Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kim Swee sudah serik

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

Aksi Wan Zack Haikal (kiri) ketika mewakili FC Ryukyu dalam saingan divisyen tiga Jepun di Okinawa pada April lalu.

KUALA LUMPUR - Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee mengakui serik untuk mempromosikan pemain muda kebangsaan kepada kelab luar jika benar laporan bahawa bekas anak didiknya, Wan Zack Haikal akan meninggalkan kelab Jepun, FC Ryukyu musim depan.

Kim Swee yang dihubungi semalam mengesahkan bahawa kelab divisyen 3 Jepun, FC Ryukyu ada menerima tawaran dari sebuah pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang berminat untuk mendapatkan khidmat Wan Zack.

"Ya... Memang ada pasukan dalam liga kita yang sanggup menebus kontrak untuk mendapatkan Wan Zack. Ini disahkan oleh FC Ryukyu sendiri.

"Jika Wan Zack pulang demi menerima tawaran tersebut, sudah tentu saya amat kecewa kerana saya yang memperkenalkan beliau kepada kelab luar, tetapi tiba-tiba sahaja dia mahu pulang awal.

"Jika ini berlaku (Wan Zack kembali ke Malaysia) saya tidak mahu lagi mempromosikan pemain kita kepada kelab-kelab luar.

"Saya serik kerana sebelum ini Muhammad Nazmi Faiz juga pulang awal dari kelab Portugal," katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar kelmarin menyiarkan laporan bahawa pemain sayap lincah, Wan Zack dikatakan mahu meninggalkan FC Ryukyu musim depan.

Wan Zack menyertai FC Ryukyu sejak Mac lalu dengan kontrak dua tahun dan setakat ini dia hanya diturunkan dalam satu perlawanan sahaja.

Mengiringi Wan Zack ke FC Ryukyu adalah Nazirul Naim Che Hashim dengan kontrak setahun.

Sebelum ini, bintang muda bola sepak negara, Muhammad Nazmi membuat keputusan mengejut dengan meninggalkan kelab divisyen satu Portugal, SC Beira Mar walaupun menandatangani kontrak tiga tahun dan menyertai PKNS.

Menurut Kim Swee, walaupun mendapat tawaran dari pasukan tempatan, dia dimaklumkan bahawa FC Ryukyu enggan melepaskan Wan Zack, yang kini dibelenggu kecederaan buku lali.

"Saya tiada hak campur tangan dalam kes Wan Zack kerana dia kini milik FC Ryukyu," katanya.

Raja dapat bayangan skuad impian

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

K. Rajagobal

KUALA LUMPUR - Pengulas sukan, Azlan Johar percaya jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal sudah menemui ramuan yang tepat dalam membentuk kesebelasan utama Harimau Malaya selepas membelasah Sydney Olympic 4-0 dalam aksi persahabatan kedua di Sydney, kelmarin.

Katanya, skuad negara pastinya bakal lebih menyerlah dalam perlawanan ketiga menetang Marconi Stallions, hari ini selepas pemain menimba pengalaman dan menemui keserasian dalam dua perlawanan jelajah Australia, termasuk ketika dikalahkan Canberra FC 3-2, minggu lalu.

"Ini telah dibuktikan oleh pemain dengan mencatat kemenangan besar 4-0 semalam. Dalam perlawanan pertama, mungkin mereka baharu berkumpul dan mungkin memerlukan sedikit masa untuk mendapat keserasian, apatah lagi terdapat beberapa muka baharu yang dipanggil jurulatih.

"Walaupun dua lawan itu cuma berstatus kelab, saya rasa taraf permainan mana-mana pasukan di Australia masih lebih baik daripada liga kita," katanya yang juga bekas pemain Selangor dan kebangsaan pada era 80-an hingga 90-an, kepada Utusan Malaysia, semalam.

Harimau Malaya 'dijinakkan' kelab Liga Perdana ACT Australia, Canberra FC 3-2 dengan kedua-dua gol pelawat dijaringkan penyerang handalan negara, Mohd. Safee Mohd. Sali sebelum Mohd. Amri Yahyah menyumbangkan hatrik selain satu gol Safiq Rahim ke atas kelab Liga Perdana New South Wales, Sydney Olympic.

Azlan turut menyifatkan pemergian anak buah Rajagobal ke Australia sebagai pilihan yang tepat biarpun media dan peminat tanah air menganggapnya membazir terutama dengan cuaca sejuk di sana yang berbeza dengan persediaan ke Kelayakan Piala Asia 2015 bagi menentang lawan Asia Barat yang bercuaca panas seperti Bahrain, Qatar dan Yemen.

"Bagi saya, walaupun persiapan pasukan kita diadakan di negara bercuaca panas mungkin contohnya di Arab Saudi pun, tiada gunanya jika pemain gagal memanfaatkan apa sahaja kesempatan yang diberikan. Saya rasa cuaca sejuk atau panas pun soal kecil sahaja dan tidak perlu terlalu difikirkan oleh pemain," katanya.

Selepas jelajah Australia, skuad negara bakal meneruskan persediaan kelayakan dengan melayani kunjungan kelab Liga Perdana England, Chelsea dan gergasi La Liga Sepanyol, Barcelona dalam dua perlawanan persahabatan pada 21 Julai dan 10 Ogos di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Seterusnya, Uzbekistan dan India bakal menjadi lawan pemanas badan Harimau Malaya pada 6 dan 10 September sebelum menyambung pusingan kedua liga kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan berdepan pendahulu Kumpulan D, Bahrain mulai 15 Oktober.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan