Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Bertarung di Bukit Jalil

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Para penyokong Pahang dan Johor Darul Takzim ditenteramkan oleh anggota keselamatan selepas mereka bertindak menyerbu masuk ke padang pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang terpaksa dibatalkan malam kelmarin. Perlawanan terpaksa dibatalkan ekoran berlaku kekecohan di kalangan penyokong. - BERNAMA

PETALING JAYA - Pahang menjadi persatuan bola sepak negeri paling tinggi dikenakan hukuman dalam sejarah bola sepak negara apabila didenda k RM100,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) - semuanya gara-gara kekecohan yang berlaku pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.

Skuad Tok Gajah juga kehilangan hak untuk bermain selaku tuan rumah apabila terpaksa beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil menentang Johor Darul Takzim, malah terpaksa menanggung semua perbelanjaan pasukan lawan.

Bagaimanapun, Datuk Haimidin Mohd. Amin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan masih berlembut membenarkan kehadiran penyokong pada perlawanan tersebut yang akan dijadualkan berlangsung 4.15 petang.

''Atas gagal mengawal faktor keselamatan sebelum perlawanan, kehadiran penonton di atas trek dan penyokong tuan rumah menyerbu ke arah penonton Johor sebaik sahaja perlawanan ditangguhkan, Pahang dikenakan denda maksimum RM100,000 dan tidak boleh mengemukakan sebarang rayuan.

''Pahang juga terpaksa beraksi di stadium berkecuali yang telah ditetapkan oleh FAM iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Jun, Sabtu ini dan perlu menanggung semua perbelanjaan skuad Johor DT selama dua malam termasuk penginapan hotel dan pengangkutan.

''Johor DT pula melakukan dua kesalahan iaitu para pemain telah meninggalkan stadium sebelum 90 minit masa perlawanan dan para penyokongnya berada di dalam trek, mereka dikenakan denda RM20,000," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Menyentuh aksi separuh akhir kedua di Piala FA yang akan diadakan di Bukit Jalil, Hamidin berkata, mereka tiada pilihan lain selain terpaksa melangsungkannya di situ selepas Stadium Shah Alam tidak dapat digunakan kerana telah ditempah bagi kegunaan majlis lain.

''Bukit Jalil hanya boleh dimainkan di sebelah petang kerana lampu limpah di situ masih tidak dapat digunakan dan situ sahaja pilihan kita ada kerana Shah Alam akan digunakan untuk sebuah konsert.

''Aksi antara Pahang dan Johor DT akan diuruskan sepenuhnya di bawah pengelolaan FAM iaitu melalui Jawatankuasa Tiket dan Pintu.

''Semua penyokong Pahang boleh menebus tiket di pejabat PBNP dan tiket baharu akan dikeluarkan pada Sabtu iaitu hari perlawanan bermula sembilan pagi," katanya.

Jelas Hamidin, JKPT mempunyai hak untuk mengenakan hukuman ke atas persatuan bola sepak negeri mengikut Peraturan 8.1 dan tidak semestinya perlu menunggu Jawatankuasa Tatatertib untuk bersidang.

''JKPT boleh menjatuhkan hukuman kepada mana-mana persatuan bola sepak negeri jika gagal mematuhi piawaian keselamatan kerana perkara ini termaktub di bawah Peraturan 8.1 FAM.

''Selepas hukuman ini dikenakan, tiada lagi denda lain akan dikenakan di bawah Jawatankuasa Tatatertib dan hukuman ini adalah muktamad," katanya.

Gara-gara pintu pagar pecah - Hamidin

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Salah seorang petugas di Stadium Darul Makmur, Kuantan menunjukkan pintu ke bilik persalinan pemain yang turut dirosakkan oleh penyokong-penyokong fanatik Pahang malam kelmarin. - UTUSAN/Mahathir Ali

PETALING JAYA - Insiden rusuhan antara penonton Pahang dan Johor Darul Takzim pada separuh akhir kedua Piala FA, malam kelmarin semuanya berpunca daripada satu masalah iaitu empat pintu pagar penyokong di Stadium Darul Makmur telah roboh.

Perkara itu telah dijelaskan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berkata, segala kekecohan serta kehadiran penyokong melebihi kapasiti pasti tidak akan berlaku sehingga perlawanan terpaksa ditangguh.

''Berdasarkan laporan yang diperolehi daripada pegawai perlawanan bahawa empat pintu telah dipecahkan iaitu pintu 7, 5, 11 dan 14 yang menyebabkan ramai antara mereka tidak memperolehi tiket berjaya memasuki stadium sehingga membuatkan stadium melimpah dengan kehadiran penonton sehingga di atas trek.

''Tiada unsur provokasi mengapa pintu pagar ini dipecah sebaliknya semua gara-gara jumlah tiket sebanyak 1,100 bagi kerusi grandstand dan 30,220 untuk tempat duduk biasa telah habis dijual pada waktu tengah hari lagi, mereka hanya kecewa tidak mendapat tiket.

''Jika pintu pagar itu tidak dipecahkan, saya rasa perkara ini tidak mungkin terjadi dan perlawanan pada malam semalam mungkin dapat dimainkan seperti biasa, " katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Pada perlawanan semalam, Stadium Darul Makmur hanya boleh memuatkan kehadiran maksimum seramai 40,000 orang dikejutkan dengan jumlah penonton yang terlalu ramai sehingga menyebabkan permainan terpaksa tidak dapat dimulakan sebelum pesuruhjaya perlawanan, Datuk Ahmad Fuad Daud membuat keputusan membatalkan perlawanan.

Keputusan tidak meneruskan perlawanan itu telah mengundang rusuhan antara penyokong Pahang dan Johor Darul Takzim sehingga menyebabkan ada penonton yang hadir mengalami kecederaan di samping kerosakan beberapa kenderaan yang membawa pemain serta penyokong Johor DT.

Tambah Hamidin, penguatkuasa keselamatan termasuk pihak polis telah sedaya upaya memastikan keselamatan di tahap maksimum dengan penempatan sebanyak 2,000 orang di dalam stadium dan 320 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

''Pihak tuan rumah telah memastikan kawalan keselamatan berada di tahap sepatutnya namun apabila terjadi kehadiran penonton yang luar biasa, inilah yang terjadi.

''Cuma saya berasa lega sedikit kerana tiada sebarang pergaduhan berlaku di luar stadium membabitkan antara kedua-dua penyokong.

''Kejadian ini boleh anggap pertama kali berlaku dan saya harap semua pihak perlu mengambil iktibar supaya tidak terjadi lagi walaupun bagi saya ada baiknya bagi perkembangan bola sepak tempatan kerana para penyokong kita kembali ghairah untuk hadir ke stadium," katanya.

Mengenai aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, Hamidin berkata, harga tiket adalah sebanyak RM15, namun mereka belum membuat keputusan mengenai pembahagian tiket antara kedua-dua pasukan.

''Buat masa ini kami belum memutuskan berapa banyak tiket yang akan dijual dan akan mendapat maklum balas daripada kedua-dua persatuan bola sepak negeri terlebih dahulu.

''Kita bersedia menjual peruntukkan tiket maksimum sebanyak 90,000 jika ada permintaan tetapi buat masa ini belum ada kata putus mengenai berapa peruntukan yang akan diberikan," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen