Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Raja tak layan kritikan

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Para pemain Harimau Malaya menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam untuk aksi persahabatan termasuk menentang Chelsea pada 21 Julai ini. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

PETALING JAYA - Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal tidak mahu mengambil peduli tentang pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadapnya sebaliknya hanya memberi fokus untuk menghadapi enam perlawanan persahabatan yang bakal dilalui sehingga 10 Ogos ini.

Enggan menjawab kritikan terutama mengenai cara pemilihan skuad kebangsaan yang didakwa tidak dibuat berdasarkan prestasi semasa pemain, Rajagobal yang ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM semalam, cuma menjawab mengulas perkembangan semasa Harimau Malaya.

"Saya tiada masa untuk membalas kritikan kerana fokus saya adalah pada pasukan kerana kita bakal berdepan Chelsea, kemudian kita akan ke Jepun dan menentang Barcelona dalam persiapan menghadapi Bahrain, " katanya ketika ditemui pada latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM, semalam.

Bekas pemain bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan baru-baru ini berpendapat pemilihan skuad kebangsaan sepatutnya di buat berdasarkan prestasi semasa pemain dalam liga tempatan, bukan sepenuhnya disandar kepada pengalaman mereka.

Bukan berniat untuk menegur cara pemilihan pengendali skuad kebangsaan, Zainal percaya, ada beberapa nama besar yang terlepas daripada pandangan jurulatih tersebut dalam skuad yang dihimpunkan minggu ini

Dalam hal ini, Rajagobal membuktikan andaian bahawa dia tidak mendapatkan maklum balas daripada jurulatih-jurulatih negeri adalah salah.

Dalam hal penyenaraian pemain muda Sarawak, Junior Eldstal contohnya, Rajagobal mendapatkan pandangan jurulatih negeri itu, Robert Alberts.

Ujar Rajagobal, beliau mengikuti perkembangan pemain berusia 21 tahun itu sejak beraksi untuk Sarawak dan tidak pernah menutup ruang kepada pemain lain jika ada bakat baru yang muncul.

"Mengenai Junior, saya ada berbincang dengan Robert Alberts mengenai corak permainannya yang beraksi pada bahagian tengah dan saya menyaksikan permainannya, memang baik.

"Mujurlah dia (Eldstal) tidak ke Rusia (Sukan Universiti Dunia), jika tidak mungkin saya akan memanggil pemain lain, " katanya.

Pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan semalam, dua pemain iaitu ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi dan penyerang Pahang, Azamuddin Akil tidak melaporkan diri kerana kecederaan.

Namun Rajagobal berharap Badhri dapat melaporkan diri bagi memantau sejauh mana tahap kecergasannya. Azamuddin atau Alex sudah pasti tidak boleh bermain kerana masih belum pulih daripada kecederaan jangka panjang pada bahagian tangan.

Ketiadaan kedua-dua pemain itu diganti oleh pemain sayap ATM, Christie Jayaseelan serta Junior sementara Mohd. Fadhli Shas dan K. Reuben terlibat dengan Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) di Kazan, Rusia.

Seorang lagi pemain Kelantan, Mohd. Nor Farhan Muhammad tidak hadir pada sesi latihan kerana mendapat pelepasan selepas menyambut kelahiran anak sulung.

Dua pemain Johor Darul Takzim, Safee Sali dan Safiq Rahim pula masih belum cergas sepenuhnya dengan Safee mendapat kecederaan pangkal paha sementara Safiq berdepan sedikit masalah pada bahagian kaki dan akan dipantau oleh fisioterapi.

Hamidin buru aksi kelas A

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Hamidin Mohd. Amin (kiri) bersama Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal (dua kiri) memeriksa keadaan padang Stadium Shah Alam selepas sidang akhbar sempena Jelajah Chelsea ke Malaysia di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Datuk Hamidin Mohd. Amin tekad memperbaiki kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan memperbanyakkan aksi persahabatan kelas A tahun depan.

Enam aksi persahabatan skuad kebangsaan yang cuma menentang pasukan berstatus kelab sepanjang bulan ini dan bulan depan bukanlah sesuatu yang baik buat skuad Datuk K. Rajagobal.

Untuk itu Hamidin berkata, dia akan menyusun aksi antarabangsa berkelas A pada 2014.

Bagi tujuan berkenaan, beliau akan cuba mendapatkan kerjasama Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM supaya tiada pertindihan jadual dengan keutamaan diberikan kepada pasukan kebangsaan.

"Kita akan mengemukakan tawaran untuk aksi persahabatan kepada pasukan terutama dari ASEAN dan Asia, malahan mungkin Afrika, tidak kira siapa jurulatih skuad kebangsaan ketika itu.

"Untuk tahun ini, memang sudah tiada masa kerana kalendar (jadual perlawanan) sudah penuh.

"Perkara ini akan menjadi agenda penting buat saya dan saya akan pastikan tarikh perlawanan tahun depan diisi dengan perlawanan antarabangsa, " katanya.

Dia ditemui selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Penganjuran FAM-ProEvents bagi perlawanan Malaysia XI dan Chelsea di Stadium Shah Alam, semalam.

Tegasnya, mendapatkan lawan yang berkualiti bukan perkara mudah kerana ranking skuad kebangsaan yang jauh ketinggalan.

"Bukan mudah untuk mendapatkan aksi persahabatan kelas A disebabkan ranking kita (ke-159), kadang-kadang pasukan lain mahukan lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan