Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Tunggu seminggu lagi

Posted: 05 Sep 2011 08:45 AM PDT

BEREGU bebas Gan Teik Chai-Tan Bin Shen terpaksa menunggu seminggu lagi bagi menyelesaikan isu ketidakadilan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang diadu mereka kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perundangan dan Alternatif Penyelesaian Masalah MOM, Datuk Roy Rajasingham berkata dua isu gagal menemui persetujuan bersama daripada kedua-dua pihak dalam semua isu yang dibangkitkan di mahkamah timbangtara sukan yang berlangsung di bangunan badan induk Olimpik negara di Kuala Lumpur.


"Masalah ini belum selesai selepas kedua-dua pihak tidak dapat menyelesaikan dua isu, tapi saya yakin ia akan selesai pada pertemuan kedua selepas banyak perkara dipersetujui hari ini," kata Rajasingham mengenai perbicaraan yang berlangsung hampir empat jam, bermula jam 2 petang semalam.

Dua isu terbabit bagaimanapun tidak didedahkan, namun spekulasi kuat mengatakan BAM tidak bersetuju untuk membuat permohonan maaf dan mengaku kesilapan mereka secara umum selain enggan menawarkan tempat buat gandingan itu dalam skuad Piala Thomas, kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Olimpik setaraf Kejohanan Dunia.


Rajasingham tidak terbabit sepenuhnya dalam perbicaraan itu, sebaliknya diuruskan dua peguam, Seumas Tan dan Wong Lu Peen yang dilantik sebagai perantara (mediator) yang berbincang secara langsung dengan pengadu, Teik Chai-Bin Shen dan wakil BAM, Ng Chin Chai (Setiausaha Kehormat) dan Kenny Goh (Pengurus Besar).


Pertemuan kedua akan dilakukan di MOM pada 13 September depan (Selasa), namun tiada jaminan perkara ini akan berakhir jika kedua-dua pihak iaitu pengadu dan yang diadu gagal mencapai kata sepakat.

Malah ketika ditanya mengenai hak pemain berstatus bebas, Rajasingham berkata segala-galanya tertakluk kepada badan induk persatuan sukan terbabit untuk membuat keputusan dan pihaknya sekadar mampu memberi nasihat.


Mengulas mengenai isu terbabit, Rajasingham menganggap setiap orang mahukan publisiti di dada-dada akhbar supaya perkara itu diketahui oleh orang awam berbanding BAM mahukan isu itu diselesaikan secara senyap tanpa diketahui umum, namun beliau mungkin tidak sedar yang isu ini dipandang dingin BAM biarpun Teik Chai-Bin Shen membuat bantahan kepada persatuan itu hingga menyebabkan mereka membuat aduan kepada MOM.

Isu ini bermula selepas Teik Chai-Bin Shen layak ke Kejohanan Dunia di London Ogos lalu. Mereka layak secara merit tetapi tempat mereka dinafikan apabila BAM pada Mei memberikan kuota itu kepada pemain yang bernaung di bawah mereka Zakry Latif-Hoon Thien How yang dianggap mempunyai prestasi semasa lebih baik.

Elak buat silap

Posted: 05 Sep 2011 08:41 AM PDT

MISI hidup mati Selangor untuk menamatkan musim ini dengan sekurang-kurangnya mendakap Piala Malaysia bermula di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Namun lawan yang menanti juara 32 kali Piala Malaysia itu tidak boleh dipandang mudah kerana tuan rumah, T-Team sudah membuktikan kemampuan mereka apabila mencatatkan kemenangan 3-2 (di Stadium Shah Alam) dan 2-1 (di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) dalam aksi Liga Super musim ini.


Pengendali Selangor, K Devan bagaimanapun enggan bersikap negatif apabila menganggap kemenangan skuad bimbingan Yunus Alif itu berpunca daripada kesilapan barisan pemainnya sehingga memberi ruang kepada lawan mencipta kemenangan.

"Mereka tidaklah terlalu hebat (untuk ditewaskan). Ia adalah kesilapan pemain dan tidak harus berulang pada perlawanan pembukaan kami nanti," katanya yang perlu merealisasikan impian Selangor memburu kejuaraan Piala Malaysia ke-33 selepas gagal mempertahankan dua piala (Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah) selain kecundang dalam saingan Piala FA musim ini.


Ketika ditanya mengenai tekanan terbabit, Devan berkata ia adalah lumrah apabila bersama Selangor kerana harapan tinggi peminat disandarkan ke atas pasukan yang mempunyai sejarah kegemilangan tersendiri dalam kancah bola sepak tempatan itu.


"Bukan saja untuk Piala Malaysia, malah bagi setiap perlawanan lain, tekanan tetap ada. Harapan peminat adalah tinggi, namun pemain sudah biasa dengannya," kata pengendali berusia 50 tahun itu yang masih belum mengecapi kejuaraan Piala Malaysia walaupun mempunyai rekod cemerlang meraih beberapa piala lain sebelum ini.

Menurut Devan, semua pemain Selangor cergas untuk diturunkan menentang T-Team kecuali tonggak pertahanan tengah berpengalaman, Khairul Anuar Baharom, namun menegaskan ia tidak memberikan sebarang masalah mempunyai beberapa pemain lain seperti Mohd Bunyamin Omar dan Mohd Asraruddin Putra Omar.


Selangor membuat persiapan rapi dengan mengadakan tujuh perlawanan persahabatan sepanjang bulan lalu sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia dengan mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Negeri Sembilan pada aksi terakhir selain mengejutkan Harimau Malaya 1-0.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen