahamkan Jawatankuasa Peraturan sudah bersidang untuk meneliti Artikel 88 sama ada ia perlu dikaji semula atau diperjelaskan agar tidak boleh ditafsir secara meluas, " titah baginda.

FAM sebelum ini telah menerima kritikan hebat dari pelbagai pihak berhubung Artikel 88.

Antara yang lantang bersuara adalah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah mengesahkan pihak Jawatankuasa Peraturan kini sedang membincangkan secara mendalam terhadap sebarang pindaan Artikel 88.

"Kita akan putuskan pada mesyuarat minggu depan selepas ia dibahaskan cukup mendalam pada hari ini (semalam) dan jika dipersetujui, isu ini akan dibawa ke Mesyuarat Kongres kali ke-49 pada Ogos ini kerana sebarang pindaan pada Statut perlulah menerusi persetujuan ahli Kongres.

"Kita mahu mengelak sebarang tafsiran, kita mahu apabila kita baca Artikel 88 kita tahu apakah maksud dan tujuannya," katanya.

Azzuddin tinggalkan FAM

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

KUALA LUMPUR - Setelah hampir enam tahun memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad (gambar) bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak negara apabila memilih haluan baru sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), penghujung Mei depan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Azzuddin yang mengakui, beliau bersedia melepaskan jawatan setelah namanya diusulkan oleh Presiden AFF, Sultan Ahmad Shah bagi mengisi jawatan yang ditinggalkan Datuk Seri Paul Mony Samuel.

"Saya cukup gembira dan bangga kerana Sultan Ahmad Shah selaku presiden telah mengusulkan nama saya untuk mengisi jawatan Setiausaha Agung AFF.

"Segala titah baginda saya akan ambil dengan penuh serius dan bersedia memberikan komitmen yang tinggi kepada AFF," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Eksekutif FAM kali ketujuh, semalam.

Bakal memulakan tugasan pada 1 Jun, Azzuddin menjelaskan sehingga tempoh itu, Setiausaha Agung FAM yang baru akan dilantik.

Sepanjang bersama FAM, beliau antara watak penting membantu kejayaan Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF kali pertama pada 2010 dan menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas di Sukan SEA Laos 2009 serta memenanginya sekali lagi di Indonesia pada 2011.

Beliau pernah mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pemain dan menyarung jersi negara sekitar 1970-an, selain menganggotai skuad yang muncul naib juara Pestabola Merdeka pada 1972.

Dalam perkembangan lain, Azzuddin mengesahkan FAM telah menghantar bidaan rasmi untuk menjadi penganjur kejohanan Piala Asia 2019.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen