Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


QPR pecat Hughes

Posted:

QPR pecat Hughes

QPR pecat Hughes

HUGHES pengurus kedua dipecat dalam saingan Liga Perdana England setakat ini selepas pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo.


LONDON – Selepas Roberto Di Matteo dipecat selaku pengurus Chelsea tiga hari lalu, kini seorang lagi menjadi mangsa apabila Queens Park Rangers (QPR) bertindak serupa dengan memecat Mark Hughes, semalam.

Kelab dari barat London itu dalam laman webnya mengumumkan, pemecatan Hughes itu berkuat kuasa serta-merta.

"Keputusan ini dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah melakukan pertimbangan dengan teliti susulan daripada pertemuan yang diadakan sejak beberapa hari lalu.

"Bagaimanapun diakui, Hughes telah menunjukkan integriti dan profesionalisme yang tinggi sepanjang berada di kelab ini.

"Namun keadaan mendorong Lembaga Pengarah untuk tidak mempunyai pilihan selain terpaksa melakukan perubahan ini," kata kenyataan itu.

Di bawah bimbingan Hughes, QPR gagal mencatat sebarang kemenangan daripada 12 perlawanan awal musim setakat ini untuk menduduki tangga tercorot dalam carta Liga Perdana England.

Faktor itu diakui menjadi punca pemiliknya, Tan Sri Tony Fernandes dari Malaysia bertindak memecatnya bagi memulihkan keyakinan pasukan.

Dua pembantu Hughes, Mark Bowen dan Eddie Niedzwiecki akan mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara pasukan apabila QPR bertandang ke Manchester United hari ini.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur, Harry Redknapp setakat ini disebut-sebut bakal menjadi pilihan utama QPR menggantikan Hughes. – Reuters

United, QPR ada misi tersendiri

Posted:

United, QPR ada misi tersendiri

United, QPR ada misi tersendiri


SKUAD United tidak rela keciciran mata ketika berdepan QPR di Old Trafford malam ini.


MANCHESTER - Ibarat langit dengan bumi.

Perumpamaan itu mungkin tepat untuk menggambarkan pertemuan antara Manchester United dan Queens Park Rangers (QPR) pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford malam ini.

Selepas 12 perlawanan, United berada di tangga kedua liga apabila mengumpul 27 mata manakala QPR menghuni tangga tercorot selepas sekadar merekodkan empat mata.

Aksi di Old Trafford itu nanti juga bakal menyaksikan kehadiran semula bekas kapten United, Mark Hughes yang kini mengendali QPR.

Hughes menyedari anak-anak buahnya bakal berdepan tugas getir kerana mereka masih gagal meraih sebarang kemenangan dalam kempen liga domestik.

Pada masa yang sama, QPR pasti lebih tertekan kerana United sudah pasti mahu bangkit ekoran dua kekalahan yang dialami skuad The Red Devils itu sebelum ini.

Terdahulu, juara 19 kali Liga Perdana England itu dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Norwich City sebelum skuad muda United tewas 0-1 kepada Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu.

Bagi kapten United, Nemanja Vidic, dia yakin 'kesilapan' yang dilakukan The Red Devils itu membuatkan mereka semakin bersemangat untuk mempamerkan rentak lebih baik dan kemas di bawah bimbingan pengurus, Alex Ferguson.

"Beliau (Ferguson) adalah satu contoh yang baik kepada setiap pengurus dan satu kebanggaan apabila dapat berkerjasama dengannya.

"Setiap hari kamu akan belajar sesuatu dan saya telah banyak menimba ilmu daripada beliau, bukan sahaja sebagai pemain bola sepak tetapi dalam kehidupan seharian.

"Ferguson sering memberikan pemain-pemain keyakinan dan kepercayaan dalam diri masing-masing. Saya fikir, itulah kekuatan Ferguson.

"Saya sangat gembira kerana dapat bersama beliau selama tujuh tahun di Old Trafford. Beliau sentiasa merupakan seorang juara," ujar Vidic. - AFP

Semua pasukan serius buru gelaran

Posted:

Semua pasukan serius buru gelaran

Semua pasukan serius buru gelaran

DURIC (kiri) antara pemain asing yang memperkuatkan skuad kebangsaan Singapura.


KEHADIRAN pemain asing dalam beberapa pasukan pada kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2012 memperlihatkan betapa seriusnya pasukan memburu gelaran pada saingan bola sepak paling berprestij di rantau Asia Tenggara itu.

Jika sebelum ini hanya Singapura membariskan pemain asing, kejohanan kali ini akan menyaksikan skuad Indonesia dan Filipina juga bakal menurunkan pemain asing dalam skuad masing-masing.

Terbaharu, pasukan Indonesia menyenaraikan tiga pemain asing dalam skuad mereka dalam misi menjulang piala berkenaan selepas hampir melakukannya pada edisi lepas sebelum tumpas kepada Malaysia pada perlawanan akhir.

Ketiga-tiga pemain Belanda dalam skuad Indonesia itu ialah Tonnie Cussel, Jhonny van Beukering dan Raphael Maitimo. Kehadiran mereka dalam skuad Garuda kali ini menjadikan pasukan berkenaan dianggap pasukan pilihan menjulang piala berkenaan selain Thailand dan Singapura yang mempunyai rekod cemerlang pada kejohanan tersebut.

Untuk rekod, kemampuan naib juara edisi 2010, Indonesia boleh dilihat apabila mencatat keputusan seri 0-0 menentang skuad bawah 23 tahun Cameroon pada 17 November lalu manakala Singapura membelasah Pakistan 4-0 dalam aksi persahabatan terakhir mereka, Selasa lepas.

Pada edisi kali ini, Singapura juga telah menamakan beberapa pemain asing dalam skuad mereka, antaranya Daniel Bennett dan Aleksandar Duric.

Malah, pasukan Filipina yang sebelum ini dianggap pasukan belasahan di rantau Asia Tenggara juga tidak boleh dipandang remeh lagi kerana mereka dibarisi beberapa orang pemain Eropah dan mampu membuat kejutan.

Aksi pemain asing yang diberi taraf kerakyatan untuk mewakili pasukan baharu mereka, sudah tentu menghangatkan lagi saingan kejohanan kali ini dan ia menunjukkan bahawa taraf Piala Suzuki AFF semakin meningkat.

Begitupun, keupayaan skuad Harimau Malaya juga tidak boleh diperkecilkan walaupun skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu tidak diperkuatkan dengan pemain asing.

Beraksi di laman sendiri dan sebagai juara bertahan, sudah tentu semangat skuad Harimau Malaya semakin tinggi untuk mempertahankan kejuaraan biarpun pada siri perlawanan persahabatan sebelum ini, prestasi mereka kurang memberangsangkan.

Untuk rekod, pada siri perlawanan persahabatan sebelum ini, skuad Harimau Malaya kalah 0-1 kepada Vietnam, tumpas 0-2 kepada Thailand dan masing-masing seri 1-1 berdepan Hong Kong dan Bangladesh.

Keputusan berkenaan jelas mengundang resah kepada peminat bola sepak tempatan sama ada skuad Harimau Malaya mampu mengaum sekali lagi pada edisi kali ini atau sebaliknya.

Skuad Harimau Malaya hanya mengecap kejayaan menjuarai kejohanan berkenaan sekali sahaja iaitu pada edisi 2010.

Berdasarkan rekod, Thailand dan Singapura berkongsi kejayaan merangkul kejuaraan pada kejohanan berkenaan sejak diperkenalkan pada 1996, yang mana Thailand muncul juara (1996, 2000, 2002) manakala Indonesia mendakap piala berkenaan pada 1998, 2004 dan 2007.

Pada edisi 2012, Malaysia dan Thailand akan menjadi tuan rumah bagi saingan peringkat kumpulan kejohanan berkenaan yang bakal berlangsung di Bangkok mulai hari ini hingga 1 Disember depan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan