Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Iskandar terkilan

Posted: 12 Dec 2011 09:27 AM PST

KEHADIRANNYA dinantikan, pengundurannya mendapat penghinaan. Itulah gambaran tepat dilalui Dr Iskandar Abdullah yang diminta meletak jawatan sebagai Pengurus Besar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) oleh Timbalan Presiden, Datuk Karim Ibrahim.

Apa tidaknya, Karim yang pada mulanya bersungguh-sungguh memujuk Iskandar memegang jawatan itu sejak Ogos lalu namun selepas tiga bulan, Iskandar terpaksa melepaskannya atas permintaan orang nombor dua KOM itu.


Yang menyedihkan ialah Iskandar langsung tidak diberi masa untuk membuat keputusan, sebaliknya dia terus diminta meletak jawatan yang dinyatakan dalam sepucuk surat tulisan tangan berkuat kuasa 31 Disember ini ketika bertemu Karim di sebuah kedai kopi di Butterworth, minggu lalu iaitu sebelum bermulanya mesyuarat ahli majlis KOM di Kangar Perlis, Sabtu lalu.

Alasan Karim pada pertemuan itu, Iskandar tidak mampu memikul tugas sebagai Pengurus Besar KOM dan untuk itu, beliau memintanya untuk mengundurkan diri.


"Saya terus tulis surat ketika itu juga dengan alasan peribadi. Saya akur kerana mungkin memang tidak boleh ikut rentak kerja Timbalan Presiden," katanya pada sidang media semalam.


Namun dia amat terkilan kerana pengundurannya itu berlaku hanya di sebuah kedai kopi dan terpaksa terus menulis surat menerusi tulisan tangan selepas langsung tidak diberi peluang untuk berfikir mengenainya.

"Ya, saya memang ada rasa terkilan, apalagi surat yang ditulis hanya menggunakan tulisan tangan. Saya malu kerana KOM adalah satu organisasi yang hebat," katanya yang menyerahkan surat itu kepada Karim sebelum diserahkan kepada Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.


Iskandar mendedahkan keretakan hubungannya dengan Karim bermula di Sukan Sea Indonesia lalu apabila mereka berdua tidak sependapat dalam membuat beberapa keputusan.

"Sebelum itu, kami sangat akrab. Karim adalah individu yang memujuk saya menggalas tugas sebagai Pengurus Besar. Dua kali dia pujuk, barulah saya terima jawatan ini.


"Tetapi pada Sukan Sea lalu, hubungan kami mula renggang kerana ada percanggahan pendapat antara kami berdua terutama soal penghantaran dan pengurusan atlet," katanya yang enggan mendedahkan lebih lanjut perkara itu.


Iskandar turut tidak bersetuju dengan pendapat Karim sebelum ini yang mahu memutuskan hubungan antara KOM dengan MSN.


"MSN adalah badan kerajaan yang membantu bidang sukan. KOM tidak boleh memutuskan hubungan dengan mereka," katanya.


Ditanya adakah beliau sedia memikul semula tugas itu andai dipanggil semula oleh KOM, jawab Iskandar: "Terpulang kepada Presiden, jika beliau mahukan saya semula, saya sedia pada bila-bila masa."

Full content generated by Get Full RSS.

ATM idam Liga Super

Posted: 12 Dec 2011 09:25 AM PST

DUA pemain import Angkatan Tentera (ATM) yang akan beraksi pada saingan Liga Perdana 2012 berazam memberikan sepenuh tenaga untuk membantu pasukan ke Liga Super musim 2013.

Marlon Alex James, 35 dari St Vincent dan Bruno Sebastian Martelotto, 29 dari Argentina bukan asing dalam bola Liga M.


James pernah bermain untuk Kedah dan membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia pada 2007 dan Martelotto pula mewakili Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), kelab pertama bergelar juara pada 2003.

Kedua-duanya berkata, pengalaman itu akan digunakan untuk membantu ATM muncul juara dan sekali gus layak ke Liga Super.


Mereka berkata demikian pada sidang media di Putrajaya di samping pelancaran laman web pasukan.


Kedua-dua pemain import itu antara 26 pemain yang disenaraikan ATM untuk musim 2012 dan diperkenal Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang mahu menebus kehampaan ATM musim 2010 dan 2011 turut mengumumkan senarai pemain, termasuk lapan bintang Liga Super musim 2011 seperti Aidil Zafuan Radzak dan adik kembarnya, Zaquan Adha Radzak, Hairuddin Omar, Irwan Fadzli Idrus, Farizul Harun (Negeri Sembilan) Azmi Muslim dari Kedah, Rezal Zambery Yahya (Johor FC) dan Danial Fazly Abdullah (Kelantan) yang akan memikul cabaran pasukan.


Selain itu lima muka baru, penjaring terbanyak Liga Perdana 2011, Fitri Omar dari MP Muar, Christee Jayaseelan (PKNS), A Varathan (Sime Darby) serta dua pemain negara pada Sukan Universiti Dunia 2011 di Shenzen, K Reuben (UKM) dan Amiridzwan Taj Tajudin (UiTM) turut tersenarai.

Hanya tiga pemain dari musim 2011, Rosaiful Nizam Omar, Hardy Cherls Parsi dan Yusaini Hafiz Che Saad dikekalkan.


ATM turut mengekalkan lapan pemain dari kalangan anggota tentera antaranya Suhaimi Ishak, Nazri Akui Venice Elphi Danny Kaya, Mohamad Alif Mohd Daud, Muhamad Aizuddin Ismail, Mohamad Hafizuddin Azuhar, Abdul Rashid Mahmud dan Mohamad Rahmad Ahmad.


Ahmad Zahid berkata, beliau tidak sesekali berputus asa menghasilkan sebuah skuad mantap untuk merealisasikan misi layak ke saingan Liga Super.


"Berdasarkan kehadiran pemain dari Liga Super dan dua pemain import berpengalaman, saya yakin ATM mampu menduduki dua tangga teratas Liga Perdana 2012 dan layak ke Liga Super 2013," katanya.


Sementara itu, jurulatih, B Sathianatan yakin dengan barisan dimilikinya untuk memastikan pasukan benar-benar menggegar.


"Kita akan terbang ka Myanmar esok (hari ini) untuk tiga aksi persahabatan dengan kelab di sana dalam usaha membentuk pasukan mantap dan balik ke negara ini pada 22 Disember," katanya.


Selepas itu pasukan akan mengadakan perlawanan dengan pasukan dari Seberang Tambak Johor, pasukan Lions XII.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen