Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Shahidan 'belasah' FAM

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - ''Saya akan lepaskan dan kena melepaskannya.''

Demikian ujar Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar) berhubung kesediaannya untuk melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) bagi membolehkan jawatan itu dipegang Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Namun, alang-alang digantung 30 bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas kesalahan mengkritik badan induk itu, Shahidan tidak sesekali gentar untuk terus 'menghamburkan' rasa marahnya terhadap FAM.

''Saya kena lepaskan (jawatan Presiden PFA) tetapi saya cuma marah kepada FAM. Mereka 'buang' saya, gantung saya tetapi tiada seorang pun pihak dalam FAM bertanya khabar PFA.

''Tahukah mereka, PFA tiada siapa pegang jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Ia satu badan yang tiada orang nak tolong bayar gaji. Saya sendiri terpaksa keluar duit poket nak bayar gaji (PFA),'' tegasnya.

Ujar Shahidan, FAM selaku badan yang kaya seharusnya membantu PFA yang kini dilanda masalah kewangan.

''Saya nak minta FAM tolonglah PFA. Kalau dahulu tak boleh kena tegur, sekarang saya nak tegur. Perlis (PFA) kena teruk dan miskin tidak bergaji, bantulah.

''Kepada Menteri Besar Perlis (Azlan), mahu atau tidak, beliau kena pegang jawatan Presiden PFA,'' katanya.

Selain digantung 30 bulan, Shahidan turut didenda RM39,000 menyebabkan bekas Menteri Besar Perlis yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Atas dasar itu, Ahli Majlis PFA dikatakan sudah sebulat suara bersetuju untuk melantik Azlan sebagai presiden yang baharu dalam Mesyuarat Agung PFA yang bakal diadakan 16 Jun ini.

Dalam pada itu, Shahidan turut menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Kabbadi Malaysia dan Persatuan Petanque Malaysia.

Bagaimanapun beliau meminta 'jasa baik' Kementerian Belia dan Sukan supaya dikekalkan untuk menerajui Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

''Kalau boleh, saya nak kekal dalam renang (ASUM) sebab sukan ini boleh dimajukan ke peringkat lebih tinggi,'' katanya.

Fatehah rangkul emas pertama

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Fatehah Mustapa melakukan hayunan hebat dalam laluan menjuarai acara 500 meter ujian masa pada Grand Prix Kedua Asia Tenggara di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam. - MINGGUAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

KUALA LUMPUR - Fatehah Mustapa mula mengorak langkah untuk menguasai kejohanan Grand Prix Kedua Asia Tenggara 2013 selepas memenangi pingat emas dalam acara 500 meter ujian masa wanita di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Pelumba kebangsan itu, yang mewakili Sime Darby Foundation tidak berdepan masalah untuk mengungguli perlumbaan dengan kepantasan 36.313 saat. Dia mengatasi rakan sepasukan, Ummi hamimah Mohamad dengan perbezaan dua saat (38.093s), manakala gangsa milik pelapis kebangsaan, Farina Shawati Mohd. Adnan (40.327s).

Bagaimanapun tumpuan di Velodrom terarah kepada Muhammad Firdaus Mohd. Zonis, pelumba remaja yang memasang misi besar untuk menggondol empat pingat emas.

Terkenal dengan nama timbangan Toi, pelumba berusia 17 tahun itu memberi amaran awal dalam saingan pembukaan semalam selepas meraih emas pertama dalam acara satu kilometer ujian masa bagi kategori remaja.

Ia seakan dendam yang perlu dilunaskan oleh pelumba kelahiran Kuala Selangor itu selepas pada perlumbaan edisi pertama hujung minggu lalu dia hilang satu emas apabila tewas kepada rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut.

Menurut Firdaus, pada GP Kedua Asia Tenggara ini dia tidak mahu kehilangan pingat emas lagi walaupun dengan rakan sepasukan kerana misinya adalah memburu empat emas sebagai persiapan terbaik menjelang Kejohanan Trek Remaja Dunia 2013 Glasgow Ogos depan.

Saya beraksi baik hari ini (semalam) apabila berjaya mencatat masa satu minit 7.513, malah catatan ini lebih pantas berbanding di GP Pertama minggu lepas," katanya selepas menewaskan pelumba Akademi Serantau MSN, Akmal Hakim Zakaria (1:13.149s) di tempat kedua dan Muhammad Danial Aiman, Selangor (1:13.672s) ketiga.

Masa yang dilakukan itu adalah catatan peribadi terbaiknya bagi perlumbaan di velodrom terbuka. Minggu lalu, Firdaus turut meraih emas dalam acara yang sama dengan masa 1:08.621s

Melihat daripada catatan tersebut Firdaus telah membuktikan kemampuannya dengan menunjukkan peningkatan hanya dalam tempoh seminggu dan dia masih mempunyai banyak masa untuk mencatat masa lebih pantas menjelang kejohanan di Glasgow.

Selepas ini saya hanya akan berlatih di trek ini sehinggalah ke Kejohanan Trek Remaja Dunia. Saya yakin mampu mencatat masa yang lebih pantas dalam acara ini," katanya.

Namanya mula meniti di bibir peminat sukan berbasikal tanah air selepas menggondol tiga emas dan satu perak di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2013 New Delhi Mac lalu.

Dia terus membuktikan kejaguhan apabila meraih tiga emas di GP Pertama hujung minggu lalu dalam acara satu kilometer ujian masa, keirin dan pecut berpasukan.

Kini tiga emas lagi menjadi buruan Firdaus di GP Kedua ini, iaitu dalam acara pecut, keirin dan pecut berpasukan. Jika impiannya tercapai, kelibat Firdaus di Glasgow Ogos ini harus diberi perhatian.

Sementara itu dalam acara satu kilometer ujian masa lelaki elit pula menyaksikan Muhamad Edrus Md. Yunos meraih perak dengan catatan 1:08.015s, ketinggalan tiga saat kepada pemenang pingat emas dari Ulsan Cycling Team, Gyeong Su Son (1:05.383s). Gangsa dimenangi pelumba Pishgaman Kavir, Iran, Hamid Khormizi Beik dengan masa 1:08.181s.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen