Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kelantan pertahan kejuaraan

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my

Barisan pemain dan pegawai pengurusan pasukan Kelantan menjulang Piala FA selepas menewaskan Johor Darul Takzim 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. - Mingguan/ Noor Asrekuzairey Salim.

KUALA LUMPUR - Kelantan membuktikan masih merupakan gergasi bola sepak negara selepas berjaya mempertahankan Piala FA yang dimenangi tahun lalu dengan menumbangkan Johor Darul Takzim 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jaringan tunggal Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-16 kekal sehingga ke akhir perlawanan tanpa dapat dicabar Johor DT.

Kejuaraan itu adalah yang kedua berturut-turut buat Kelantan dalam saingan Piala FA yang mula diperkenalkan sejak tahun 1990.

Sementara impian Johor DT untuk mengulangi pencapaian Johor pada tahun 1998 tidak kesampaian di samping gagal muncul kelab pertama memenangi trofi berkenaan.

Di hadapan 90,000 penonton dengan kehadiran penyokong yang seimbang antara kedua-dua pasukan, kegagahan The Red Warriors jelas terlalu sukar dicabar oleh Harimau Selatan dengan penguasaan mutlak dipamerkan bahagian tengah diketuai Mohd. Badhri Mohd. Radzi.

Serangan-serangan pantas yang diterapkan jurulatih, Bojan Hodak membuatkan Johor DT bagaikan hilang punca untuk bangkit.

Badhri dan Nor Farhan jelas menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Johor DT yang kehilangan Mohd. Aidil Zafuan, malah Kamarul Afiq Kamaruddin serta Ahmad Tharmini Saiban tidak senang duduk berdepan kesukaran mengawal pergerakan licik Dickson Nwakaeme.

Segalanya serba tidak menjadi buat Johor DT sejak awal permainan lagi, malah percaturan Fandi Ahmad mempertaruhkan Safiq Rahim di bahagian tengah sia-sia apabila ketua pasukan kebangsaan itu langsung tidak menghadirkan sebarang impak dan dikeluarkan sebaik sahaja bersambung babak kedua.

Tiada kelibat pemain import Argentina, Leonel Nunez dipertaruhkan pada permulaan perlawanan, sebaliknya Fandi Ahmad memilih Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha menerajui barisan hadapan.

Penguasaan penuh The Red Warriors pada 45 minit pertama dengan sekurang-kurangnya tujuh peluang diperoleh melalui gerakan oleh Ahmad Fakri Saarani, namun disia-siakan.

Gol yang dicari-cari oleh Kelantan akhirnya menjelma menerusi hantaran bijak Badhri yang menghidu ruang kosong kedudukan Mohd. Nor Farhan Muhammad sebelum rembatan leretnya gagal diselamatkan oleh Muhd. Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-16.

Johor DT bagaikan seolah-olah tidak beraksi pada separuh masa pertama ketika Fandi sudah terpaksa mengeluarkan Safee pada minit ke-18 dan Andrezinho, 19 minit kemudian kerana mendapat kecederaan.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang banyak berehat akhirnya terpaksa bertungkus lumus pada 30 minit terakhir permainan melalui hantaran-hantaran silang yang dicipta oleh K. Thanaraj serta Nurul Azwan Roya ketika momentum The Red Warriors sedikit menurun.

Dua sepakan percuma yang diperolehi oleh Nunez pada minit ke-78 dan 82 juga gagal memberi impak apabila gagal menepati sasaran.

Pakistan ikat Malaysia

Posted: 29 Jun 2013 11:08 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Penyerang Malaysia, Muhd. Marhan Jalil (tengah) diasak pemain Pakistan, Fareed Ahmed (kanan) pada aksi sulung separuh akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Malaysia dua kali mensia-siakan kelebihan mendahului tiga gol sebelum diikat 4-4 oleh gergasi hoki Asia, Pakistan dalam aksi Kumpulan B separuh akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya di sini, semalam.

Pasukan negara mendahului 3-0 sebelum Pakistan bangkit dengan gol pertama, sembilan minit sebelum aksi babak pertama berhenti rehat.

Jurulatih skuad kebangsaan, Paul Revington berkata, anak-anak buahnya telah menunjukkan peningkatan terutama aspek serangan balas.

Pukulan sudut penalti kami juga sudah semakin baik begitu juga di bahagian pertahanan.

Harapan saya pada perlawanan esok (hari ini) menentang Afrika Selatan kami mampu kekal fokus selain mempunyai 24 jam untuk persediaan," kata Revington kepada pemberita pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Pada aksi sulung Kumpulan B semalam, Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia lebih kerap melakukan serangan ke kubu Pakistan terutama pada awal separuh masa pertama.

Malah, pasukan kebangsaan tidak menunggu lama untuk membuka jaringa menerusi Muhammad Razie Abd. Rahim seawal minit ketiga hasil pukulan sudut penalti. Razie turut meledak gol kedua, empat minit selepas itu.

Malaysia terus cemerlang dengan menambah gol ketiga hasil pukulan sudut penalti Muhammad Marhan Jalil minit ke-18.

Pakistan merapatkan kedudukan 3-1, sembilan minit sebelum tamat separuh masa hasil pukulan sudut penalti Abdul Haseem Khan.

Bermula babak kedua, anak-anak buah Revington melakukan serangan pantas untuk menjarakkan kedudukan 4-1 hasil jaringan padang Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil pada minit ke-38.

Pakistan yang tertekan menggandakan asakan dan berjaya menjadikan kedudukan 4-2 hasil pukulan sudut penalti minit ke-42 menerusi Muhammad Tousiq.

Dua lagi jaringan Pakistan diperoleh menerusi pukulan penalti minit ke-56 yang dimanfaatkan dengan baik oleh Shakeel Abbasi dan jaringan sudut penalti penyerang Muhammad Imran minit ke-61.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen