Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


FAM siasat Wan Jamak

Posted: 30 Sep 2011 11:18 AM PDT

GARA-GARA kritikan pedasnya terhadap pengadil perlawanan, jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan mungkin bakal berdepan hukuman berat apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat luahan rasa beliau selepas tamat perlawanan menentang Perak dalam saingan Piala Malaysia, Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tata Tertib dan Disiplin FAM, Datuk Mohd Taufik Abd Razak berkata, FAM sedia maklum dengan kenyataan Wan Jamak itu dan meneliti sama ada akan membuka kertas pertuduhan ke atas jurulatih itu.


"Perkara ini diuruskan urus setia FAM terlebih dulu untuk menyemak kenyataan Wan Jamak itu sama ada ia kenyataan yang berasas ataupun melanggar kod etika FAM.

"Kami tahu kenyataannya itu disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan serta laporan berita televisyen. Malah ia juga disiarkan secara langsung selepas tamat perlawanan ketika ditemubual Astro Arena tapi perkara ini akan diteliti terlebih dulu," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Wan Jamak, 53, melahirkan rasa tidak puas hati selepas menyaksikan anak buahnya sekadar seri 1-1 menentang Perak dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darulaman sekali gus menyebabkan mereka gagal mara ke suku akhir.


Beliau yang ditemui pemberita berkata: "Kami sepatutnya dapat dua gol bersih tetapi dirompak pengadil yang membatalkan dua itu pada babak pertama. Pengadil membuat keputusan yang tidak masuk akal." Taufik berkata, mengikut peraturan baru Kod Tata Tertib FAM 2011, jika Wan Jamak disabitkan bersalah, beliau bakal berdepan hukuman penggantungan minimum enam bulan sehingga dua tahun serta denda wang tunai sekurang-kurangnya RM6,000.

"Semua ini bergantung kepada sejauh mana seriusnya kenyataan Wan Jamak itu kepada FAM, jika kami menganggap ia kenyataan berasas, makan kes itu akan digugurkan," katanya.


Untuk rekod beberapa kes membabitkan penggantungan jurulatih kerana kelantangan bersuara berlaku sebelum ini membabitkan bekas jurulatih B Sathianathan (Kelantan), Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor (T-Team) dan Reduan Abdullah (Felda United).

Sathianathan dijatuhkan hukuman penggantungan enam bulan dan denda RM2,000 oleh Jawatankuasa Tata Tertib dan Disiplin FAM, Oktober tahun lalu kerana mempertikaikan pemilihan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebagai gelanggang pertemuan Perlis dan Terengganu ketika Stadium Utama Negeri di Kangar tidak dapat digunakan.


Turut menerima nasib sama, Che Ku Marzuki yang menjalani penggantungan enam bulan dan denda RM2,000 bermula 21 Oktober tahun lalu.


Reduan pula didakwa celupar apabila memperkatakan mengenai ujian yo-yo walaupun banyak pihak mengaku kebenaran kenyataan bekas pemain Selangor itu.


Beliau digantung selama setahun dan denda RM4,000 namun selepas rayuan dibuat, Jawatankuasa Rayuan dipengerusikan C Gnanarajah mengurangkan tempoh penggantungan itu kepada tiga bulan tetapi dendanya ditambah RM2,000 kepada RM6,000.

‘Spiderman’ sah beraksi

Posted: 30 Sep 2011 11:15 AM PDT

CAMILO Villegas, antara pemain golf paling popular dan mempunyai perwatakan menarik, sudah mengesahkan penyertaannya di Kejohanan Klasik Asia Pasifik Malaysia CIMB yang berlangsung di The Mines Resort & Golf pada 27 hingga 30 Oktober ini.

Terkenal dengan gelaran 'Spiderman' kerana cara uniknya membaca lapangan, Villegas pernah menjuarai siri kejohanan Piala FedEx dua kali berturut-turut pada 2008, Kejohanan BMW dan Jelajah.


Tahun lalu, pemain Colombia berusia 29 tahun itu cemerlang di Jelajah PGA selepas memenangi Honda Classic. Musim ini, dia empat kali menduduki tempat 10 teratas dan bersaing untuk Piala FedEx sehingga Kejohanan BMW di Cog Hill Golf and Country Club, Illinois.

Villegas akan tiba di Kuala Lumpur dan pasti menjadi tumpuan, satu lumrah walau di mana jua dia bertanding. Kali ini, dia akan memulakan kejohanan bernilai AS$6.1 juta (RM19.4 juta) ini sebagai antara pemain yang perlu diawasi.


Menyertai Villegas di The Mines antara lain adalah Vijay Singh dan Brandt Snedeker.


Penampilan Vijay di Klasik Asia Pasifik, Malaysia sudah pasti dinantikan peminat golf tempatan. Vijay mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia dan dia pernah menjuarai Piala FedEx 2008. Berlatarbelakangkan kejayaan cemerlang musim ini, Vijay yang menetap di Ponte Vedra Beach, Florida, mempunyai rekod kemenangan 50 kejohanan dan sudah pasti menjadi antara pemain berpengalaman di lapangan.

Snedeker, Rookie Terbaik Jelajah PGA 2007, menewaskan Luke Donald dalam saingan playoff sudden death tahun ini untuk takhta The Heritage di Harbour Town Golf Links di Hilton Head, South Carolina April lalu. Di kejohanan itu, Snedeker mencatat 7 bawah par 64 pada pusingan terakhir untuk bangkit daripada ketinggalan enam lubang bagi mengikat Luke Donald untuk saingan playoff yang akhirnya menyaksikan Snedeker muncul juara.


Pada playoff Piala FedEx musim ini, Snedeker meraih dua tempat ketiga - di Kejohanan The Barclays dan The Deutsche Bank.

Seperti dilaporkan sebelum ini, juara Terbuka AS 2007 dan Masters 2009, Angel Cabrera serta juara Terbuka British 2009, Stewart Cink, serta penyandang juara Klasik Asia Pasifik Malaysia, Ben Crane akan turut beraksi.


Kejohanan Klasik Asia Pasifik Malaysia adalah pertandingan Asia Tenggara terbesar dan terkaya disertai 48 pemain - 30 daripada Jelajah PGA. 10 jelajah Asia, dua pemain Malaysia dan bakinya penyertaan menerusi kuota penaja. Juara membawa pulang AS$1.3 juta (RM4.2 juta).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan