Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Apa dah jadi Piya?

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Mohd. Badhri

PETALING JAYA - Dua hari sudah diberikan peluang untuk melaporkan diri dalam latihan skuad kebangsaan, akhirnya pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal dan jurulatih, Datuk K. Rajagobal telah hilang sabar dengan kerenah ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi, apabila meminta pemain berusia 31 tahun itu menghantar surat tunjuk sebab kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah, Mohd. Badhri atau lebih sinonim dengan nama panggilan Piya bakal berdepan tindakan tatatertib jika tiada sebarang alasan kukuh tidak menghadirkan diri dan besar kemungkinan tidak akan lagi dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Menurut Subahan, beliau hanya mendapat tahu daripada Piya yang jadual penerbangannya tergendala pada Khamis lalu, namun langsung tidak mendapat perkembangan lain selepas itu walaupun ada mendapat maklumat dia mengalami kecederaan hamstring.

''Inilah masalahnya, apabila sebelum ini ramai mempersoalkan mengapa kita tidak mahu menyenaraikan pemain tertentu tetapi bila diberikan peluang menyertai latihan skuad kebangsaan, (Badhri) tidak mahu datang pula tanpa sebarang alasan tertentu.

''Jadi, kita terpaksa mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya esok (hari ini) atas sebab apa dia enggan datang melaporkan diri dan sekiranya tiada sebarang alasan kukuh, dia boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan yang telah ditetapkan oleh FAM.

''Namun kami tidak mahu berlaku zalim dalam hal ini kerana mahu mendapat tahu dahulu apa puncanya dia tidak mahu datang dan sekiranya memang benar dia mengalami hamstring seperti didakwa atau alasan lain yang kukuh, itu tidak mengapa," katanya yang ditemui di Wisma FAM, semalam.

Mengikut penjelasan Subahan, seorang lagi pemain yang mengalami kecederaan, Azamuddin Akil, tidak perlu melaporkan diri kerana mereka telah memperoleh laporan perubatan dan telah disahkan oleh fisioterapi Harimau Malaya.

''Kita semua sudah maklum bahawa Alex (Azamuddin) telah lama mengalami kecederaan tangan dan segala laporan membabitkan kecederaan telah diperolehi, jadi dia tidak perlu datang melaporkan diri.

''Sedangkan Badhri, kami langsung tidak memperolehi sebarang perkembangan setakat ini sedangkan rakan sepasukannya seperti Khairul Fahmi Che Mat boleh datang dan jika benar dia cedera, dia perlu datang supaya fisioterapi kami dapat memeriksa sendiri dan mengesahkannya, " katanya.

Sebelum ini, Badhri yang disenaraikan menyertai latihan skuad kebangsaan di Australia tidak dapat berbuat demikian apabila mendapat kecederaan dan ini merupakan kali kedua terlepas peluang menjalani latihan bersama Harimau Malaya.

Dalam masa sama, nada Rajagobal seolah-olah kecewa dengan tindakan Badhri kerana dilihat tidak begitu berminat mewakili pasukan kebangsaan setelah diberikan peluang berbuat demikian.

''Sama ada saya kecewa atau tidak, itu saya tidak mahu cakap namun saya hanya mahukan pemain yang komited kepada pasukan negara dan atas apa jua alasan, dia sepatutnya melaporkan diri pada hari ini kerana telah memasuki hari kedua.

''Walaupun begitu, pasukan ini telah menghadapi banyak perlawanan tanpa kehadiran Badhri dan saya tidak berdepan sebarang masalah kerana masih mempunyai pemain-pemain lain yang boleh disandarkan," katanya.

Dua lagi pemain, Safiq Rahim dan Safee Sali dilihat semakin pulih dan dijangka boleh menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan kaki (Safiq) dan pangkal paha (Safee).

Kejohanan kelab FAM-FAS diperkenal

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

PETALING JAYA - Mulai tahun ini, juara Piala FA bukan sahaja merasai ganjaran beraksi di Piala AFC, namun bakal diberikan ruang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk berdepan juara dari Liga Singapura dalam pertandingan yang dipanggil kejohanan Kelab FAM-FAS.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Afandi Hamzah berkata, pertandingan ini adalah antara persefahaman yang telah dicapai dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam usaha peningkatan mutu bola sepak bagi kedua-dua negara bagi tempoh empat tahun akan datang.

Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mewakili Malaysia sementara cabaran Singapura didokong dua kelab, Tampines Rovers dan Warriors FC.

''Pada tahun ini, melalui jalinan kerjasama antara FAM dan FAS, satu pertandingan dinamakan kejohanan kelab FAM-FAS akan diperkenalkan dengan dua perlawanan melibatkan juara Liga Malaysia dan juara Liga Singapura iaitu antara juara Piala FA dan Piala Malaysia/Piala Singapura.

''Bagi tahun ini, juara akan diambil dari kejohanan tahun 2012 dengan Kelantan selaku juara Piala FA akan bertemu juara Liga Singapura iaitu Tampines Rovers, sementara satu lagi perlawanan melibatkan juara Piala Singapura, Warriors F.C dan naib juara Piala Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengambil tempat Kelantan kerana merupakan juara.

''Perlawanan antara Kelantan dan Tampines akan berlangsung di Kota Bharu (Stadium Sultan Muhammad ke-IV) pada 12 Ogos manakala aksi ATM serta Warriors F.C akan diadakan di Singapura pada 13 Ogos," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, semalam.

Jadual perlawanan terbaharu itu pasti memberikan sedikit bebanan kepada pasukan Kelantan yang mempunyai enam pemain sedang menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan dan pada tarikh tersebut, mereka baru sahaja melalui pertemuan dengan Barcelona FC pada 10 Ogos ini yang hanya berselang dua hari.

Dalam perkembangan lain, aksi perlawanan akhir Piala Malaysia yang sebelum ini dijadualkan pada 26 Oktober terpaksa ditunda untuk memberi laluan kepada Sukan Paralimpik yang telah menempah penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil.

''Setelah berbincang dengan mendalam, tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia telah ditetapkan pada 3 November iaitu pada hari Ahad kerana pada Sabtu, 2 November jatuh pada hari perayaan Deepavali.

''Manakala tarikh bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia adalah pada 18 serta 19 Oktober dan 25/26 Oktober bagi memberikan laluan kepada siaran langsung," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen