Utusan Online - Sukan |
Turun kesebelasan terbaik, cukuplah bereksperimen Posted: 20 Jul 2013 02:41 AM PDT KUANTAN 20 Julai - Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu ketua jurulatih Harimau Malaya Datuk K. Rajagobal menurunkan kesebelasan terbaik ketika skuad itu menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC esok. Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, pertemuan malam esok adalah antara pentas terakhir untuk Rajagobal mencari keserasian dalam kalangan pemain sebelum skuad kebangsaan menentang Bahrain dalam perlawanan ketiga Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015, 15 Oktober ini. "Saya harap Rajagobal akan barisi pemain yang dianggap sebelas utama, cukuplah bereksperimen sebab kita mahu mereka bermain dengan serasi kerana pertandingan penting akan berlangsung tidak lama lagi. "Jadikan perlawanan ini (menentang Chelsea) persiapan rapi dan seolah-olah yang terakhir," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan zakat perniagaan oleh tujuh badan korporat di sini semalam. Selain Chelsea, Harimau Malaya juga akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga kelab dari Jepun bermula 23 Julai hingga 1 Ogos dan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos. Ditanya mengenai desakan ramai peminat bola sepak tanah air agar khidmat Rajagobal ditamatkan, Tengku Abdullah berkata perkara itu akan dilihat kemudian. "Biar dia habiskan perjuangan dia dulu kerana dia tahu apa harapannya dan saya harap dia dapat tunaikan apa saja harapannya itu dan kemudian baru kita bincang pasal perkara lain. "Sekarang ini kita tidak mahu jejaskan konsentrasi dia kerana kelayakan Piala Asia adalah indeks prestasi utama dia," katanya. - BERNAMA |
Bekas pengurus Atletico Madrid bakal urus Johor DT? Posted: 20 Jul 2013 12:55 AM PDT CESAR FERRANDO JIMENEZ JOHOR BAHRU - Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sudah melaungkan amaran awal untuk mempersiap dan memperkukuhkan skuad Harimau Selatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan. Bagi menjayakan usaha tersebut, PBNJ membuat keputusan mendapatkan khidmat pengurus pasukan yang baharu dari Sepanyol. Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pengurus baharu untuk Johor Darul Takzim (JDT) itu merupakan seorang yang berpengalaman dan pernah menerajui pasukan seperti Valencia dan Atletico Madrid. "Saya sebagai Presiden PBNJ ingin mengumumkan kepada para penyokong Johor bahawa langkah-langkah positif sudah diambil oleh PBNJ untuk memperkukuhkan lagi pasukan kita bagi saingan untuk musim depan. "Saudara Fandi Ahmad juga akan terus bersama pasukan JDT sebagai penolong jurulatih," katanya dalam satu kenyataan yang dibuat menerusi laman sosial Facebook Johor Fan Club di sini. Difahamkan, individu yang dikaitkan untuk menerajui pasukan JDT musim depan ialah Cesar Ferrando Jimenez selain PBNJ sedang berunding dengan Juan Manuel Lillo Diez yang merupakan pereka formasi 4-2-3-1 dan mentor kepada Pep Guardiola. Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor berkata, selari dengan prinsip PBNJ yang akan cuba membawa nama besar dalam industri bola sepak untuk bersama pasukan, pihaknya semakin hampir mencapai persetujuan menandatangani Pablo Aimar. Tambahnya, pihak pengurusan turut mendapat persetujuan daripada lima pemain baharu untuk menyarung jersi JDT bagi musim akan datang selain dalam proses rundingan dengan beberapa pemain lagi bagi tujuan yang sama. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan