Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Mahu bersemuka Tengku Abdullah

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD dan MASZUREEN HADZMAN
sukan@utusan.com.my

PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (gambar) tidak mahu menjadikan surat khabar sebagai medium perantara antara dirinya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak mahu berkomunikasi dengan mereka melalui akhbar. Perbincangan tersebut perlu dilakukan secara bersemuka antara dua pihak kerana kita mahu bercakap soal masa depan bola sepak negara."

Bagaimanapun, Khairy memberitahu, beliau lebih berminat untuk bertemu dengan pihak yang boleh membuat keputusan iaitu pucuk kepimpinan tertinggi FAM.

Beliau berkata demikian setelah diminta mengulas mengenai kesediaan Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin untuk bertindak selaku orang tengah antara Kementerian Belia dan Sukan serta badan induk bola sepak negara itu bagi membincangkan pembangunan bola sepak Malaysia.

Namun, Khairy menegaskan, bukan beliau enggan untuk bertemu dengan Hamidin kerana Naib Presiden FAM itu juga merupakan sahabatnya.

"Tetapi adalah lebih mudah jika saya berbincang terus dengan kepimpinan tertinggi. Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pun boleh.

"Kalau dapat bertemu dengan Tengku Abdullah barulah kita dapat bincang dengan pihak kepimpinan yang boleh buat keputusan, kita hendak bincang soal bola sepak," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Tajaan Sukan Malaysia ke-16 2013 di sini, semalam.

Sebelum ini, Khairy cukup lantang menyuarakan pandangannya mengenai perjalanan bola sepak negara yang tidak pernah dapat lari daripada pelbagai kemelut.

Justeru, beliau sebagai menteri telah menyuarakan kesediaannya untuk bertemu kepemimpinan tertinggi FAM bagi mencari resolusi terbaik dalam membantu membangunkan bola sepak negara.

Pemain hoki kembali bersemangat

Posted: 19 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Paul Revington (kanan) kembali membimbing skuad hoki Malaysia yang menjalani latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR - Kejutan hujung minggu lalu harus dilenyapkan oleh setiap pemain hoki senior kebangsaan, sebaliknya tumpu kepada latihan dan bersiap sedia menjelang Liga Hoki Dunia yang akan bermula Sabtu depan.

Kegembiraan Paul Revington yang kembali melatih skuad hoki negara, perlu menjadi pembakar semangat buat pemain agar mereka mampu kembali fokus dan bersiap-sedia 100 peratus untuk mempamerkan permainan terbaik di hadapan penyokong sendiri.

Menurut Revington, dia amat gembira dengan semangat dan cara pemain mengawal situasi yang berlaku sejak kebelakangan ini, walaupun ia adalah satu bentuk kejutan yang tidak disangka-sangka.

Sabtu lalu, arena hoki Malaysia dikejutkan dengan berita tentang pengendali skuad hoki kebangsaan itu, Revington meletak jawatan atas alasan yang diberikan ialah jurulatih skuad remaja, Muhamad Dharmaraj Abdullah dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan sering campur tangan dalam skuad kebangsaan.

"Mereka berjaya mengawal situasi yang berlaku hujung minggu lalu dengan baik sekali, sebenarnya perkara ini sentiasa akan berlaku dalam kehidupan kita seharian namun adakalanya ia baik untuk persatuan dan orang disekelilingnya," katanya selepas sesi latihan di Stadium Hoki Nasional semalam.

Jelasnya, dia sendiri gembira kerana dapat kembali melatih anak buahnya, walaupun mereka agak terkejut dengan tindakannya meletak jawatan minggu lalu.

"Pemain tahu bahawa mereka mempunyai tugas yang perlu diteruskan walaupun secara semula jadinya mereka tentu terkejut tentang isu ini. Sekarang semuanya dilihat kembali pulih seperti sediakala.

"Semua yang berada dalam kitaran hoki Malaysia, mula melenyapkan segala masalah dan saling bekerjasama. Saya pula kembali kepada tugas di mana saya pegang sebelum ini. Saya amat menyukai kumpulan pemain yang saya ada dan saya mempercayai mereka," katanya.

Revington berkata, ketiadaannya sebelum ini tidak mempunyai masalah buat pemain meneruskan latihan, kerana dia mempunyai penolong yang boleh diharapkan .

"Saya mahu memberi kredit kepada staf saya yang berkaliber, walaupun terlepas beberapa sesi latihan saya akan mendapat maklumat daripada penolong saya, Arul Selvaraj dan lain-lain. Terutama tentang dua lagi pemain yang bakal mengisi kekosongan dalam skuad ini di Liga Hoki Dunia," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen