Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Wenger tak putus asa

Posted: 01 Sep 2012 03:05 PM PDT

LIVERPOOL: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berharap penyokong mereka bersabar dengan pemain baru Lukas Podolski dan Olivier Giroud ketika mereka cuba mengisi kekosongan yang ditinggalkan Robin van Persie.

Dua perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan dengan Stoke dan Sunderland memberikan permulaan hambar buat skuad Wenger yang sekali lagi cuba mengatasi kehilangan seorang pemain bintang pada awal kempen Liga Perdana Inggeris.


Jaringan Van Persie memastikan Arsenal menduduki tempat ketiga dan perpindahannya ke Manchester United, dianggap menjejaskan keseimbangan pasukan Wenger.

Wenger mahu kedua-dua penyerang dari Jerman dan Perancis itu menjaringkan gol tapi sedar mereka perlukan masa untuk memenuhi kehendak Liga Perdana Inggeris.


Beliau yang kehilangan Cesc Fabregas dan Samir Nasri musim lalu percaya masih terlalu awal untuk memberi tekanan terhadap penyerang baru, mengambil contoh Thierry Henry dan Robert Pires yang turut mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebelum menjadi legenda kelab itu.


Biarpun Wenger tidak mahu terlalu cepat mengadili pemain barunya, dia mengaku perasaannya bercampur baur terhadap pasukannya.

"Kami sudah biasa menjaringkan gol dan kami tidak boleh katakan kami tidak bimbang jika tidak melakukannya," katanya.


"Sebaliknya, ada ketikanya kami gagal menjaringkan gol meskipun kami sedar berpeluang melakukannya.

"Itulah sebabnya Liverpool adalah ujian yang bagus buat kami kerana ia adalah pasukan yang mempunyai serangan dan pertahanan yang mantap." Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berharap suasana di Arsenal kembali pulih dan menjangkakan Arsenal mampu kembali dalam kelompok empat pasukan terbaik biarpun berdepan pasukan yang berbelanja besar seperti Chelsea dan Tottenham.


"Kedudukan mereka sebagai empat pasukan teratas tidak akan terjejas," kata Rodgers. "Mereka konsisten dalam empat pasukan terbaik sejak 15 tahun lalu tetapi saya fikir persaingan di puncak bagi musim ini lebih sengit." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


Jangan sombong!

Posted: 01 Sep 2012 02:59 PM PDT

SAINGAN Liga Malaysia kembali meriah apabila diwarnai sejumlah pemain import yang berjaya mencetuskan impak kepada pasukan yang diwakili apabila dibenarkan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) tampil semula musim ini selepas pengharaman beberapa tahun.

Tidak dinafikan kehadiran mereka turut mencetuskan minat buat penonton untuk kembali ke stadium selain beberapa kesan positif lain yang dicetuskan awang import dari pelbagai benua termasuk Eropah, Amerika Latin, Afrika dan Asia.


Penganalisis bola sepak, Reduan Abdullah turut melihat awang import mampu melaksanakan agenda yang gagal dilaksanakan pemain tempatan selama ini terutamanya dalam aspek menjaringkan gol sekali gus memberikan kesan besar kepada pasukan.

Pemain seperti Marlon Alex James (ATM), Francis Forkey Doe (Terengganu) dan Jean Emmanuel Effa Owana (Negeri Sembilan) menurut Reduan antara contoh terbaik kejayaan membantu melonjakkan pasukan selain turut menegaskan terdapat tenaga import yang boleh dianggap 'membazir' apabila gagal membantu pasukan.


Namun di sebalik aspek positif terbabit, terdapat gelagat mengecewakan dilakukan segelintir pemain import dari pelbagai benua ini yang mencetuskan rasa kurang senang kerana tidak pandai menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran sama ada di atas padang atau luar padang hingga turut menyebabkan rasa terkilan bekas pemain bola sepak kebangsaan era 70-an itu.


Beberapa insiden turut berlaku di atas padang seperti tindakan penyerang import Kelantan dari Lubnan, Mohammad Ghaddar yang didakwa menghambur kata-kata lucah (kepada ibu) ketika insiden dengan kapten Perak, Shahrulnizam Mustapa dan tindakan Owana yang menarik telinga penjaga gol Felda United, Hamsani Ahmad.

Terbaru kejadian yang didakwa berlaku di luar padang beberapa hari lalu apabila pemain pertahanan Kelantan dari Nigeria, Obinna Nwaneri dilapor bergaduh dengan seorang pelanggan di sebuah pasar raya akibat dikatakan memotong barisan untuk membuat bayaran.


Bagi Reduan, pemain import perlu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran dan tidak terbawa-bawa budaya dan cara hidup di negara asal atau negara yang pernah diwakili mereka.

"Mereka perlu tahu kita mempunyai budaya, adab dan tatasusila sendiri, mereka tidak boleh mengikut budaya tempat lain. Mereka adalah pemain profesional dan sepatutnya memahaminya. Seperti kes terbaru (pergaduhan Obinna), sekiranya benar, ia tidak sepatutnya berlaku," katanya kesal.


Katanya, perkara seperti ini tidak boleh berterusan kerana mereka adalah 'role model' kepada pemain tempatan dan masyarakat.


"Segala tingkah laku di atas dan luar padang menjadi tumpuan. Mereka seharusnya menjadi seseorang yang benar-benar mempunyai sikap dan nilai profesional selaras dengan bayaran gaji lumayan yang diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 02/09/2012


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen