Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Raja Bola dalam kenangan

Posted: 29 Sep 2012 09:20 AM PDT

KEHEBATAN Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat di atas padang sebagai pemain lebih banyak diperkatakan berbanding kariernya sebagai jurulatih.

Pelbagai kejuaraan dikecapi Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung Jumaat lalu sebagai pemain tidak kira di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia.


Gelaran Raja Bola yang diberikan Persatuan Bola Sepak Selangor, kekal hingga ke akhir hayat apatah lagi dengan kehebatannya di padang meletakkan Selangor sebagai pasukan terkuat di Malaysia ketika itu. Beliau turut mencatat rekod dengan 34 gol dalam sembilan perlawanan pada 1960.

Namun selepas bersara sebagai pemain, Allahyarham memulakan karier sebagai jurulatih apabila mendapat lesen pada 1969 dan menjadi jurulatih kebangsaan dari 1971 hingga 1976.


Selain itu Allahyarham turut menyumbang segala pengalamannya dengan membimbing Selangor pada 1970-1972 dan 1983-1984 untuk muncul pemain dan jurulatih yang memenangi Piala Malaysia.


Bagi bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Azlan Johar, Allahyarham mempunyai sentuhan magis sebagai jurulatih bukan saja dalam menggilap kemahiran pemain di atas padang malah dalam aspek kehidupan.

"Allahyarham yang memberi peluang kepada saya bermain dengan Kelab Sultan Selangor pada 1979, ketika itu saya baru berusia 16 tahun. Dalam tempoh tiga tahun saja di bawah bimbingan Allahyarham, saya berjaya menyertai Selangor dan pasukan kebangsaan. "Bagi saya Allahyarham adalah seorang jurulatih yang mempunyai magis bukan hanya mendidik pemain tentang bola sepak tapi juga mengajar untuk menjadi manusia yang baik. Sebut saja nama pemain-pemain hebat dulu seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Shukor Salleh semuanya berguru dengan Allahyarham," katanya yang ditemui pada majlis pengebumian jenazah Abdul Ghani di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 petang Jumaat lalu.


Menurut Azlan, Allahyarham yang dilahirkan di Negeri Sembilan seorang yang suka berseloroh dan mengambil berat rakan-rakan seperjuangan dan bekas pemain yang dilatihnya.

Sehingga kini, beliau masih berpegang kepada kata-kata Allahyarham : "Setiap langkah yang kita atur, kita lakukan untuk diri sendiri, ibu-bapa dan keluarga." Bagaimanapun, Azlan berkata, Allahyarham juga tidak menyembunyikan kekecewaan mengenai perkembangan bola sepak kebangsaan ketika ini. "Allahyarham kecewa dengan bola sepak negara, kita lebih suka bagi alasan daripada memberi pandangan," jelasnya.


Sementara itu turut berkongsi kesedihan dengan pemergian Abdul Ghani buat selama-lamanya adalah Chin Aun yang pernah menimba ilmu dengan Allahyarham ketika menyarung jersi Selangor pada 1970.


"Saya kenal beliau sejak kecil, saya anggap beliau sebagai abang. Bagi saya, pemergiannya satu kehilangan cukup besar kepada bola sepak negara," katanya.


Rakan seangkatan Chin Aun, Santokh yang turut hadir pada majlis pengebumian itu bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh yang cukup disegani itu turut menyatakan kesedihan.


"Beliau adalah jurulatih pertama saya bagi Kejohanan Remaja Asia 1972 di Bangkok. Beliau mengajar pemain-pemain erti kesungguhan, disiplin dan dedikasi untuk mengharumkan nama negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Podolski rela tak disanjung

Posted: 29 Sep 2012 09:15 AM PDT

LUKAS Podolski masuk ke bilik di pusat latihan Arsenal dengan menyarung kemeja T bergambar Mike Tyson.

Bintang Jerman itu amat meminati sukan tinju, masih belum bertemu idola sukannya itu biarpun menganggap seorang lagi ikon sukan sebagai teman rapatnya.


Podolski berasal dari Bergheim, tidak jauh dari Cologne, 25 minit pemanduan dari bandar dipanggil Hurth yang melahirkan pelumba Formula Satu, Michael Schumacher.

Bagaimanapun, sewaktu harapan Schumacher untuk kembali menakluk litar semakin pudar, Podolski pula memecut laju dalam bola sepak Inggeris.


Pemain bernilai 11 juta (RM54.3 juta) itu kini menjadi permata baru Arsenal. Dia menjaringkan tiga gol dan tidak dinafikan, pemain paling berbaloi dibeli musim ini.


Begitupun pemain yang memiliki 103 cap bersama Jerman sentiasa waspada.

"Anda datang ke kelab baru, liga baru dan tidak tahu bagaimana ia bermula, begitu juga dengan corak permainan pasukan," kata Podolski.


"Gaya bola sepak seperti ini yang saya suka. Satu atau dua kali saja menyentuh bola. Hantaran pantas terus ke hadapan.

"Bagaimanapun saya hanya bermain enam perlawanan. Masih terlalu awal untuk menyatakan 'Podolski adalah seorang wira. Dia pemain terbaik dan Arsenal memang hebat'. Saya tidak sukakannya.


"Selepas 20 perlawanan, kami tewas enam perlawanan pasti orang akan berkata 'Arsenal tidak boleh diharap' dan 'Podolski tidak boleh diharap. Kami perlu tunggu.


"Liga Inggeris yang terbaik di dunia dengan pasukan, permainan bola sepak dan penyokong yang hebat serta stadium baru.


"Stadium sentiasa penuh, tidak seperti di Itali kerana perlawanan Liga Juara-Juara hanya mampu menarik 20,000 orang." Podolski turut menyedari kegagalan Arsenal memenangi sebarang trofi sejak 2005 tapi berpendapat corak permainan menarik dan digemari pemain sama penting dengan kejayaan menjulang trofi.


"Kemenangan semata-mata tidak penting. Ramai menang Piala Dunia dan kini mereka tidak memiliki apa-apa. Mereka tidak melakukan apa-apa. Orang tidak lagi bercakap mengenai mereka.


"Kami akan berjuang untuk muncul juara Liga Juara-Juara tapi ketika menandatangani kontrak, saya tidak berkata 'Mereka tidak menang apa-apa selama tujuh tahu. Saya tidak akan ke sana'. Saya sukakan kelab ini dan orangnya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen