Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Azizulhasni longlai

Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Azizulhasni Awang (tengah) dikepung pelumba Australia dalam saingan akhir acara keirin kejohanan basikal trek GP Kedua Asia Tenggara di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

KUALA LUMPUR - Azizulhasni Awang tidak mampu menandingi kehebatan pelumba Australia, Scott Sunderland dan Peter Lewis apabila terpaksa akur di tempat ketiga dalam acara akhir keirin kejohanan basikal trek Grand Prix Kedua Asia Tenggara 2013 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Pelumba kelahiran Dungun itu yang mewakili SDF Track Team, mengakui kegagalan memenangi acara tersebut disebabkan tekanan kerana baharu sahaja menduduki peperiksaan universiti sebelum tiba di Kuala Lumpur.

Saya belum mendapatkan rentak kayuhan yang sebenar kerana saya baru sahaja selesai menduduki peperiksaan universiti, iaitu minggu lalu," katanya selepas perlumbaan semalam.

Pelajar Universiti Deakin, Australia itu, mengakui dia juga tidak cukup tidur kerana baru tiba di tanah air sehingga menjejaskan rentak kayuhannya semalam.

Menurutnya, selepas ini fokusnya terarah kepada Kejohanan Trek Kebangsaan 2013 yang bermula esok dan GP Jerman minggu depan.

Saya mahu meraih mata sebanyak mungkin pada GP Jerman untuk melayakkan diri ke Siri Piala Dunia Klasik 2013/14. Bukan saya tidak memberikan kayuhan sepenuh tenaga pada saingan akhir tadi (semalam) tetapi keadaan fizikal saya masih belum bersedia seratus peratus.

Ini berbeza dengan pelumba Australia. Mereka berada dalam keadaan baik kerana telah berlumba di beberapa kejohanan termasuk di Jepun.

Begitupun saya puas hati dengan prestasi saya. Saya dan Josiah Ng sebenarnya sedang menuju untuk berada pada prestasi terbaik seperti pelumba Australia," katanya

Scott Sunderland, yang mewakili Jayco Team meraih emas dalam acara keirin, manakala rakan senegaranya, Peter Lewis yang mewakili skuad kebangsaan memenangi pingat perak. Josiah yang mewakili pasukan kebangsaan menduduki tempat kelima.

Ditanya mengenai Kejohanan Trek Kebangsaan, Azizulhasni mengharapkan dia dapat memasuki semua acara yang dipertandingkan dan dalam masa yang sama mahu memberi contoh terbaik kepada pelumba negara.

Saya akan mewakili Terengganu. Sasaran saya untuk memperbaiki catatan masa semasa terutama dalam acara pecut kerana pada awal musim saya mencatat masa 10.3 saat, jadi mahu lebih pantas lagi.

Saya mahu melihat kekuatan saya. Ini kali pertama kejohanan seperti ini diadakan, jadi ia bagus untuk pelumba senior dan remaja," kata Azizulhasni.

'Cukup sebuah sahaja velodrom kelas satu'

Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Naim Mohamad

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk membatalkan pembinaan velodrom tertutup kelas satu di Nilai yang bernilai RM80 juta, sebaliknya memberi fokus hanya kepada satu velodrom iaitu di Cheras sahaja.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, keputusan tersebut dicapai dalam pertemuan KBS dan DBKL semalam.

Menurutnya, antara sebab utama projek pembinaan velodrom di Nilai yang bernilai RM80 juta dibatalkan ialah kerana tidak mahu ia menjadi 'projek gajah putih'.

Sebelum ini DBKL menawarkan cadangan untuk membina sebuah velodrom tertutup kelas satu di Cheras bagi menggantikan Velodrom Kuala Lumpur, yang bakal dirobohkan untuk menjadi pusat komersial.

Tawaran DBKL itu menyebabkan PKBM mencadangkan supaya projek velodrom di Nilai ditimbang semula untuk mengelak ia menjadi projek gajah putih.

"Saya dimaklumkan bahawa KBS dan DBKL menerima cadangan PKBM supaya hanya sebuah velodrom tertutup kelas satu dibina, iaitu di Cheras.

"PKBM bimbang jika kita mempunyai dua velodrom kelas satu, ia mungkin akan merugikan," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam Bajet 2013 yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu, beliau mengumumkan pembinaan velodrom kelas satu dibina di Nilai dengan peruntukan RM80 juta.

Bagaimanapun, pada 19 Mei lalu, DBKL mengumumkan mereka sudah memulakan proses penawaran tender velodrom tertutup kelas satu bagi menggantikan Velodrom Kuala Lumpur, Cheras yang akan dirobohkan

DBKL, yang menjual hartanah milik mereka itu bercadang membina velodrom kelas satu berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras. Nilai tanah di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dianggarkan RM120 hingga 140 juta.

Tambah Naim, sebelum ini PKBM mencadangkan supaya peruntukan pembinaan velodrom di Nilai digunakan bagi pembinaan lima velodrom terbuka yang boleh digunakan sebagai latihan.

"Cadangan itu juga dikhabarkan turut mendapat reaksi positif dalam perbincangan di antara KBS dan DBKL.

"Kami berharap peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk membina velodrom di Nilai, digunakan bagi pembinaan lima velodrom terbuka untuk kegunaan atlet di peringkat negeri yang mengikut zon seperti utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS