Utusan Online - Sukan |
Gol tempat lawan penting - Rajagobal Posted: Gol tempat lawan penting - RajagobalOleh FERZALFIE FAUZI
SEPANG - Tidak ada apa yang bermain di fikiran jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF menentang Vietnam hari ini, kecuali mencari gol di tempat lawan. Rajagobal sedar gol di tempat lawan bakal mencerahkan lagi peluang anak-anak buahnya untuk menempah tiket ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu. Menurutnya, bagi mencapai sasaran memperoleh gol ketika berdepan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, percaturan strategi yang tepat adalah amat penting agar Malaysia tidak terkulai di hadapan ribuan penyokong tuan rumah. "Saya perlu melakukan strategi yang betul, saya akan memilih dengan tepat sama ada mahu mengekalkan corak yang sama ketika perlawanan separuh akhir pertama ataupun bertahan. Semua ini akan dibincang dengan sebaiknya bersama penolong saya, pengurus pasukan dan pemain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) awal pagi, kelmarin. Jelasnya, hasil daripada perbincangan tersebut akan menentukan siapa yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama dan corak permainan apa yang hendak diguna pakai, semuanya adalah untuk menghalang Vietnam daripada bangkit di laman sendiri. "Bagaimanapun, saya sudah berpesan kepada pemain tugas berat menanti mereka menjelang perlawanan di Hanoi Sabtu ini (hari ini), Vietnam sudah pasti akan melakukan serangan bertubi-tubi. Saya berharap pemain dapat memikul tanggungjawab sebaik mungkin. "Saya lihat keyakinan pemain semakin tinggi, bagaimanapun mereka harus sedar kelebihan dua gol bukannya bererti kita sudah berada pada zon selesa, sekurang-kurangnya kita perlu cari lagi dua gol dan pada masa sama bertahan sebaik mungkin," katanya. Pada pertemuan separuh akhir pertama, Rabu lalu Malaysia berjaya mencatat kemenangan 2-0, hasil dua gol daripada pemain penyerang, Safee Sali pada minit ke-65 dan 83. "Saya juga tidak mahu pemain memikirkan tentang peristiwa lalu baik dibelasah Indonesia 1-5, mahupun ketika separuh akhir Piala Tiger 2004, apabila Malaysia mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Bung Karno, Jakarta sebelum tewas 1-4 juga kepada Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil. "Saya mahu mereka fikirkan tentang masa sekarang, perkara yang lalu biarkan berlalu. Ia tidak sama seperti sekarang, baik dari jurulatih mahupun pemain. Saya mahu mereka fokus dan jangan lepaskan peluang terbaik ini," katanya. | ||
Khairul Fahmi mahu lebih fokus Posted: Khairul Fahmi mahu lebih fokusSEPANG - Tidak perlu bimbang terhadap ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Nasional My Dinh, apa yang penting adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan, itu janji yang diberikan oleh penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF di Hanoi, hari ini. Penjaga gol Kelantan itu berkata, perlawanan itu bakal memperlihatkan situasi berbeza di mana pasukan tuan rumah sudah pasti akan melakukan serangan bertubi-tubi, oleh itu dia lebih cenderung untuk memikirkan tentang aksi di padang berbanding di tempat duduk penonton. "Di Kuala Lumpur kita boleh mengusai hampir keseluruhan permainan terutama separuh masa kedua, bagaimanapun situasi ini mungkin tidak lagi sama apabila beraksi di tempat mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), awal pagi kelmarin. Jelasnya, semua pemain termasuk dirinya sendiri perlu mempamerkan permainan yang lebih baik berbanding aksi Rabu lalu, apa sahaja kelemahan harus diperbaiki sebaik mungkin agar mencerahkan peluang ke perlawanan akhir. "Kami perlu berusaha dengan lebih keras lagi, segala kesilapan yang dilakukan sebelum ini perlu ditutup. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan rangkaian pertahanan dan mereka harus mengekalkan aksi konsisten itu di Hanoi. "Saya akui memang tekanan sentiasa ada, terutama ketika di peringkat separuh akhir ini, namun semuanya akan memberi kesukaran kepada kita untuk beraksi dengan baik jika asyik memikirkan tekanan sahaja," kata pemain yang terkenal dengan gelaran 'Apek' ini. Katanya, menjelang perlawanan separuh akhir nanti segala percaturan terletak kepada jurulatih tetapi sebagai pemain semuanya harus bersedia. Harapan yang diberikan oleh rakyat Malaysia memang sangat tinggi dan peluang untuk melakukan sesuatu yang lebih bersejarah perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. "Saya masih ingat lagi pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas sekadar terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama dan membiarkan lawan menguasai permainan, jurulatih memberi nasihat di bilik persalinan agar bangkit semula. Ia terus menaikkan semangat kami. "Pada perlawanan kali ini juga, saya berharap kami mampu melakukan sesuatu dan penyerang akan menjaringkan gol seterusnya mara ke perlawanan akhir," kata penjaga gol pasukan Liga Super Kelantan itu. Khairul Fahmi merupakan pemain muda terbaik dan penjaga gol terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM tahun ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan