Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jerman cantas kita

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI dan ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kalah mengejut 17-21, 21-18, 17-21 kepada Fuchs Michael-Michels Birgit dalam saingan pembukaan menyebabkan Malaysia ketinggalan 0-1 dalam saingan Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia tewas 2-3. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

KUALA LUMPUR - Semalam adalah hari paling malang buat badminton Malaysia apabila kita mengalami kekalahan memalukan buat kali kedua berturut-turut, sekali gus tersingkir daripada saingan Piala Sudirman seawal peringkat kumpulan selepas tunduk 2-3 kepada Jerman.

Turun sebagai pilihan ketiga dan diuar-uarkan tidak akan menghadapi masalah untuk melayakkan diri ke suku akhir, Malaysia sebaliknya bukan saja gagal menjuarai Kumpulan C seperti yang disasarkan, malah tidak berjaya pun melepasi peringkat kumpulan.

Memang Malaysia bukan gergasi dalam kejohanan berpasukan campuran, namun kita tidak pernah gagal layak ke suku akhir sejak berjaya mendapatkan semula tempat dalam divisyen satu pada 2005.

Pada 2007 kita mara ke suku akhir, 2009 separuh akhir, manakala 2011 suku akhir.

Hari malang badminton Malaysia turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Khairy Jamaluddin yang hadir di Stadium Putra, Bukit Jalil untuk menonton kejohanan badminton pertamanya sejak bergelar menteri.

Bau-bau kekalahan sudah mula dihidu selepas pasangan harapan negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kalah mengejut 17-21, 21-18, 17-21 kepada Fuchs Michael-Michels Birgit dalam saingan pembukaan untuk menyebabkan Malaysia ketinggalan 0-1.

Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menggalas tugas berat dalam perlawanan penentuan berusaha memberi yang terbaik, namun kerja keras mereka tidak cukup untuk menumbangkan Michels Birgit-Golsizewski Johanna apabila tunduk 16-21, 21-16, 18-21.

Biarpun jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu muda, Goh V Shem-Lim Khim Wah berjaya meletakkan Malaysia kembali mendahului 2-1, namun, hasrat Malaysia untuk meneruskan cabaran mula menipis selepas Tee Jing Yi kaku dalam saingan perseorangan wanita apabila tunduk mudah 11-21, 14-21 kepada Konon Olga.

Vivian-Khe Wei tidak mampu menampung beban berat beraksi dalam perlawanan penentuan apabila melengkapkan kekalahan hebat kepada Birgit-Johanna.

Ini adalah kali kedua Malaysia diaibkan selepas tumpas 2-3 kepada Taiwan dalam aksi pembukaan Ahad lalu.

Terdahulu, ramalan bahawa Chong Wei mampu menang mudah ke atas Domke Dieter untuk menyamakan kedudukan hampir meleset apabila dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan 31 minit sebelum menang 21-18, 21-18.

V Shem-Khim Wah yang menjadi pilihan menggalas cabaran beregu lelaki ekoran prestasi merudum pasangan utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, melaksanakan tugas dengan baik biarpun bertungkus lumus menumpaskan Kindervater Ingo-Schoettler Johannes 21-16, 23-21.

Tiada apa yang mampu dilakukan oleh Malaysia untuk meneruskan langkah ke suku akhir selepas kekalahan Ji Ying dan Khe Wei memusnahkan impian kita.

"Selalunya saya akan menjadi orang pertama turun gelanggang dalam kejohanan berpasukan tetapi kali ini saya jadi pemain kedua beraksi dan kita pula ketinggalan 0-1. Itu memberi tekanan berbeza tetapi saya bernasib kerana berjaya mengatasi perasaan gemuruh dan menang perlawanan.

"Saya memang terkejut bila Peng Soon-Liu Ying kalah, saya jangkakan ini adalah acara yang kita patut menang. Apa pun, kejohanan berpasukan memang sukar, perasaannya tidak sama apabila anda bermain dalam kejohanan individu," ujar ketua pasukan, Chong Wei.

Berani buat berani tanggung

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

TENGKU Abdullah (kiri), Pengarah Urusan dan Pengerusi Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Seri Zukri Samat (dua dari kanan) dan Datuk Zamani Abdul Ghani pada pelancaran kad debit-i Visa Bank Islam Team Harimau pada majlis pelancarannya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

PETALING JAYA - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan mana-mana pemain supaya jangan sesekali melayani sebarang percubaan mengatur keputusan oleh bookie yang akhirnya membawa akibat buruk kepada mereka.

"Sekali anda buat dan apabila anda melayan mereka (bersetuju mengambil rasuah mengatur keputusan), timbullah akibatnya seperti ugutan, cubaan membunuh, menggertak pemain dan menakutkan keluarga (jika enggan terus bekerjasama dengan bookie lagi).

"Dari dulu lagi saya sudah menasihatkan pemain, namun saya harap kes ini juga perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa," katanya selepas pelancaran 'Kad Debit-i Visa Bank Islam Team Harimau' di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Beliau mengulas dakwaan peminat bola sepak yang mengesyaki kegiatan mengatur keputusan telah kembali melanda bola sepak Malaysia dalam perlawanan Liga Perdana apabila Sime Darby membelasah Kuala Lumpur 5-0, minggu lalu.

Menurut Tengku Abdullah, FAM dan Kementerian Belia dan Sukan memandang serius isu rasuah bola sepak, malah mengatur perjumpaan membincangkannya dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, esok.

"FAM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendapat nasihat mereka dalam hal ini. Saya dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin), akan mengadakan perjumpaan dengan FAM, polis dan SPRM di Bukit Jalil, 23 Mei ini," katanya.

Mengenai pandangan sinis segelintir pihak terhadap saranannya baru-baru ini supaya Asia Tenggara membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034, katanya: "Itu hak mereka menyatakan apa-apa pun, namun masa masih panjang dan kami sedang buat kajian terperinci dan rumusan untuk perlu membida atau tidak.

"Saya berpendapat, elok kita berfikir ke arah yang positif dan mengambil kira agenda bola sepak rantau Asia Tenggara yang perlu ditingkatkan secara bersatu. Bukan Thailand sahaja yang turut berminat (tuan rumah bersama), banyak lagi negara lain."

Sementara itu, Tengku Abdulllah mengalu-alukan langkah Bank Islam memperkenalkan Kad Debit-i Visa Bank Islam Team Harimau yang membuka lembaran baharu dan pengiktirafan kepada bola sepak negara dan skuad kebangsaan serta menawarkan lapan keistimewaan kepada pemegangnya.

Antaranya penerimaan kad yang meluas di 29 juta rangkaian perniagaan dan pembekal khidmat Visa, pembayaran terus, pengeluaran tunai, urus niaga akaun Tabung Haji, pengecualian yuran tahunan, diskaun istimewa pembelian, penentuan had guna harian dan ciri-ciri keselamatan pintar.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen